Warga emas Jepun telah mencatat pencapaian penting, dengan lebih 95,000 merupakan centenarian iaitu warga yang melebihi usia 100 tahun.
Lebih 95 peratus daripada mereka adalah wanita.
Fenomena itu mencerminkan trend sejagat yang menyaksikan kaum wanita bukan sahaja hidup lebih lama, malah membentuk majoriti golongan yang mencapai umur lebih seabad.
Di peringkat sejagat, jumlah individu berusia 65 tahun ke atas dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, mencecah 1.5 bilion, manakala jumlah yang berusia 100 tahun atau lebih pula dijangka mencapai 3.2 juta.
Walaupun Jepun mendahului dari segi bilangan warga emas yang berusia lebih seabad, negara seperti Amerika Syarikat, China, dan Italy turut menunjukkan trend peningkatan.
Kawasan seperti Okinawa di Jepun dan Iceland turut mencatatkan jumlah mereka yang melebihi usia seabad agak tinggi.
Di Singapura, penduduk yang mencecah usia lebih 100 tahun telah meningkat pada kadar tahunan 4.5 peratus, mencerminkan jangka hayat yang semakin panjang di seluruh Asia.
Menurut agensi berita AFP, Korea Selatan pula meramalkan peningkatan 10 kali ganda dalam populasi centenarian menjelang 2030, menunjukkan perubahan demografi warga emas di rantau ini.
Salah satu faktor utama dalam jangka hayat kaum wanita yang panjang wanita ialah pilihan gaya hidup.
Wanita secara amnya hidup empat hingga lima tahun lebih lama daripada lelaki, kerana mereka lebih menitikberatkan kesihatan dan kesejahteraan melalui senaman berkala dan pemakanan seimbang.
Hubungan sosial yang kukuh turut menyumbang kepada umur mereka yang panjang.
Ia memberikan sokongan mental dan emosi yang mendorong penuaan sihat.
Hormon estrogen yang melindungi kesihatan kardiovaskular turut memainkan peranan penting.
“Ketahanan wanita, dari segi fizikal dan sosial, memberi kesan besar terhadap umur mereka yang panjang,” jelas pakar gerontologi, Dr Junko Tanaka.
Di Jepun, kerajaan sedang berdepan cabaran populasi yang semakin menua, termasuk kos penjagaan kesihatan yang meningkat serta kekurangan tenaga kerja.
Perangkaan menunjukkan 29.3 peratus daripada penduduk Jepun kini berumur lebih 65 tahun, yang mencerminkan perubahan demografi yang ketara.
Individu tertua di dunia, Cik Tomiko Itooka, 116 tahun, mengaitkan umur panjangnya dengan sikap bersyukur dan hubungan erat dengan masyarakat komuniti.
Lelaki tertua di Jepun, Encik Kiyotaka Mizuno, 110 tahun, menekankan rutin harian dan sikap tidak memilih makanan.
Di seluruh Asia, jangka hayat yang panjang dikaitkan dengan gabungan faktor genetik, gaya hidup, dan sosial.
Di Okinawa, yang dikenali sebagai salah satu ‘Zon Biru’ dunia, hampir seorang dalam 250 penduduk hidup lebih 100 tahun, suatu fenomena yang dikaitkan dengan diet, gaya hidup aktif, dan ikatan kemasyarakatan yang erat.
Di negara seperti Singapura, dengan populasi mereka yang berusia lebih seabad semakin meningkat, tumpuan terhadap akses penjagaan kesihatan dan amalan hidup sihat sangat penting untuk menyokong masyarakat yang semakin menua.
Jangkaan Korea Selatan untuk peningkatan 10 kali ganda dalam populasi mereka yang berusia lebih 100 tahun menjelang 2030 turut menekankan keperluan dasar yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan kesihatan dan sosial warga emas.
Untuk menyokong kesejahteraan golongan yang berusia lebih 100 tahun yang semakin meningkat, pendekatan yang menyeluruh diperlukan.
Ini termasuk mempromosikan gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan sosial, serta meningkatkan sistem penjagaan kesihatan bagi menangani keperluan unik golongan warga emas.
Negara lain boleh mengambil iktibar daripada pengalaman Jepun dan tabiat gaya hidup mereka yang mencecah usia lebih seabad.
Dr Tanaka menambah bahawa “ia bukan sekadar hidup lebih lama, malah hidup dengan baik”.
“Sokongan masyarakat, akses kepada penjagaan kesihatan, dan masyarakat yang terangkum adalah penting demi meningkatkan mutu hidup mereka yang berusia lebih 100 tahun,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg