Bermula dengan kelas solekan yang dikendalikan dari sebuah bilik di rumahnya, usaha seorang jurusolek kini berkembang menjadi perniagaan kecantikan yang merangkumi perkhidmatan pengantin, rawatan wajah dan produk solekan.

Selepas bertahun-tahun menyolek pengantin dan pelanggan, beliau menyedari pentingnya penjagaan kulit bagi menghasilkan solekan yang kemas dan tahan lama.

Ia sekali gus mendorongnya mengembangkan perniagaan kepada rawatan wajah serta produk kecantikan.

Bekas pramugari, Cik Nur Zayanah Zainal, 41 tahun, mula membina perniagaan pengantinnya selepas meninggalkan kerjaya penerbangan ketika hamil.

Mula berkecimpung dalam industri pengantin sejak 2015, pemilik Aurablush Aesthetic itu kemudian memperkenalkan perkhidmatan rawatan wajah pada 2023, diikuti produk solekan pada 2024.

Perkhidmatan rawatan wajah yang diperkenalkan Cik Nur Zayanah Zainal pada 2023 bertujuan membantu pelanggan mempersiapkan kulit sebelum bersolek, termasuk bagi majlis perkahwinan.
Perkhidmatan rawatan wajah yang diperkenalkan Cik Nur Zayanah Zainal pada 2023 bertujuan membantu pelanggan mempersiapkan kulit sebelum bersolek, termasuk bagi majlis perkahwinan. - Foto ihsan NUR ZAYANAH ZAINAL
Dua palet pembayang mata antara produk solekan yang ditawarkan oleh Aurablush Aesthetic, membolehkan pengguna bereksperimen dengan pelbagai warna bagi menghasilkan gaya solekan daripada gaya semula jadi hingga ‘full glam’.
Dua palet pembayang mata antara produk solekan yang ditawarkan oleh Aurablush Aesthetic, membolehkan pengguna bereksperimen dengan pelbagai warna bagi menghasilkan gaya solekan daripada gaya semula jadi hingga ‘full glam’. - Foto NUR ZAYANAH ZAINAL

Kini ibu dua anak itu membahagikan masa antara janji temu pelanggan, mengkaji perubahan trend kecantikan dengan urusan perniagaan, sambil memastikan masa bersama keluarga tetap terpelihara.

Menurutnya, minat terhadap solekan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya ketika bekerja sebagai pramugari, apabila beliau perlu menjaga penampilan diri setiap hari.

Selepas berhenti bekerja, beliau mula mengendalikan kelas solekan pada hujung minggu dari sebuah bilik di rumahnya yang mempunyai cermin besar.

Namun, permintaan pelanggan untuk perkhidmatan pengantin mendorongnya meluaskan perniagaan kepada solekan dan pakaian pengantin, termasuk menghasilkan rekaan busananya sendiri.

Pengalaman menyolek pelanggan turut membuka matanya terhadap kepentingan penjagaan kulit.

“Sebagai jurusolek, sebelum memulakan solekan, kami sentiasa mengingatkan pelanggan bahawa penjagaan kulit sangat penting,” katanya.

Justeru, beliau memperkenalkan rawatan wajah bagi membantu pelanggan mempersiapkan kulit sebelum bersolek, khususnya menjelang majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, perkhidmatan itu tidak terhad kepada bakal pengantin, malah terbuka kepada pelanggan lain yang ingin menjaga kulit.

Di sebalik perkembangan perniagaannya, Cik Zayanah mengakui mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan usahawan bukan sesuatu yang mudah.

Pada hari bekerja, beliau menghantar anak perempuannya ke pusat jagaan sekitar 9 pagi sebelum memulakan janji temu solekan atau rawatan wajah.

Beliau kemudian menamatkan tugas sekitar 5 petang untuk mengambil anaknya, manakala waktu malam diperuntukkan kepada keluarga.

Pada hujung minggu pula, beliau cuba mengehadkan waktu bekerja kepada separuh hari.

Selain pengurusan masa, persaingan dalam industri pengantin turut menuntutnya sentiasa mengikuti perkembangan trend solekan dan busana.

Menurutnya, rekaan pakaian pengantin perlu sentiasa diperbaharui bagi memenuhi cita rasa pelanggan daripada generasi berbeza.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kepuasan pelanggan menjadi dorongan utamanya untuk terus bertahan.

“Apabila pelanggan atau pengantin benar-benar gembira dengan perkhidmatan yang diberikan, itulah pencapaian terbesar saya,” ujarnya yang kini mempunyai cawangan di kawasan Arab Street.

Beliau berharap dapat terus mengembangkan Aurablush Aesthetic dan mengadakan kelas solekan bagi membantu lebih ramai wanita mempelajari kemahiran tersebut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti