Warga Singapura yang merancang ke S.E.A Aquarium Sentosa pada 9 hingga 11 Ogos akan dapat menyaksikan aksi bendera Singapura dikibarkan dalam akuarium sempena Hari Kebangsaan.
Penampilan itu akan diterajui penyelam pakar akuarium tersebut sambil dikelilingi ratusan ikan, antaranya ikan pari manta ray dan jerung, di daerah Open Ocean Habitat akuarium itu.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi bagi melaksanakan aksi itu, pakar akuarium, Encik Moghan Raja Saithputhy, berkata mereka perlu berhati-hati dengan haiwan marin apabila menyelam ke dalam habitatnya untuk kibarkan bendera kerana haiwan seperti manta ray mungkin menghampiri mereka kerana didorong sifat ingin tahu.
Pada masa yang sama, terdapat arus dengan pergerakan kecil yang boleh menyebabkan bendera menjadi tidak seimbang.
Justeru, pasukan empat penyelam yang memegang bendera perlu sentiasa memantau penjajaran keempat-empat penjuru bendera.
Beliau menambah: “Kami tidak boleh mendengar muzik sewaktu persembahan dari dalam atau atas habitat, justeru gerakan tepat adalah penting. Ini bermakna kami perlu melihat jam tangan di bawah air dan bergerak serentak secara harmoni.”
Pengunjung boleh ke Open Ocean Habitat pada 1.15 petang hingga 1.25 petang untuk menimba ilmu menerusi ceramah yang disampaikan tentang tempat tersebut serta haiwan di sana, sebelum persembahan mengibarkan bendera berlangsung mulai 1.30 petang.
Lagu-lagu bertemakan Hari Kebangsaan akan dimainkan semasa bendera dikibarkan.
Pada 3 petang, pengunjung boleh bergambar dengan maskot akuarium tersebut di Ocean Dome.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg