Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Biduanita Rahimah Rahim penerima Pingat Budaya

Nov 24, 2021 | 07:07 PM



SENI mendarah daging dalam diri biduanita Rahimah Rahim sejak usianya enam tahun dengan beliau membintangi filem Cathay-Keris, Korban Kasih, pada 1961.



Apakan tidak? Bapanya Rahim Hamid terkenal dengan julukan 'Nat King Cole Singapura' manakala ibunya Mariam Baharum yang turut diberi gelaran 'Mariam Tahi Lalat' merupakan pelakon filem klasik Aloha dan Kipas Hikmat. 



Rahimah  juga sebahagian sejarah dunia televisyen Melayu di Singapura apabila menjayakan drama televisyen Melayu Singapura pertama di Channel 5, Pak Awang Temberang sekitar 55 tahun lalu.



Dunia nyanyian yang lebih mengharumkan namanya kemudian diceburi seawal usia 14 tahun. Rahimah yang bakal mencecah usia 66 tahun pada 9 Disember ini mengharumkan nama Singapura dengan memenangi peraduan Kimi Koso Star di Tokyo, Jepun, pada 1974.



Sejak itu, beliau yang telah menghasilkan 12 album solo dan beberapa album EP mula menebarkan sayapnya dan turut mewakili Singapura ke beberapa pesta lagu antarabangsa serta sambutan Hari Singapura di luar negara.



Lagu-lagu Rahimah seperti Gadis dan Bunga, Cabaran Cinta dan Hati Yang Rapuh kekal malar segar sehingga hari ini, dinyanyikan anak muda dalam peraduan realiti atau generasi muda yang menyiapkan lagu 'cover'.



Enam dekad dalam persada seni hiburan bukan tempoh yang singkat. Bakti setianya diiktiraf pada Rabu (24 November) apabila beliau menerima anugerah tertinggi kesenian di Singapura yang ditadbir Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan disampaikan Presiden Halimah Yacob di Istana.



Selain Rahimah, penulis novel perkembangan sejarah Singapura, Encik Chia Joo Ming, 62 tahun, turut disampaikan dengan Pingat Budaya berprestij ini.



Mereka setiap seorang menerima piala dan akses memanfaatkan sehingga $80,000 daripada Dana Pingat Budaya bagi melaksanakan projek atau inisiatif seni yang terus mencorak landskap seni Singapura.



Turut disampaikan di Istana adalah Anugerah Seniman Muda buat enam penggiat seni muda. Mereka terdiri daripada seniman tari Norhaizad Adam, 34 tahun; penggubah lagu Charlie Lim, 33 tahun; pemuzik ‘Carnatic’ (sistem muzik India Selatan), Chitra Poornima Sathish, 35 tahun; penggiat teater Han Xuemei, 34 tahun; serta pengarah dan penulis naskhah filem, Yeo Siew Hua, 36 tahun.



Ketika ditemui di Esplanade, Rahimah, menjelaskan:



"Saya lebih melihat diri saya sebagai seorang penghibur dan bukan penyanyi. Kalau ada yang boleh terlerai duka laranya dengan mendengar lagu-lagu atau gurau senda saya di pentas, itu adalah kejayaan manis buat saya.



"Menerima anugerah ini sendiri membuatkan saya teringatkan arwah ibu dan ayah saya yang menyisipkan dalam diri saya nilai-nilai seorang anak seni yang disiplin, komited, miliki nyala rasa dan menyampaikan kerja seninya ikhlas dari hati tanpa mudah mengeluh atau rasa putus asa.



"Penganugerahan Pingat Budaya ini membawa bersamanya amanah dan tanggungjawab besar. Saya akan usahakan sesuatu yang membolehkan saya bekerjasama dengan generasi mapan seangkatan saya seperti Sanisah Huri mahupun bakat muda yang sedang menempah nama dalam persada seni Singapura.



"Akan ada juga projek keluarga bersama cucu-cucu saya yang menampakkan kecenderungan berseni meskipun tiada dalam kalangan dua anak saya yang berminat mengikut jejak saya dalam seni."



Mengulas pencapaian penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda, Presiden Halimah, berkata:



"Saya memuji penerima (Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda) kerana sumbangan yang tidak dapat dilupakan dan komitmen pada kraf (kerja seni) mereka.



"Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda meraikan puncak kesenian dan kreativiti baru yang akan mencetus inspirasi bagi kemungkinan akan datang dalam persada seni.



"Penerima tahun ini telah meneroka bentuk luahan artistik yang asli dengan kerja seni mereka meninggalkan impak berpanjangan terhadap masyarakat. Saya berharap pencapaian mereka akan menggalak lebih ramai seniman tunas harapan agar mengejar impian mereka. Tahniah buat semua penerima anugerah!"



Rahimah yang merupakan ikon nasional baru-baru ini terlibat dalam rakaman klip video bagi menggesa warga emas menjalani suntikan vaksin, Sudah Divaksinasi?



"Saya anggap projek nasional sebagai satu usaha saya menyumbang kepada masyarakat. Dahulu pun, sekitar tahun 1980-an, saya pernah terlibat dalam mendendangkan lagu sempena Kempen Budi Bahasa, Make Courtesy Our Way of Life," jelasnya.



Wawancara lanjut bersama Rahimah yang kini turut menggalas amanah sebagai penyampai aplikasi radio 'orang lama', Vintage Radio SG, boleh dibaca di Berita Harian pada Khamis (25 November).



 



 



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >