Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bintang Korea seronok jayakan filem aksi

Pelakon 'The Swordsman' kongsi kisah persahabatan dengan pelakon Indonesia, babak sukar sebagai pahlawan buta
Oct 15, 2020 | 05:30 AM



Filem zaman kuno Korea, The Swordsman, akan membawa anda mengembara masa menyusuri tempoh kekecohan peralihan pucuk pimpinan - dari Dinasti Ming ke Dinasti Qing. Filem itu menggandingkan wira aksi Korea pujaan ramai, Jang Hyuk, dan juara judo Indonesia, Joe Taslim. Baru-baru ini, satu sidang akhbar menerusi Zoom diadakan buat media Singapura dan Indonesia. BERITA HARIAN menyertai sidang itu bagi meninjau kisah di sebalik filem yang mula ditayangkan di pawagam serata Singapura hari ini.



BINTANG tampan, wira aksi dan 'rapper' Korea Selatan, Jang Hyuk, sudah biasa dipuja, disayangi dan dijadikan idola peminat serata dunia.



Namun, tatkala membintangi filem zaman kuno The Swordsman yang banyak berteraskan perlawanan pedang, Jang Hyuk, yang nama sebenarnya Jeong Yong-Jun, 43 tahun, akui kagum dengan kerendahan hati pelakon lawannya, Joe Taslim.



Joe, 39 tahun, mantan juara judo Indonesia yang kemudian bergelar peragawan dan pelakon, sudah pun menembusi pasaran Hollywood dengan menjayakan filem Fast & Furious 6 dan Star Trek Beyond.



Tahun depan, beliau juga bakal muncul sebagai adiwira Sub-Zero dalam filem Mortal Kombat.



Membuka selingkar kisah persahabatan dalam sidang media Zoom The Swordsman yang diselaraskan Shaw Organisation buat media Singapura dan Indonesia pada Isnin lalu, Jang Hyuk berkata:



"Saya sangat teruja menjayakan filem ini khususnya ketika menjayakan babak aksi lawan pedang bersama Joe.



"Sebelum ini, saya pernah menontonnya dalam filem aksi jenayah Indonesia, The Raid. Sekilas menonton filem ini, saya berasakan Joe memang pelakon hebat.



"Apa lagi ketika berlakon dengannya dan mengamati bagaimana beliau melatih diri sendiri melakukan babak-babak aksi, saya cukup kagum.



"Joe cepat tangkap apa yang diperlukan dalam pelbagai adegan filem ini. Kami mampu 'klik'. Saya lihat beliau amat merendah hati meskipun sudah menembusi pasaran Hollywood. Senang sekali bekerjasama dengannya."



The Swordsman, filem berbahasa Korea yang mula ditayangkan di pawagam serata Singapura hari ini, diterbitkan Opus Pictures dan diarah Choi Jae-Hoon.



Jang Hyuk adalah Tae-yul, pahlawan pedang terbaik Joseon yang buta tetapi sangat prihatin tentang keselamatan anaknya Tae-ok (lakonan bintang remaja Kim Hyun-soo).



Filem ini membawa anda kembali pada era peralihan pimpinan dari Dinasti Ming ke Dinasti Qing, tempoh yang kacau-bilau.



Selepas gagal melindungi dan menghalang kejatuhan raja ke-15 Dinasti Joseon, Gwanghaegun, Tae-yul memencilkan dirinya bersama Tae-ok di kawasan pergunungan yang jauh daripada masyarakat awam.



Anak kesayangannya itu kemudian ingin mencari herba bagi merawat mata Tae-yul yang buta selepas satu kecederaan.



Namun, gadis itu ditangkap dan dibawa lari antagonis dan anggota keluarga Maharaja Qing, Gurutai (lakonan Joe).



Peristiwa itu memaksa Tae-yul yang sudah lama menggantung pedangnya kembali mempertaruhkan nyawanya dengan menentang Gurutai.



Ketika diminta mengulas peranannya sebagai Tae-yul, Jang Hyuk, yang meningkat naik namanya pada 2001 selepas membintangi filem seni mempertahankan diri Volcano High, berkata:



"Ada banyak perkara yang menyentuh perasaan saya tentang Tae-yul. Banyak cabaran yang diharunginya dalam hidup.



"Beliau mengasingkan dirinya daripada dunia, hilang daya penglihatan dan hanya ingin menjalani kehidupan sederhana lagi bahagia melindungi satu-satunya puterinya itu."



Dalam pada itu, sebagai pahlawan yang hidupnya penuh kekecewaan dan terasa gagal lagi tidak banyak bersuara, Jang Hyuk menekankan ekspresi wajah dalam lakonannya.



"Saya berlatih menjadi pahlawan buta dengan menjalani kehidupan tanpa melihat serta mengaburkan pandangan saya," jelasnya lagi.



Tatkala diminta menjelaskan apa yang membuatnya tertarik bergelar pelakon aksi, Jang Hyuk berkata kecekalan rakannya, seorang pelakon aksi nekad, bagaikan membakar semangatnya untuk menggarap peranan aksi dengan berani.



"Sekitar 20 tahun lalu, pelakon aksi nekad yang menjalani perfileman bersama saya cedera.



"Saya lihat beliau tidak sedikit pun mengadu sakit. Dari awal penggambaran sampailah tamat, beliau berikan yang terbaik dalam amanahnya walau cedera.



"Semangatnya itulah yang membuat saya terdorong membawa watak-watak aksi, amanah besar dalam dunia perfileman," kongsinya yang juga terlatih dalam seni mempertahankan diri 'jeet kune do' (turut diamalkan legenda Bruce Lee) dan taekwondo.



Ditanya mengenai babak paling mencabar, beliau menyatakan adegan aksi bersama Joe di penghujung filem adalah yang sulit kerana segalanya perlu dilakukan secepat kilat.



"Babak dahsyat itu melibatkan saya perlu mempertahankan diri daripada serangan Joe. Joe bertindak cepat. Wujud sedikit kecelakaan.



"Namun, adegan itulah yang merapatkan hubungan saya dan Joe kerana kami mengharungi babak sukar itu bersama-sama," kongsinya.



Dalam pada itu, Jang Hyuk alu-alukan kerjasama bersama pelakon dari luar Korea seperti Joe.



Sejauh mana kedekatannya dengan Indonesia, beliau menyatakan seronok tatkala berada di Bali bagi menjalankan tugasnya.



"Kedamaian sepanjang 10 hari dapat saya rasakan ketika di Bali walau dalam rangka bertugas.



"Saya paling suka makanan laut dan nasi goreng di sana," katanya.




BIODATA



JANG HYUK



- Nama sebenar: Jeong Yong-jun



- Usia: 43 tahun



- Dilahirkan di Busan, Korea Selatan



- Mula berlakon dalam drama televisyen Model pada 1997 dan muncul dalam klip video boyband g.o.d yang merupakan rakan serumahnya.



- Namanya meningkat naik pada 2001 apabila menjayakan filem seni mempertahankan diri Volcano High.



- Beliau menarik perhatian ramai bukan sahaja sebagai pelakon aksi tetapi sebagai bakat serba boleh yang boleh menghidupkan peranan selaku pakar bedah otak, jurulatih gimnasium atau bekas samseng yang membina hidup baru.



- Isterinya Kim Yeo-jin yang pernah menjadi instruktor pilatesnya. Pasangan bahagia ini mempunyai tiga cahaya mata.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >