Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Bayangan Asmara' buah tangan IMMA PINK buat pencinta lagu lama

Sep 12, 2021 | 05:30 AM



Di seberang Tambak, wujud barisan penyanyi dengan penampilan sejuk mata memandang berbekal hemah, sikap ramah dan sajian lagu pengubat lara seperti Wany Hasrita, Amira Othman, Nabila Razali dan Aina Abdul. Singapura juga mempunyai barisan penyanyi berimej sedemikian yang mempunyai pengikut mereka sendiri. BERITA MINGGU dekati dua bakat setempat yang baru-baru ini muncul dengan lagu baru.



WALAUPUN pernah menyertai Anugerah 2009 dan mula melibatkan diri dalam seni nyanyian pada usia 20 tahun, bakat setempat Imma Pink atau nama sebenarnya Rahimah Mohamad, tidak pernah terfikir merakam lagu sendiri.



Namun, sudah tersurat rezeki buatnya yang juga seorang jurudandan yang dikenali dalam kalangan selebriti setempat, apa yang tidak diduga menjadi nyata.



Lagu pertama yang terakam dan baru beberapa hari lalu berada di gedung digital Spotify, Bayangan Asmara, mempunyai irama nostalgia persis zaman P. Ramlee dan Saloma.



Ia memang sesuai dengan naluri Imma, 34 tahun, yang berjiwa lama, malah turut diusik sebagai 'Saloma Singapura' kerana penampilannya yang sering berkebaya dan suka mendendangkan lagu-lagu klasik.



Ikuti temu bual bersama wanita ramah yang secara sepenuh masa bertugas sebagai guru kanak-kanak berkeperluan khas.



Soalan (S): Setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni, apa yang membuatkan Imma akhirnya merakam 'single' sendiri pada 2021?



IMMA: Terus terang semuanya berlaku secara kebetulan apabila pemuzik setempat tidak asing lagi, Abang Addy Cradle, memberikan melodi yang beliau cipta kepada Imma.



Dengan pantas dan secara spontan, Imma menulis liriknya. Memang ramai kenalan dan teman sering bertanya dan menantikan lagu 'original' daripada Imma.



Maka, selepas sekian lama nyanyi lagu 'cover', Imma rasa sudah tiba masanya menghadiahkan mereka dengan lagu Imma sendiri, Bayangan Asmara, sebagai tanda terima kasih dan hadiah buat mereka yang memberi sokongan dan dorongan.



Kita semua sedia maklum buat masa ini, ramai anak seni terjejas angkara pandemik Covid-19.



Justeru, Imma lancarkan 'single' tahun ini dengan harapan dapat mendorong pemuzik dan anak seni lain agar jangan mudah rasa putus asa dan kecewa dalam keadaan tidak menentu kini.



S: Mengapa 'feel' lagu ini disejajarkan dengan nostalgia zaman P. Ramlee dan Saloma? Apa pengertian lagu ini buat Imma?



IMMA: Lagu ini mempunyai rentak irama 1950-an dan 1960-an dengan bahasa lebih puitis dan pastinya memiliki sentuhan nostalgia.



Imma dibesarkan dengan lagu sebegini kerana Abah memang meminati P. Ramlee dan Saloma.



Saya berharap dengan adanya lagu ini, dapatlah terukir senyuman di bibir setiap pendengar.



Ia memang ditujukan buat Abah Imma dan juga warga emas lain agar mereka dapat mengimbas kembali kenangan manis sewaktu mereka masih muda dan tatkala bersama orang yang dicintai.



Bagi Imma, lagu ini bermakna kerana ia mengisahkan tentang pengalaman hidup Imma sendiri.



Video muziknya akan disiarkan di YouTube dan Facebook pada 20 September ini bagi lebih memahami jalan cerita dan pengertian lagu ini.



S: Imma berpengalaman mendandan bakat yang terlibat dalam penerbitan Mediacorp. Peranan Imma lebih di belakang tabir walaupun berpengalaman menjayakan 'gig' Inggeris di Esplanade dahulu. Ada tak dalam kalangan mereka yang beri Imma galakan hasilkan 'single' sendiri?



IMMA: Ramai sebenarnya yang beri dorongan. Antara mereka adalah Kak Nana Karia, Abang Olly Maguire, Abang Amyr Abadawn dan Abang Addy Cradle.



Sejak 2019, Abang Addy galakkan Imma menyanyi apabila beliau mengundang saya ke persembahan kolaborasi, Pesta Muzik Sultan Gate pada 7 September.



Beliau nampak bakat saya menyanyikan lagu nostalgia, lantas berasakan ia satu idea baik untuk gabungkan kemahiran roker atau gitaris 'otai' (orang lama) sepertinya dengan penghibur muda dengan jiwa lama macam saya.



S: Namakan tiga artis setempat yang Imma hormati dan memberi impak buat diri Imma.



IMMA: Kak Nana Karia sebab beliau mempunyai vokal bertenaga atau 'powerhouse' dan selalu memberi kata-kata semangat dan perangsang buat saya.



Beliau juga tidak pernah memperkecil bakat baru di Singapura dan sering membantu mereka mempertingkat diri dalam bidang yang diceburi.



Saya juga meminati Rudy Djoe sejak di bangku sekolah kerana suaranya yang amat lunak dan memukau. Beliau membuktikan bahawa seorang penyanyi boleh tetap kekal relevan walaupun membawakan lagu lama.



Semangatnya mendorong saya agar "go jer" walaupun tak semua yang faham mengapa saya lebih cenderung pada sesuatu yang 'old-school' atau 'old-fashion'.



Akhir sekali, Datuk Ramli Sarip, nama yang tidak asing lagi dalam persada seni Singapura.



Papa Rok terus berusaha meneruskan kerjaya seninya tanpa jemu, masih bertenaga dan positif sentiasa. Karisma dan auranya adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang.



S: Apakah yang Imma pentingkan dalam merakam lagu sendiri?



IMMA: Suasana yang bebas stres sebab saya tidak mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik jika tertekan. Sesi rakaman mestilah sesuatu yang menyeronokkan dan menceriakan agar mudah saya nak menyampaikannya.



Saya juga memerlukan penerbit yang mengerti bahawa bagi menghasilkan sesebuah karya, ia bergantung pada emosi kita dan 'feel' lagu yang ingin diketengahkan. Apa lagi ini merupakan lagu klasik nostalgia. Saya perlukan penerbit yang tidak terlalu teknikal.



Saya bersyukur mempunyai penerbit Guzzbuzz Productions (Abang Bob). Beliau faham keperluan irama nostalgia, kekuatan saya sebagai penyanyi dan keupayaan saya agar potensi saya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.



S: Apakah harapan Imma selepas ini?



IMMA: Saya berharap agar dapat menghasilkan lebih banyak lagu dalam pelbagai genre terutama sekali lagu berirama nostalgia.



Ia adalah bagi memastikan generasi muda kini dan mendatang akan terus menghargai lagu nostalgia kerana tanpa yang lama, tiada yang baru. Moga lagu yang tak lapuk dek zaman ini akan terus didendangkan dan diminati ramai.



Imma baru sahaja bertatih dalam persada seni dan akan terus berusaha gigih mencapai matlamat yang tersemat di hati.



Imma juga mempunyai hasrat mencipta lagu Inggeris dengan 'feel old school' suatu ketika dahulu. Meskipun dahulu pernah terlibat dalam 'gig' Inggeris, rasanya Imma lebih selesa dengan lagu nostalgia Melayu, sejajar dengan penampilan dan gaya hidup Imma kini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >