Sebilangan rakan seangkatan mereka yang mewarnai rancangan kanak-kanak di televisyen pada 1980-an dan 1990-an meneruskan kerjaya penyiaran. Sesetengahnya membina nama sebagai pengarah, pelakon, pengacara dan penyanyi yang hebat. Namun, dua bekas bakat cilik ini mengambil keputusan meneroka cabang lain dalam kehidupan dengan seni tetap di hati sebagai penyuntik keyakinan diri. BERITA HARIAN melaporkan perjalanan hidup mereka.

WAJAH comel budak lelaki yang bertubuh gempal dan berpipi tembam serta ligat menari masih terpahat dalam ingatan ramai yang mengikuti acara seni atau rancangan televisyen sekitar 1990-an.

Si cilik yang sudah dewasa kini menggalas pelbagai amanah sebagai pekerja jagaan kesihatan, perancang perkahwinan, pengurus artis dan pegawai pemasaran perniagaan epok-epok ibu mentuanya, Cik Saodah Abdul Rahman.

Encik Mohd Nizard Ali, 30 tahun, bermula dalam bidang seni seawal usia tiga tahun dan mendapat bimbingan penggerak badan seni Sri Warisan, Cik Som Said.

Beliau kemudian menjayakan sebuah pementasan muzikal arahan personaliti televisyen Khairudin Samsudin sebelum dipilih bagi sesi uji bakat Klik!

Personaliti bersahajanya juga membawa rezeki buatnya menjayakan iklan beras Harmuni serta beberapa drama kanak-kanak dan rancangan Hari Raya.

Pada usia remajanya dan sebelum berumah tangga, lulusan Diploma Pengurusan Seni daripada Institut Bagi Keusahawanan Kreatif Emily Hill di Upper Wilkie Road ini juga pernah terlibat dalam pelbagai kembara seni bersama kumpulan Sri Warisan.

Antara negara yang pernah beliau kunjungi termasuk Brazil, Russia, Poland, Peru, India, Oman, Sepanyol dan Switzerland.

Encik Mohd Nizard, bapa seorang anak kecil berusia 11 bulan, Nuha Qaisara Putri, juga pernah mengikuti kursus jurutari di Institut Kesenian Jakarta, kursus dalang wayang kulit di Pendidikan Kesenian Jogjakarta dan sesi 'masterclass' sebagai instruktor angklung di Saung Angklung Udjo di Bandung.

Ditanya mengapa beliau meneroka sektor jagaan kesihatan, perancangan perkahwinan, pemasaran bisnes keluarga dan pengurusan artis, Encik Nizard yang juga miliki sijil spesialis pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni prasekolah daripada Seed Institute berkata:

"Saya dapati belum ada projek seni yang sesuai untuk saya. Isteri tak pernah larang saya terus berlakon atau menari. Tapi, buat masa ini, saya lebih suka meneroka pelbagai bidang demi pengalaman berbeza. Tak mahu mudah bosan serta pastinya banyak ilmu pengetahuan baru untuk diraih.

"Sungguhpun begitu, saya hargai penglibatan awal saya dalam bidang seni. Bak kata orang, nak melentur buluh biar daripada rebungnya. Ia menjadikan saya insan yang terbuka menerima idea baru dan ragam manusia. Saya juga belajar tentang etika kehidupan dan jati diri sebagai anak Melayu.

"Saya belajar tentang pengurusan masa dan disiplin. Lebih mustahak lagi, saya berpegang pada pesanan ibu, dalam mengejar kejayaan dan ketenangan hidup, jangan lupa tentang solat sebagai asas dan tiang agama."

Kali terakhir, beliau yang berumah tangga dengan jururawat, Cik Nur Fakhirah Samat, 28 tahun, muncul dalam drama setempat ialah menerusi drama Abang Ah Beng pada 2012.

"Saya ingat saya dahulu dipanggil penyeri malam Raya kerana kerap muncul dalam program Hari Raya. Saya hargai pengalaman ditegur orang yang tidak dikenali di luar sehingga dapat ramai kawan baru.

"Cuma jerih payahnya payah dibayangkan kerana perlu membahagikan masa antara kerja dan kegiatan sekolah dengan kegiatan seni," ceritanya.

Mengenai tugas mengurus bakat Trendz D Music Singapore Pte Ltd dan perancang perkahwinan di Trendz D'Bridal Boutique and Catering Pte Ltd, Encik Mohd Nizard menganggapnya sebagai pengalaman baru yang dihargai.

"Dengan pengalaman saya dalam bidang seni dahulu, saya harap dapat kembangkan sayap mereka dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan persada seni yang pesat berubah.

"Sebagai perancang perkahwinan, saya juga mengkaji pasaran dan menanti peluang mendalami kursus seperti suntingan video. Saya akur sektor ini teruk terjejas oleh pandemik Covid-19.

"Disebabkan itulah, saya memohon tugas sebagai pekerja penjagaan kesihatan dan turut mengajar tuisyen bagi pelajar sekolah rendah bagi mengisi masa dan demi menyara kehidupan keluarga," katanya lagi.

Beliau juga begitu teruja menceritakan tentang bisnes epok-epok Nuza Puff by Nizard Ali yang diusahakan ibu mentuanya.

"Ibu mentua saya memang meniaga dahulu tetapi kini lebih cenderung buat epok-epok dari rumah. Saya dan isteri pun menyokongnya dengan Nuza adalah cantuman nama dua cucunya, Nuha dan Zana (anak saudara saya).

"Cucu inilah buah hati nenek. Mereka membakar semangat ibu mentua saya. Kerja saya memasarkannya dan menghantarnya ke rumah pelanggan.

"Dalam meniaga, kami terbuka dengan sebarang kritikan dan harus tanamkan keikhlasan meniaga. Orang beri maklum balas baik atau tidak bererti mereka ambil berat dengan produk kita," jelasnya lagi.

Di sudut hati Encik Mohd Nizard, beliau akan selalu kenangkan budi baik Cik Som yang bukan sahaja mengajarnya menari malah mendidiknya tentang erti merendah hati.

"Kata Cik Som, buat apa yang awak cintai dan cintai apa yang awak buat.

"Saya juga hargai dorongan jurutari lain, Encik Adel Dzulkarnaen dan Cik Marina Yusoff yang memberi saya ilmu mengurus pentas dan mengendalikan muzikal. Saya jadi seseorang yang mahir dalam pelbagai aspek pementasan," tambahnya.

Beliau juga tidak lupakan dorongan ibunya Cik Apida Saleh, bapanya Encik Mohd Ali Nawai dan abang-abangnya, Encik Mohd Nizam dan Encik Mohd Nizar.