KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM7,000 ($2,282) kepada sekumpulan individu dan penganjur majlis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Ahad (6 Mac) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abdul Yusof, berkata tujuh individu itu dikompaun RM1,000 seorang mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

"Polis hari ini terkesan dengan satu gambar dimuat naik portal berita memaparkan kumpulan individu sedang berpelukan di WTC. Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Dang Wangi kemudian mengesahkan kejadian itu berlaku pada majlis AJL pada Ahad lalu..

"Semua individu berkaitan dipanggil bagi membantu siasatan kesalahan ketidakpatuhan SOP Fasa 4 PPN iaitu tiada penjarakan fizikal sebelum tawaran kompaun dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Naazron menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Pada Ahad, pemenang AJL36 iaitu band indie Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah meraikan kejayaan mereka apabila lagu berjudul Pelukan Angkasa diangkat menjadi juara untuk pertandingan tersebut.

Beberapa keping foto mereka berpelukan di atas pentas menjadi tular dan digunakan oleh beberapa portal berita.

Kemenangan lagu itu melayakan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Pelukan Angkasa merupakan karya ciptaan Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin. - Berita Harian Malaysia