Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bina kerjaya, niaga di 'gelanggang' tinju

Danish, Irfan rebut peluang jadi pemilik sebahagian niaga gim Spartans Boxing Club
Jun 20, 2021 | 05:30 AM



MINAT terhadap sukan tinju tidak disesiakan dua anak muda Singapura ini hingga mereka bukan sahaja dapat terus berkecimpung dalam sukan tersebut, malah telah menjadikannya sebagai satu kerjaya dan perniagaan.



Danish Husli dan Khairul Irfan Muhammad Haneef mula berjinak-jinak dengan sukan tinju sejak kecil, tetapi kini mereka memiliki sebahagian perniagaan di 'gelanggang' tinju Spartans Boxing Club di sini.



Bagaimanapun, bagi Danish, tinju bukan sukan pertamanya. Sebaliknya beliau awalnya berminat dalam sukan bola sepak.



Tetapi kenakalannya di sekolah dan berat badannya yang meningkat telah menjejas penyertaannya dalam sukan tersebut hingga beliau dikeluarkan daripada pasukan bola sepaknya itu.



Danish kemudian berkecimpung dalam sukan tinju - mulanya sebagai tempat untuk mengenali diri, selain sebagai kegiatan menghilangkan stres dan menurunkan berat badan.Ternyata penyertaan Danish dalam tinju membuahkan hasil.



"Pada usia 18 tahun, saya mewakili Singapura dalam pertarungan (tinju) antarabangsa pertama saya dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang," katanya yang kini berusia 25 tahun kepada Berita Harian.



Danish bermula dengan Spartans Boxing Club sebagai 'intern' bagi kursus diplomanya dalam bidang Sains Latihan dan Sukan.



Selepas tamat pengajian di Politeknik Republic, Danish menjadi antara kakitangan perintis kelab tersebut.



Beliau bermula sebagai jurulatih muda sebelum dijadikan jurulatih kanan.



Kini, Danish pemilik saham, pengurus dan ketua jurulatih bagi gim kelab tersebut di Downtown East sejak awal 2020.



"Saya menyertai Spartans (Boxing Club) pada lewat 2015. Bermula sebagai jurulatih, saya melihat potensi dalam perniagaan ini. Lima tahun kemudian, saya masih bersama Spartans yang telah memberi peluang kepada saya mengendalikannya sebagai satu perniagaan," kata Danish, yang juga berjaya menyertai anggota skuad Team SG.



Mempunyai matlamat mewakili negara dalam Sukan Sea dan Sukan Asia, beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada bekas jurulatih pertamanya, legenda tinju negara, Syed Abdul Kadir, yang masih mengikuti perkembangannya.



Bagi Irfan pula, beliau mula berkecimpung dalam dunia tinju pada usia 16 tahun bersama teman rapatnya.



Tinju, katanya, dapat mengajarnya cara untuk bertenang dan berfikir semasa menghadapi keadaan tertekan.



Bermula dengan Kadir Boxing School, Irfan juga menyertai pertarungan setempat dalam usia setahun jagung sebelum menyertai Spartans Boxing Club pada 2018 sebagai jurulatih muda.



Kerjaya Irfan dalam sukan tinju terus menyerlah apabila beliau dilantik sebagai pengurus besar kelab tersebut di Joo Chiat Road pada 2019.



Lewat tahun lalu, beliau bersama sekumpulan rakan niaga melabur dalam gim terbaru kelab itu di Tai Seng Centre sebagai pemilik saham, pengurus besar dan ketua jurulatih francais tersebut.



"Saya memutuskan menyertai francais Spartans Boxing Club kerana ia fokus untuk membina sebuah masyarakat menerusi kesihatan, selain keupayannya melakukan perubahan positif dalam kehidupan seseorang menerusi tinju," kata bekas pramugara berusia 29 tahun itu.



Spartans Boxing Club diasaskan oleh usahawan Nazar Musa pada 2015, yang menceburi sukan tinju "untuk menyelamatkan dirinya".



Ia kini mempunyai cawangan di 10 lokasi di Singapura, dengan lapan dibuka dalam tempoh setahun lalu.



Kenyataan kelab tersebut berkata sebagai sebahagian daripada perniagaan francaisnya, ia menyarankan francais baru memberi peluang kepada kakitangannya memiliki saham atau ekuiti dalam perniagan gim tersebut.Sejauh ini, tujuh warga muda Singapura telah menjadi pemilik sebahagian niaga gim Spartans Boxing Club mereka, kata kenyataan kelab tersebut.



"Model ini membolehkan kakitangan (gim) tahu bahawa terdapat laluan kerjaya bagi mereka sebagai jurulatih, pengurus dan pemilik (perniagaan)," kata kelab tersebut.



Kelab asal Singapura itu juga merancang membuka cawangan antarabangsanya di Timur Tengah menjelang Ogos ini, manakala pada Ogos tahun lalu ia telah memeterai perjanjian Francais Utama bagi Melbourne untuk membuka lapan cawangan di sana.



Kelab tersebut berkata keanggotaan kumpulan kelab itu telah meningkat 500 peratus manakala pendapatan bulanan naik 400 peratus, meskipun semasa pandemik.



Ini dapat dilakukan menerusi pelaburan dalam kegiatan berskala dan inisiatif masyarakat sepanjang tahun lalu termasuk memaksikan sepenuhnya teknologi digital dalam kegiatannya seperti memperkenalkan kelas dalam talian dan aplikasi buat pelanggan dan pemilik francais.



Ditanya tentang cabaran pandemik terhadap gim mereka, Danish akur ia telah menjejas pendapatan dan keanggotaan kelab tersebut, sama seperti perniagaan lain. Namun, pihaknya telah memperkenalkan banyak inisiatif yang lahir daripada pandemik tersebut seperti memperkenalkan TV Masyarakat Spartans, kelas Zoom dan menyesuaikan program latihan.



"Jika terdapat sesuatu yang saya pelajari daripada Spartans sejak 2015, ia adalah kami sentiasa mencari jalan keluar daripada sebarang masalah atau keadaan," kata Danish.



Irfan pula berkata pandemik Covid-19 telah memberi impak besar terhadap perniagaannya memandangkan gim beliau di Tai Seng baru sahaja dibuka, bahkan berita tentang sekatan lebih ketat diumumkan dua hari selepas pembukaan rasminya.



Namun, dengan bantuan pemerintah dan dengan mematuhi serta melaksanakan sekatan tersebut, beliau masih mampu menjalankan perniagaannya.



"Kita harus ingat, masa sukar tidak akan kekal lama tetapi individu yang tahan lasak kekal," kata Irfan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >