Beberapa hari lalu, ibu kepada klien tetap saya – seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun yang disahkan autistik – menghantar mesej secara tergesa-gesa.
Beliau minta berbincang segera selepas sesi kerana guru prasekolah anaknya telah memanggilnya untuk berbual tentang perkembangan kanak-kanak itu.
Kata ibu itu, sebelum sempat beliau duduk, guru terus bersuara: “Anak awak ni tak tahu hormat orang. Boleh ajar dia adab sikit tak?”
Nada suara tegas dan pandangan tajam membuatkan si ibu termangu.
Bukan sekali ini beliau disindir sebegitu.
Tapi setiap kali hatinya tetap luluh.
Lebih-lebih lagi kerana kata-kata itu datang daripada seorang pendidik – seseorang yang sepatutnya memahami anaknya dengan lebih empati, bukan menghukum tanpa usul periksa.
Kanak-kanak itu tidak bercakap seperti rakan sekelasnya.
Apabila disuruh menyalin, dia termenung.
Apabila kelas bising, dia tutup telinga.
Dia lebih suka bermain bersendirian daripada bermain bersama kawan-kawan.
Tapi apabila dia tenang, dia boleh duduk susun blok ikut warna, bentuk dan saiz dengan tepat.
Ibunya bukan tidak cuba.
Beliau bangun awal, ulang rutin, latih bercakap dan sabar apabila anaknya mengamuk.
Tapi setiap kali anaknya masuk sekolah, harapannya runtuh.
Yang salah tetap ibu. Yang pelik tetap anak.
Tiada siapa yang cuba menyelami dengan ihsan dan kasih sayang.
Yang datang cuma pandangan tajam, andaian yang salah dan kata-kata yang menikam hati.
Rasulullah saw pernah bersabda kepada Aisyah ra: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dalam semua urusan.” (HR. Al-Bukhari, no. 6927).
Hadis ini bukan sekadar peringatan akhlak, bahkan satu panduan mendalam untuk mereka yang memegang amanah mendidik – guru, ibu bapa dan seluruh masyarakat.
Apabila berhadapan kanak-kanak yang belajar dengan cara berbeza, pendekatan lembut bukan pilihan kedua – ia adalah asas utama.
Kanak-kanak yang sering dianggap ‘degil’, ‘malas’ atau ‘tidak tahu hormat’ mungkin sebenarnya hanya perlukan ruang, masa dan seseorang yang melihatnya dengan kelembutan.
Di sinilah sunah Nabi benar-benar hidup – apabila kita memilih untuk membimbing, bukan menghakimi – satu pengajaran bahawa kelembutan adalah asas kepada rahmat dalam membimbing dan mendidik.
Allah swt turut berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 90: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat ihsan dan memberi kepada kaum kerabat, dan melarang daripada perbuatan keji, mungkar dan zalim.”
Menurut tafsiran Ibn Kathir, ayat itu membawa maksud Allah swt menyeru kepada keadilan dalam kata dan perbuatan, berbuat ihsan kepada semua termasuk anak kecil dan memberi hak kepada yang memerlukan.
Saya sering mendengar kisah yang hampir sama – bukan daripada satu dua orang ibu bapa malah daripada ramai yang datang dengan rasa bersalah dan buntu.
Mereka bukan datang untuk menyalahkan sesiapa.
Mereka cuma mahu difahami.
Seorang murid suka melompat semasa bacaan doa pagi dan sering menyampuk ketika cikgu bercakap.
Dia dimarahi di depan semua kerana dianggap kurang ajar.
Namun sebenarnya, dia mempunyai Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), dan sedang bergelut untuk mengawal tubuh dan dorongan gerak hati.
Seorang kanak-kanak perempuan diam membatu apabila diminta membaca kuat.
Dia kelihatan gelisah lalu tunduk dan tidak menjawab.
Cikgu menyangka dia tidak mahu cuba. Tapi sebenarnya dia mengalami disleksia – huruf pada kertas sering beralih dan berpinar di matanya.
Seorang murid menolak tangan cikgunya yang cuba membantunya memakai apron.
Cikgu tersinggung dan menganggapnya biadab.
Tapi kanak-kanak itu sebenarnya autistik – dia sangat sensitif kepada sentuhan dan perlukan masa untuk rasa selamat.
Seorang murid lelaki tiba-tiba menjerit dan menolak kerusi apabila disuruh berhenti bermain.
Guru kata dia kuat melawan. Tapi kanak-kanak itu sebenarnya ada kecelaruan ingkar atau ‘oppositional defiant disorder’ (ODD) – dan sedang bergelut dengan perasaan marah yang dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak kawal.
Kisah-kisah ini bukan untuk menuding jari.
Tapi kita tidak boleh lagi anggap ia ‘biasa’.
Kanak-kanak yang perlukan pendekatan berbeza ini bukan kurang ajar – mereka hanya belum diberi peluang untuk difahami.
Saya percaya ramai guru berniat baik.
Tapi niat tidak cukup tanpa sokongan.
Di Singapura, seorang dalam 150 kanak-kanak berada dalam spektrum autisme.
Tapi mengikut laporan, tidak semua guru prasekolah diberi latihan dalam bidang ini.
Cikgu belajar cara mengajar Matematik dan Fonik, tetapi apabila murid tidak boleh duduk diam atau menangis setiap pagi, mereka bingung.
Mereka pun manusia.
Mereka juga perlu dibimbing.
Tapi jika sistem tidak melatih dan menyokong mereka, mereka akan salah faham – dan akhirnya anak dan ibu bapa yang jadi mangsa.
Ramai ibu bapa sedar lebih banyak cabaran menanti:
– Tempoh menunggu diagnosis rasmi di hospital boleh mencecah antara 12 dengan 18 bulan.
– Tanpa laporan, sukar mendapat bantuan rasmi. Tapi terapi swasta mahal.
– Ada tadika enggan menerima kanak-kanak selepas tahu tentang diagnosis.
– Anggota keluarga mula menjauh atau menyindir.
Untuk membantu kanak-kanak ini, kita perlu mulakan dengan soalan: “Apa lagi yang belum kita sediakan untuk mereka?”
– Latihan wajib untuk guru prasekolah tentang cara menyokong kanak-kanak yang perlukan pendekatan berbeza.
– Setiap sekolah dilengkapi dengan pakar sokongan perkembangan awal, bukan hanya mengharap pada cikgu biasa.
– Permudahkan jalan kepada terapi – jangan paksa ibu bapa tunggu terlalu lama untuk ‘dokumen rasmi’ sebelum boleh mendapatkan bantuan.
– Wujudkan ruang selamat di sekolah untuk kanak-kanak yang perlukan masa bertenang.
– Betulkan tanggapan dalam masyarakat melalui kempen melibatkan guru agama, ketua masyarakat dan pakar.
Kanak-kanak yang diam dalam kelas bukan sombong – mungkin dia tidak tahu cara mula bercakap.
Kanak-kanak yang mengulangi soalan bukan mengada-ngada – dia mungkin berasa cemas.
Kanak-kanak yang tidak ikut arahan bukan degil – dia mungkin perlukan penerangan lain.
Dan ibu bapanya, mereka bukan kurang mengajar anak.
Mereka sedang belajar untuk faham anak yang perlukan pendekatan berbeza.
Jadi sebelum kita ulang soalan: “Awak tak tahu ajar anak awak adab ke?”
Tanyalah dulu: “Apakah yang belum saya faham tentang anak ini?”
Ini kerana apabila kita semua belajar untuk melihat dengan hati, kita akan nampak setiap kanak-kanak, termasuk yang berbeza, ada tempat dalam dunia ini.
Penulis ialah pendidik dan pakar campur tangan untuk kanak-kanak ‘neurodiversiti’ dengan pengalaman lebih 20 tahun. Sebagai pengasas Tink It!, beliau memperjuang pendidikan terangkum, pembangunan fungsi eksekutif dan ketahanan emosi kanak-kanak. Beliau beriltizam membantu ibu bapa, guru dan pelajar melalui program dan bengkel yang meraikan keunikan setiap individu. Ikutinya di Instagram @drsitinspires atau @tinkit.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg