Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Berita palsu Maman meninggal buat peminat terkejut

Jun 18, 2022 | 05:30 AM



BEBERAPA hari lalu, ramai menjadi keliru di TikTok berkenaan sama ada penyanyi kelahiran Singapura, Maman, masih hidup ataupun sudah tiada lagi. Semua berlaku gara-gara komen dari seseorang peminat yang mengaku dirinya kawan Maman.



Dalam akaun TikTok itu, video persembahan Maman bersama kumpulan Teacher's Pet dimuat naik dan mendapat sambutan baik.



Setelah komen seorang warganet yang mengatakan Maman sudah meninggal dunia kelihatan, ramai yang jadi hairan dan tertanya-tanya.



"Terima kasih admin (creator) atas posting ini. Tribute untuk sahabatku Maman yang telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan yang lalu. Alfatihah untuk beliau." - begitulah yang tertulis di ruangan komen yang menyebabkan ramai peminat dan industri muzik panik.



Berita Harian cuba mendapatkan Maman untuk pengesahan. Ternyata sebelum sempat berbual dengan penulis, Maman sendiri telah mendapat banyak panggilan yang inginkan kebenaran.



"Saya mendapat banyak panggilan dari keluarga dan kawan-kawan industri. Mereka semua ingin tahu, dan saya sendiri terperanjat mendapat berita palsu ini," katanya.



Maman yang terkenal sebagai penyanyi kumpulan Teacher's Pet kini masih berada di Kuala Lumpur sejak tahun lalu.



"Saya sebenarnya tidak pernah tinggalkan Malaysia. Bermula dari saya melangkah ke dalam bidang seni seawal tahun 1990-an, saya memang di Kuala Lumpur, lebih dari saya berada di Singapura.



"Cuma bezanya, dulu saya berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur. Tapi dari 2021, saya berhijrah sepenuhnya ke Kuala Lumpur," cerita Maman tentang keputusannya menginap di seberang Tambak pada waktu ini.



Pada awal tahun 2000, Maman pernah 'pindah' ke sana dan perjalanannya itu diabadikan di dalam album Hijrah yang diterbitkan pada 2009.



Tambahnya: "Hijrah saya dulu adalah dari sudut jiwa, dan dari situ saya bina kekuatan satu persatu untuk menjadi insan yang lebih baik setiap hari."



Maman kini sedang memberi tumpuan penuh menyempurnakan 20 karya baru yang diilhamkan sewaktu tempoh pemutus litar jangkitan Covid-19.



Kesemua lagu itu masih dalam proses penerbitan - 12 lagu baru saja selesai melalui proses prapengeluaran, lapan lagu telah pun dirakamkan di studio dan empat lagi lagu masih dalam proses akhir iaitu adunan dan pengindukan.



"Saya percaya yang karya-karya saya pada kali ini, lebih memaparkan kedewasaan saya di dalam genre rok," jelasnya lagi.



Penerbitan lagu baru ini akan menggabung bakat profesional dari Kuala Lumpur termasuk wira-wira gitar atau Guitar Hero seperti Man Kidal, Hillary Ang dan Ritz (Metalasia).



Sementara kekuatan lagu-lagu diberikan melalui bes yang dimainkan oleh Datuk Nasir Abu Kasem, dram oleh Yuri, Sotong dan Zahid Ahmad dengan susunan muzik oleh Reza Ramsey (Bajai).



Kali terakhir Maman membuat persembahan secara langsung adalah pada Disember 2019, di Kuala Lumpur.



"Saya benar-benar berharap keputusan saya untuk kembali aktif akan menyemarakkan lagi industri seni.



"Saya amat gembira apabila melihat rakan-rakan seperjuangan seperti kumpulan Search, Wings dan ramai lagi yang kembali bergiat dalam industri," kata Maman sambil memberi keyakinan kepada peminat beliau akan kembali ke pentas tidak lama lagi.



"Mungkin Teacher's Pet akan membuat satu persembahan penyatuan semula atau reunion untuk memenuhi permintaan semua peminat," katanya.



Dalam kesibukan jadualnya, Maman tidak lupa penyokong setia dalam hidupnya.



"Saya tidak akan ada kekuatan tanpa isteri dan anak saya. Mereka sentiasa bersama saya dan senyuman mereka sudah cukup untuk menaikkan semangat saya bagi menjalankan kewajipan saya sebagai insan seni yang bertanggungjawab," ujarnya lagi.



Sebelum ini, beberapa berita palsu mengenai kematian artis seperti pelawak AR Badul, penyanyi Datuk M. Daud Kilau, pelakon asal Singapura, Shah Iskandar dan pelakon Noorkhiriah turut tersebar di media sosial.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >