KALAU diajak bersembang dalam bahasa Melayu, tiga bakat berbangsa Cina dari Malaysia ini, berbual lancar macam air.
Mereka bahkan mempunyai lautan peminat Melayu yang kagumi bakat mereka menyanyi atau berlakon dalam bahasa Melayu.
Lebih daripada itu, penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan, 24 tahun; pelakon dan pengacara Keith Foo, 35 tahun; serta pelakon, penyanyi, pengacara dan model Adeline Tsen, 31 tahun, cukup bersopan santun dan pandai melayan peminat.
Siapakah mereka di sebalik dunia hiburan yang glamor?
Elizabeth Tan
Pengikut Instagram: 1.1 juta
Lakonan: Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium, My Darling Inspector Daniel
Lagu popular: Setia (bersama Faizal Tahir), Knock Knock, Darling
Keistimewaan: Dikenali dengan nama manja Lizzy, beliau dipuji ramai selepas muncul dengan klip video saduran lagu Raya Anuar Zain dan Elina, Suasana Hari Raya.
Lizzy begitu terbuka menceritakan kisah cintanya yang terkubur dengan seorang jejaka Melayu sehingga menimbulkan kemurungan dan juga pergeseran dengan keluarganya.
Kini, beliau tampil dengan semangat baru dan sering menggembirakan peminatnya dengan tukilan mutiara kata motivasi seperti "Tiada apa yang diperlukan bagi menyertai himpunan manusia, tetapi keberanian dan segalanya diperlukan bagi berdiri seorang diri."
Keith Foo
Pengikut Instagram: 585,000
Lakonan: Ariana Rose, Tollgate Asmara, Keluarga Pontimau, Langit Cinta
Keistimewaan: Pelakon kacukan Cina-India ini pernah mewarnai industri hiburan Indonesia tetapi kembali ke Malaysia bagi membina nama di sini.
Orangnya menghormati peminat dan berusaha menggembirakan mereka.
Keith juga sering menyisipkan foto-foto beliau, isteri Kim Raymond dan anak tunggal mereka, Sky. Ia gambaran tentang dirinya yang menekankan nilai-nilai kekeluargaan.
Adeline Tsen
Pengikut Instagram: 494,000
Lakonan: Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rindu Awak 200%, Hotel Mania
Keistimewaan: Beliau adalah pelakon antagonis yang berbakat dan mampu mencungkil rasa benci di hati ramai penonton melihatkan watak yang diterajui.
Bintang asal Sabah itu mempunyai ijazah perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi terus berlakon kerana selesa dengan tawaran demi tawaran yang diterima.
Beliau juga pernah mengeluarkan single bertajuk Kau Bagiku dan Nadiku.
Kehebatan bakat lakonannya kelihatan selepas beliau dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem psiko seram Gamatisme.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg