Topic followed successfully
Go to BHkuBiduanita legenda Sanisah Huri sentuh jiwa penonton dengan suara emas, lagu 'hit'
Biduanita legenda Sanisah Huri sentuh jiwa penonton dengan suara emas, lagu 'hit'
Biduanita legenda Sanisah Huri sentuh jiwa penonton dengan suara emas, lagu 'hit'
SEWAKTU berada di luar bangunan Esplanade pada Sabtu (23 Julai), kedengaran seorang wanita 20-an tahun bertanya kepada suaminya kehairanan, "Wah, ramai betul orang di dalam. Konsert apa ya hari ini?"
Suaminya secara berseloroh berkata: "Konsert Awie agaknya!"
Awal sebelum itu, jurugambar Berita Harian, Nur Diyana Taha, mengirim pesanan WhatsApp kepada saya yang masih berjalan ke tempat konsert diadakan...maklumlah perlu merentas jauh sebab jalan banyak ditutup kerana raptai Perbarisan Hari Kebansgaan yang berlangsung di Pentas Terapung Marina Bay.
Bunyi pesanan WhatsApp beliau: "Bukan main ramai orang kak...semua tengah tunggu nak masuk dewan konsert."
Begitulah sambutan amat menggalakkan dan meriah bagi konsert biduanita Sanisah Huri yang lama dinanti-nanti peminat sebab tertunda kerana pandemik Covid-19 beberapa kali.
Apabila kami masuk ke ruang dewan konsert sekitar 7.30 malam, sudah ramai yang menanti kehadiran biduanita anggun ini.
"Ramai betul ya peminat Sanisah Huri. Bukan sahaja ada mak cik pak cik, tapi ada anak muda juga," bisik penonton di belakang yang teruja sambil menambah lagu-lagu Sanisah adalah santapan halwa telinganya sewaktu di bangku sekolah pada tahun 1970-an.
Penangan Sanisah yang sudah mencecah usia 70 tahun memang tidak dapat dinafikan. Masih anggun, masih jelita, masih manis, suaranya pun 'power', mengukuhkan lagi persepsi bahawa usia yang lanjut itu hanyalah angka.
Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan artis barat sebaya atau lebih berusia daripada Sanisah - dari Engelbert Humperdinck (kini 86 tahun); Olivie Newton-John (73 tahun); Peter Cetera (77 tahun) hinggalah Lionel Richie (73 tahun).
Semuanya masih 'steady', lincah di pentas walau tak seligat dahulu kerana faktor usia dan tenaga...faham-faham sahaja. Kadangkala mereka termengah dan inginkan air jarang untuk diteguk seketika.
Namun selebihnya, mereka tetap memberi penonton 'cendera hati bermakna' untuk dibawa pulang meskipun ia hanya kenangan lalu yang tidak akan kembali lagi.
Saya lihat pasangan suami isteri di depan sama-sama menyanyikan lagu Sanisah yang 'hit' - mungkin ada daripadanya yang membuatkan mereka terkenang zaman manis berkenalan dan bercinta.
Pendek kata, Dewan Konsert Esplanade bergema dengan suara lunak Sanisah yang tampil dengan 20 lagu 'hit' yang setiap satu mempunyai cerita dan sejarah di sebaliknya.
Dari tingkat pertama hingga tingkat keempat dewan konsert, sarat terisi 1,500 peminat dari pelbagai lapisan usia yang ingin menyusuri jalan kenangan dengan lagu malar segar Sanisah yang sentiasa terukir senyuman di bibirnya.
Mereka melambaikan tangan, menggoyangkan badan dan tersenyum sepanjang konsert.
Konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa selama hampir dua jam dibuka tirainya dengan lagu Ku Rindu Pada Mu dan runut bunyi filem A-Go-Go '67, Siapa Gerangan.
Jika kebiasaannya beliau dikenali sebagai bintang pemalu dengan budi bicara yang sopan dan tidak banyak berkata-kata, malam Sabtu itu, sisi Sanisah yang ingin berkongsi perjalanan seninya, mudah berinteraksi dan pandai bergurau mencuit hati penonton dapat dilihat.
"Alhamdulillah, Kak Nisah lebih banyak berbual...kelakar juga apabila dia kata, tak boleh minum air telalu banyak sebab takut nak terbuang air kecil semasa persembahan," jelas peminatnya, Encik Abdul Rahim Mohd Noor, 59 tahun, yang datang seorang diri kerana minatkan suara merdu Sanisah.
Lagu-lagu berirama Hindustan (Ku Jangan Ditinggalkan), keroncong (Keroncong Mencari Bahagia) dan joget (Joget Malam Berinai) berkumandang membuatkan beberapa penonton sebaya terhibur dan mengenang zaman muda mereka.
Syabas kepada pasukan penerbitan yang dipimpin pengarah konsert dan penolong peribadi Sanisah, Cik Rusedah Tawahid, serta penerbit eksekutif Chairul Fahmy Hussaini.
Pengarah Muzik, Din Safari, yang dibantu pengarah muzik di pentas, Syawal Kassim serta barisan pemuzik professional tempatan dan luar negara juga bagai membawa penonton melayari era emas kegemilangan Sanisah antara 1960-an hingga 1980-an.
Di puncak jaya kerjayanya, Sanisah tidak melupakan mereka yang banyak berjasa dalam mencoraknya menjadi penyanyi yang diingati hingga ke hari ini.
Antara yang dikenang termasuk Allahyarham Kassim Masdor sebagai penggubah banyak lagu terkenalnya dan juga penulis lirik, Yusnor Ef.
Sanisah turut memberi penghormatan kepada kumpulan yang pernah mengiringinya seperti The Terwellos, The Hooks dan kugiran Indonesia, Clique Fantastique serta biduanita Rafeah Buang dan Kartina Dahari yang menjadi sumber inspirasinya.
Beliau juga menyatakan tidak ramai yang tahu tentang penggubah lagu popular Si Baju Hijau iaitu Asnadi Markop yang tidak pernah beliau temui sehingga hari ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Asnadi dan juga penulis lirik lagu ini, A. Romzi. Tak ramai tahu A. Romzi yang menghasilkan lirik Si Baju Hijau," ujarnya.
Beliau mengenang pertemuan sulung dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, nama besar dunia hiburan Nusantara ketika itu.
"Saya ikut Abang Kassim bertemu P. Ramlee. Saya masih ingat beliau memuji mutu lagu ciptaan Abang Kassim. Orangnya merendah hati, menghargai, sederhana dan santai. Cuma pakai singlet putih biasa ketika kami bertemu," cerita Sanisah.
Beliau tergelak mengenang pengalaman buat 'show' bersama Datuk Sharifah Aini.
"Melihat migrain dapat diubati dengan teknik tarik rambut, saya minta Sharifah buat untuk saya. Lucunya, dia cuba tetapi tercabut pula segumpal rambut saya!" ceritanya.
Sanisah menyingkap semula bagaimana lagu Tahun Sedih Bagiku membuatnya terkenangkan kisah pemergian datuknya yang memberi impak padanya dan payah dilupakan.
Irama lagu Gelisah yang mendayu-dayu pula merupakan luahan rasa Yusnor yang ketika itu resah apabila cintanya pada seorang gadis Punjabi tidak diterima.
Namun, bak kata pepatah kalau jodoh tak ke mana...gadis itu menjadi miliknya hingga hari ini.
Banyak butiran maklumat bersejarah yang tidak pernah kita dengar daripada Sanisah.
Sebagai seorang penonton konsert yang gemar mengetahui kisah sejarah di sebalik setiap lagu dan kenangan pahit manis yang berkait rapat dengannya, lebih dari setakat sajian hiburan semata-mata, saya benar-benar terhibur.
Maklumat kecil-kecilan sebeginilah yang memperkaya ilmu kita sebagai pencinta seni bahkan lebih menghargai pengorbanan dan jerih payah yang dilalui karyawan legenda, baik komposer Kassim, penulis lirik Yusnor dan penyanyi lagu-lagu emas ini sendiri dan bintang pada malam itu, Sanisah.
Malahan, besar harapan saya perjalanan hidup beliau dapat dibukukan atau dijadikan bahan bacaan dalam talian sebagai rujukan anak-anak muda yang baru bergiat dalam bidang seni.
Selagi bintang yang memperkaya warisan muzik Melayu kita masih ada, inilah masa untuk mereka berkongsi perjalanan nostalgik mereka.
Gembira apabila melihat ada pihak yang sudi mengemukakan barisan penyanyi era 1960-an dan 1970-an yang sudah lama tidak muncul di khalayak ramai atau di kaca televisyen.
Dalam bulan-bulan mendatang, bahkan dapat dilihat Datin Effa Rizan, Datin Milah Hussein Suhaily Shamsuddin, A. Razak, J. Mizan dan Datuk Jeffridin tampil dalam acara berbeza - yang satu anjuran Wadah Seni Entertainment dan yang lagi satu pula anjuran Blitzz Event Management.
Kata peminat Sanisah, Cik Manisah Hamdan, 67 tahun, yang datang bersama beberapa rakan sebaya:
"Sanisah adalah penyanyi wanita yang penuh sopan santun dan beradab ketika berbicara. Orang sekarang ada Siti Nurhaliza yang positif imejnya. Zaman saya dahulu Sanisah.
"Saya suka dengan kandungan lagu-lagunya. Di sebalik lagu cinta Kisah Tuah dan Tijah serta Taj Mahal, ada kisah perjuangan dan pengorbanan Hang Tuah dan Tun Teja serta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal."
Dalam pada itu, turut dipuji adalah penampilan bakat Singapura, Diana Nazyra Razak dan Dhwan Abu yang biasanya mengiringi penyanyi sebagai penyanyi latar dalam program televisyen atau acara lain.
Kali ini, mereka diberi penghormatan menghidupkan semula lagu duet Sanisah dan Allahyarham M. Ramlee, Ingin Tahu dan Bila Tiba Masa.
Penerusan legasi muzik Singapura ini harus dipacu agar lagu bermutu tidak hilang begitu sahaja.
Moga dengan berjayanya konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa, dapatlah ia dibawa menyeberangi Tambak jika ada rezekinya. Sebab pastinya ramai peminat Sanisah di Malaysia masih merindui suara buluh perindunya yang tidak banyak berubah walau zaman terus beredar.

