Bengkel ubah kemeja-T jadi beg pupuk kesedaran isu pembaziran industri fesyen
Bengkel ubah kemeja-T jadi beg pupuk kesedaran isu pembaziran industri fesyen
Sebagai seseorang yang berkecimpung dalam dunia fesyen, Cik Gin Lee amat peka tentang isu penggunaan berlebihan serta pembaziran dalam industri tersebut yang menjejas alam sekitar.
Pemilik label pakaian wanita tempatan GINLEE Studio itu melancarkan inisiatif _/\/\/\ake O yang menyediakan platform untuk pelanggan mengitar semula pakaian dan barangan mereka.
Menerusi bengkel Tee-tO-Bag, pelanggan boleh belajar cara menggunakan semula kemeja-T yang tidak diingini menjadi ‘Beg Tee’ untuk kegunaan harian.
Pemegang beg itu dihasilkan menerusi pencetakan 3D, yang bermakna tiada pembaziran dihasilkan kerana produk dicetak berdasarkan apa yang diperlukan.
“Pendekatan reka bentuk yang bijak adalah penting dalam memastikan barangan seberapa boleh tidak dibuang di tapak pelupusan.
“Oleh itu, dengan mengubah barangan tidak diingini menjadi barangan lebih bernilai dan memupuk minda untuk mengurangkan sisa, langkah kitar semula barangan menjadi pilihan terakhir,” kata pereka itu yang mempelajari fesyen di Central Saint Martins dan mengasaskan jenama itu bersama suaminya Tamir Niv.
Projek itu bermula sejak setahun lalu di mana proses reka bentuk perlu melalui banyak penyelidikan dan pengembangan (R&D) kerana ia bukan begitu mudah dilakukan sedang terdapat pelbagai jenis baju-T yang akan dibawa oleh pelanggan ke bengkel itu.
“Ia adalah satu proses yang kompleks kerana kami tidak boleh mengawal bahan mentahnya dan hasil akhirnya. Walaupun begitu, ia memberikan ruang kepada pelanggan untuk mencetuskan kreativiti mereka sambil memupuk kesedaran tentang kemampanan.”
Sebagai seorang pereka fesyen, Cik Gin Lee membayangkan situasi di mana dunia ini tidak mempunyai bahan mentah untuk digunakan. Ini menggunakan kreativitinya untuk memanfaatkan apa sahaja sumber yang beliau ada untuk mencipta produk baru.
Perunding runcit, Cik Nur Hazeerah Mohamed Basri, menghargai usaha mendidik orang awam untuk melanjutkan jangka hayat pakaian.
“Setiap kali saya mahu membuang pakaian saya, saya rasa ‘sayang’ untuk melepaskannya. Oleh itu bengkel Tee-tO-Bag memberi peluang mengitar semula baju menjadikannya produk yang unik melalui proses reka bentuk,” kata Cik Nur Hazeerah yang merupakan lulusan LASALLE dalam bidang Fesyen, Reka Bentuk dan Tekstil.
Sebagai peminat fesyen, Cik Nur Hazeerah pernah bekerja dengan jenama fesyen pantas (fast-fashion) tetapi akur tidak rasa selesa.
“Saya berasa lebih teruk kerana saya seolah-olah menyumbang kepada industri fesyen pantas,” tambahnya.
Industri fesyen pantas merupakan penyumbang kepada krisis iklim sedang ia menggalak budaya membuang dan penggunaan yang berlebihan.
Harga bengkel tee-tO-Bag bermula pada $88.

