Sehingga 31 Disember, anda boleh membawa anak-anak menaiki kereta kabel bertema animasi popular, Hello Kitty dari Puncak Mount Faber ke Sentosa.
Kesemua 67 kabin di Laluan Mount Faber, tidak termasuk tujuh kabin SkyOrb, dihiasi dengan reka bentuk dan ilustrasi Hello Kitty.
Ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 kedua-dua Kereta Kabel Singapura dan Hello Kitty.
Kereta Kabel Singapura telah menyambut ulang tahun ke-50 pada 15 Februari, manakala Hello Kitty akan menyambut ulang tahun ke-50 pada 1 November.
Sambutan bersama itu, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan lima reka bentuk kabin bertema hari jadi unik yang menampilkan Hello Kitty dan keluarganya, termasuk kakaknya Mimmy dan ibu bapa mereka, serta temannya Dear Daniel.
Patung Hello Kitty setinggi dua meter akan mengalu-alukan ketibaan keluarga anda di Puncak Mount Faber.
Ambil kesempatan itu untuk bergambar dan membawa pulang cenderamata dengan mengunjungi Kedai Cenderamata Kereta Kabel Singapura di Puncak Mount Faber dan Imbiah Lookout.
Tiket untuk menaiki kereta kabel ulang-alik di Laluan Mount Faber dan Laluan Sentosa berharga $35 bagi dewasa dan $25 bagi kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun.
Kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah boleh menaiki kereta kabel secara percuma.
Mereka yang berminat boleh menambah $10 untuk menaiki kereta kabel tanpa had dalam satu hari.
Layari pautan bh.sg/keretakabel untuk maklumat lanjut.
Bawa anak-anak meneroka masa depan pengangkutan di ruang bermain seni baru yang dipanggil Many Alternative Possibilities atau M.A.P.
Terletak di pusat seni kanak-kanak, The Artground, Goodman Arts Centre, kesemua kegiatan diilhamkan dengan tema pengangkutan.
Terokai suasana penuh berwarna-warni dan menyeronokkan sambil mengenali kereta api, bas dan rangkaian pengangkutan Singapura.
Kanak-kanak boleh menggunakan daya kreativiti mereka untuk membina dan menaiki kenderaan mereka sendiri di Depoh Bas dan Terminal Tinker.
Terdapat dinding dengan peta gergasi yang menggambarkan stesen MRT di Singapura yang memberikan gambaran betapa luasnya rangkaian kereta api di sini.
M.A.P yang berlangsung sehingga 30 Mac 2025 itu dikonsepkan oleh pelajar dari sekolah khas autisme pertama Singapura, Sekolah Pathlight, dengan kerjasama The Artground.
Terdapat juga ruang khas untuk bayi bermain dengan selamat, sesuai dengan usia mereka.
Kanak-kanak boleh berehat di tempat duduk yang dikitar semula daripada gerabak MRT.
Menariknya, kanak-kanak juga boleh mencuba kemampuan mereka ‘mendaki’ di ruang yang dipanggil Scrap Yard.
Pelbagai bahan kitar semula seperti pemegang yang terdapat dalam gerabak MRT turut digunakan.
Menerusi satu video di bahagian yang dipanggil Flying Bus, pelajar Sekolah Pathlight juga berkongsi fakta tentang sistem pengangkutan di Singapura.
Ruang permainan dibuka antara 2 petang dengan 3.45 petang dari Rabu hingga Jumaat; dan dibuka antara 9.15 pagi dengan 10.45 pagi, serta 2 petang dengan 3.45 petang pada Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih.
Setiap sesi berlangsung selama 75 minit.
Masuk percuma tetapi pengunjung harus meletakkan $15 sebagai deposit untuk setiap tempahan tempat.
Deposit akan dipulangkan dengan kehadiran anda.
Satu tiket sah diperlukan untuk kemasukan sehingga lima orang. Kanak-kanak mesti ditemani dan diawasi oleh orang dewasa. Mereka yang berminat, harus menempah slot dalam talian.
Layari pautan bh.sg/map untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg