Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SPEKTRA SENI

Berhibur biar berbatas

Konsert juga perlu bawa nilai dan tidak sampai tonjol perangai buruk artis atau penonton
Aug 07, 2023 | 05:30 AM



Di dalam hati berkata-kata: “Banyak betul konsert pada Ogos ini ya?” Saya baru sahaja memeriksa kalendar digital dalam telefon bimbit dan mendapati terdapat lapan konsert untuk dihadiri, sebahagiannya di atas undangan sebagai wartawan yang memberi ulasan dan bakinya dibeli sendiri kerana saya memang meminati artis yang datang berkunjung.

Dengan konsert artis antarabangsa dari negara jiran dan dunia Barat menghujani pasaran sejak sempadan dibuka menyusuli tempoh ‘mendak’ Covid-19, kadangkala saya tertanya-tanya teman ‘kaki konsert’ apakah mereka tidak penat terlari-lari ke lokasi konsert hampir setiap minggu? Tidakkah terasa kocek ‘berlubang’ dan simpanan yang kian surut dek kunjungan ke hampir setiap konsert yang diadakan?

Bagaimanapun, rata-rata menyatakan mereka belum sampai ke tahap ‘concert-fatigue’ atau keletihan dek menghadiri bermacam konsert kerana ingin ‘membayar niat’ tempoh tiga hingga empat tahun yang lesu tanpa sajian hiburan ‘live’.


Sebenarnya, ada baik dan buruknya apabila konsert dan pesta muzik bertali arus singgah ke Kota Singa ataupun negara jiran Malaysia.

Pertama, ada sahaja kegiatan yang boleh dinikmati si pencinta muzik, khususnya yang mendengar bermacam genre lagu daripada hip hop ke K-Pop, balada, rok mahupun instrumental. Kedua, anda mungkin menjadi orang pertama yang menikmati contoh lagu terbaru si artis yang ingin memberi kejutan kepada peminatnya.

Baru-baru ini, kumpulan wanita popular dari Malaysia, Dolla, sempat menyajikan penonton di Pesta Muzik Majulah 2023 di Somerset Skatepark, lagu terkini mereka yang disampaikan dalam campuran bahasa Sepanyol dan Melayu, Damelo, yang bermaksud ‘berikannya kepada aku’.


ISU 1975 ROSAKKAN PERIUK NASI ARTIS LAIN

Sungguhpun begitu, implikasi konsert sering datang bertamu boleh mewujudkan senario kurang sedap dipandang mata atau cakap mudahnya, perangai buruk sang artis mahupun penonton.

Kecoh selama berhari-hari lamanya tentang band pop rok Inggeris 1975 dari Wilmslow, Cheshire, yang menyebabkan pembatalan Pesta Good Vibes dan juga larangan buat artis antarabangsa membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

Bak kata peribahasa ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Vokalis 1975, Matty Healy, mencetuskan kontroversi apabila beliau menyelar undang-undang anti-LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer) Malaysia dan mencium seorang lagi anggota kumpulan itu, Ross MacDonald, di atas pentas semasa persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

Apakah langkah Healy itu bijak sedangkan beliau telah merosakkan periuk nasi artis lain dan ramai kru belakang tabir yang terbabit dan sepatutnya menjayakan Pesta Good Vibes? Ternyata, ramai yang melabel tindakannya itu bodoh dan merugikan serta menyusahkan artis lain. Sebilangan penonton yang sepatutnya menghadiri pesta itu pula merungut kerana sesetengahnya masih tidak tahu apakah wang mereka akan dikembalikan.

MUSIM LEMPAR BARANG DAN SERANG ARTIS ATAU PENONTON

Sejak akhir-akhir ini pula, artis dengan nama besar mula bingit kerana wujud semacam trend penonton konsert melontar barangan sehingga kadangkala mencederakan artis yang sedang teruja menghiburkan peminat. Penyanyi Adele bahkan terang-terangan meminta peminat agar tidak terjebak dengan perangai buruk ini dan melontar barangan ke arahnya.

Rapper Cardi B pula bagaikan mencari nahas apabila meminta penonton memercikkan air ke arahnya kerana terasa panas dek cuaca yang membahang di Dra’s Beach Club, Las Vegas, baru-baru ini. Sebaliknya, seorang penonton telah menyimbah air dan air batu ke arahnya sehingga Cardi B naik angin dan melontar mikrofon kepada penonton berkenaan. Mujurlah, kes yang dilaporkan kepada polis itu tidak menyebabkan Cardi B didenda atau dipenjara kerana boleh menyebabkan kecederaan pada penonton.

Sebenarnya, banyak perkara yang perlu dilakukan penganjur demi keselamatan penonton konsert. Jangan sampai terjadi rusuhan dan pergaduhan yang boleh mencederakan dan lebih buruk lagi mengorbankan nyawa sesiapa.

Pada 5 November 2021, rempuhan lautan manusia berlaku di Pesta Astroworld 2021 sekitar Houston, Texas sehingga menyebabkan maut. Rapper Travis Scott adalah pengasas pesta muzik itu.

Jangan kerana setakat ingin mengubati rindu pada persembahan ‘live’, maka sikap peri kemanusiaan hilang.

PECUTAN ADRENALIN UNTUK TEMPAH TIKET

Orang dahulu terkejar-kejar dalam aktiviti lasak untuk rasakan pecutan adrenalin. Bagaimanapun, pada zaman sekarang, nak beli tiket dalam talian juga sudah dianggap boleh menimbulkan pecutan adrenalin. Apa tidaknya? Yang berpeluh, sibuk menghubungi saudara-mara dan sahabat-handai untuk tolong ‘beratur’ dalam talian bagi merebut tiket laris Taylor Swift, Coldplay dan Ella, sudah cukup menggambarkan individu yang terbabit berada dalam zon stres sampai segala kerja pejabat pun tergendala.

Memang sukar difahami perkara ini dan rasa remuk-redam apabila penat beratur tetapi tiket pun tak dapat! Takrifan pecutan adrenalin mungkin sudah berubah. Yang kasihan, ibu dan ayah yang terpaksa tumpang sekaki dalam budaya rebut tiket dalam talian demi anak-anak. Berapa ramai teman saya yang mempunyai anak remaja yang mengeluh kerana bukan sahaja wang kehabisan tetapi masa juga terbuang.

KONSERT MELAYU LEBIH TERKAWAL

Di dalam saya geleng-geleng kepala melihat kesan ‘serangan’ lautan konsert ke Singapura, saya sekurang-kurangnya gembira konsert Melayu atau Indonesia yang diadakan tahun ini tidak mengecewakan dari segi nilai yang boleh dibawa pulang.

Kumpulan Masdo mempunyai ramai peminat fanatik yang akan bersorak dan menari ikut gerak secara bersepadu di serata lokasi konsert. Sungguhpun begitu, penontonnya dengar kata dan akan secara beramai-ramai berhenti menari dan duduk sopan di tempat duduk masing-masing selepas lagu berhenti. Semuanya secara automatik.

Konsert yang menekankan tentang budaya seperti Konsert Simfoni Keroncong Nusantara dan Belagu (Dayang Nurfaizah) cukup menyentuh kalbu. Begitu juga Konsert Gendang Pati yang disajikan ‘Sifu’, Datuk M. Nasir. Terasnya konsert sebegini meninggalkan kesan dari segi ilmu warisan dan khazanah nostalgia yang boleh dibawa pulang.


Pada akhirnya, kita juga tidak mahu berhibur kosong tetapi berhibur dengan arah tujuan. Nak bayar niat selepas lama tiada konsert pun harus diiringi dengan niat dalam hati. Perlu tanya juga apa fungsi berhibur?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >