Usia Layla Lenstra hanya mencecah lapan tahun sahaja apabila beliau ‘dilepaskan’ menaiki pesawat secara solo buat pertama kali dari Dubai ke Amsterdam.
Kini pada umur 14 tahun, anak tunggal itu sudah melakukan lapan penerbangan solo.
Malah, anak remaja ini merancang untuk terbang sejauh ke Amerika Syarikat untuk melancong bersama temannya tanpa pantauan orang dewasa.
Melepaskan anak bawah umur untuk terbang secara sendirian mungkin sesuatu yang membimbangkan dan tidak biasa dilakukan.
Tetapi untuk sesetengah ibu bapa seperti Cik Nasriah Ishak-Lenstra, 45 tahun, melepaskan anaknya untuk perjalanan solo boleh menjadi satu pengajaran yang cukup berharga sambil memupuk sikap berdikari.
“Dia pulang dengan lebih keyakinan diri... pengalaman sebegini menjadikan anak saya lebih bertanggungjawab,” ujar Cik Nasriah yang menetap di Dubai.
Mengimbas kembali pengalaman pertama kali terbang solo, Layla berkata bahawa perasaannya bercampur baur – ada rasa gementar dan seronok.
Seorang lagi ibu yang pernah melepaskan anak kecilnya terbang solo ialah Cik Farhana Yusof, 42 tahun.
Anaknya, Hugo Arianto Sahlstrom, telah menaiki penerbangan dari Stockholm ke Skane di Sweden pada usia tujuh tahun bersama sepupunya yang berusia 10 tahun untuk bertemu datuk dan nenek mereka.
Cik Farhana yang menetap di Sweden menekankan penting untuk mendapatkan maklumat terperinci daripada syarikat penerbangan apabila anak-anak terbang solo agar tahu prosesnya.
“Dan pastikan mereka yang menghantar atau menerima kanak-kanak itu juga tahu prosesnya dan apa yang perlu dibawa,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg