JIKA ditanya bidang seni mana yang menjadi idaman hatinya hampir sedekad lalu, artis Malaysia yang kian meningkat naik namanya dalam dunia lakonan, Isyariana Che Azmi, tidak akan berfikir dua kali untuk mengatakan menyanyi.

Itulah cinta pertamanya sehingga masuk bertanding di pentas sengit Akademi Fantasia 2016 selepas dua tahun bergiat sebagai penyanyi gantian The Fabulous Cats di bawah kepimpinan bintang kreatif, Cat Farish.

Namun, hari ini meskipun baru muncul dengan lagu balada baru berunsurkan kerohanian, Bisik Hati pada 6 Jun lalu, si kecil molek lebih selesa menganggap lakonan sebagai cinta hati dan sumber pencarian utamanya.

Ini setelah setapak demi setapak diperkenalkan pada dunia lakonan yang membuka matanya pada segala keindahan seni.

Isyariana, 30 tahun, mula dikenali di kaca televisyen sebagai pelakon pembantu dua drama yang dijayakan serentak, Cik Serba Tahu dan Urusan Hati Cik Drama Queen.

Tahun lalu, beliau mula diberi amanah lebih berat menggalas peranan utama sebagai wanita yang diceraikan suaminya tanpa sebab dalam drama Astro, Tolong Sempurnakan Cinta Mami.

Ini disusuli dengan watak wirawati dalam drama Hati Yang Dikhianati yang terhenti siarannya seketika pada episod 40 kerana penggambaran belum selesai dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Isyariana yang memenangi gelaran Artis Baru Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Malaysia, menceritakan dalam wawancara Zoom bersama Berita Harian, baru-baru ini:

"Semasa menyanyi bersama Abang Cat, beliau pernah juga kenalkan saya pada dunia lakonan kecil-kecilan. Cuma saya kurang berminat malah tak suka berlakon. Tumpuan saya lebih pada bidang menyanyi.

"Lagi pun, pada masa itu, saya masih mempunyai pekerjaan tetap sebagai pelukis pelan, sesuai dengan bidang pengajian saya dalam bidang seni bina.

"Hanya selepas saya masuki Akademi Fantasia, bos saya tak izinkan saya ceburi bidang seni kalau ingin terus bekerja di situ kerana takut jejas tumpuan kerja.

"Jadi saya terpaksa berhenti dan beralih pada kerjaya seni. Tuhan sahaja yang tahu betapa berkecamuknya fikiran ketika itu kerana dah biasa ada pendapatan tetap dan tahu-tahu bergantung pada gaji yang bergantung pada komitmen projek seni... kalau ada projek, adalah duit masuk."

Dalam tempoh ramai lebih mengenali Isyariana kini sebagai pelakon, beliau merasakan tepat baginya mengeluarkan Bisik Hati tahun ini dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Tak ramai yang mungkin tahu saya bermula sebagai penyanyi. Maka, inilah buah tangan saya buat pengikut saya atau mereka yang menyokong drama saya dan ingin mendengar lagu saya pula.

"Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh ini sebenarnya sudah siap tahun lalu.

"Ia mengisahkan tentang kebergantungan kita pada Tuhan. Segala rintihan dan keluh-kesah yang tak dapat disampaikan kepada keluarga kerana enggan menyusahkan mereka semuanya disampaikan kepada Allah yang Maha Mendengar," jelasnya yang menyifatkan bidang nyanyian sebagai kerjaya sampingan kini.

Sebagai anak tunggal kepada ibu bapa yang berpisah sejak usianya 12 tahun, Isyariana hanya ingin melakukan perkara-perkara yang menggembirakan ibunya.

"Ibu akan menyokong setiap apa yang saya lakukan walau pada awalnya keputusan saya berhenti kerja dan menceburi bidang seni pastinya membuatnya risau.

"Alhamdulillah, saya banyak belajar daripada rakan seni tentang penghayatan lakonan dan masih lagi belajar. Awalnya, saya ikuti kelas lakonan Zahiril Adzim.

"Kemudian, saya banyak belajar daripada pelakon lain dalam set. Setiap orang ada perkara untuk dikongsi. Malah, saya rasa bertuah dapat berlakon dengan mereka yang saya amati lakonannya dan suka dengan cara mereka menghidupkan watak seperti Mira Filzah dan Datuk Fizz Fairuz," ceritanya lagi.

Isyariana menikmati setiap perjalanan seninya malah menyahut cabaran berlakon di pentas 'live' Sepahtu Reunion.

"Dari dulu, saya memang takut berada di pentas atau lalui sesi wawancara. Saya gementar malah bimbang ketika diminta berlakon spontan menggunakan dialog sendiri bagi memenuhi konsep program Sepahtu Reunion.

"Beberapa kali saya terasa nak ke tandas tetapi Abang Jep Sepahtu tegur, 'Eh dah nak keluar pentas ni...'

"Namun, setelah berada di pentas dan penonton beri sorakan dan tepukan, 'mood' mula datang, idea pun datang mencurah... maka saya berusaha berikan yang terbaik dan ia antara pengalaman yang payah saya lupakan," katanya lagi.

Setiap amanah datang dengan keikhlasan dan tanggungjawab besar yang Isyariana akur ingin dilaksanakan sebaik mungkin.

"Saya tak pernah rasakan perjalanan seni saya makan masa panjang untuk dikenali. Saya nikmati setiap detik sampaikan tak sedar, dah tujuh tahun rupanya saya berkecimpung dalam bidang seni. Tahu-tahu dah tua!

"Bagi saya, tidak perlu kejar kepopularan. Ia akan datang sendiri apabila sampai masanya dan berbekalkan mutu seni yang sewajarnya. Tiada guna kalau kita popular tetapi seni kita tidak bermutu," jelasnya yang berharap dapat menyajikan terus kerja seni bermutu, baik lakonan atau nyanyian.

Dalam tempoh PKP ini juga, beliau tidak mudah panik dan menikmati setiap masa di rumah untuk perbaiki diri, menambah apa yang kurang dan menimba ilmu dengan banyak membaca.

TRIVIA

ISYARIANA CHE AZMI

• Tarikh lahir: 31 Oktober 1990

• Dilahirkan di Temerloh, Pahang.

• Lulusan Seni Bina dari Politeknik Sultan Haji Ahmad, Pahang.

• Bekas peserta Akademi Fantasia 2016.

• Pernah menganggotai kumpulan Hanarose dan menjadi penyanyi gantian kumpulan The Fabulous Cats.

• Menangi Anugerah Artis Baru Wanita Popular 2020 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

• Tiga penyanyi pujaan: Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini dan Ziana Zain.

• Tiga pelakon pemberi impak besar: Tan Sri P. Ramlee, Wan Maimunah dan Fauziah Nawi.

• Tiga perkara menggembirakan:

* Apabila buat Mama gembira, Isyariana lebih gembira.

* Apabila dapat ke hutan dan nikmati kedinginan alam semesta yang menenangkan fikiran.

* Setelah kerap luangkan masa di luar kerana bekerja, Isyariana senang duduk sahaja di rumah.

• Tiga perkara yang boleh timbulkan tekanan:

* Panas terik di luar sampaikan jejas penyampaian dialog ketika berlakon.

* Kalau tiada makanan pedas. Anggap diri cerewet dan tak lalu makan kalau tiada masakan pedas.

* Apabila menanti lama bagi bayaran lakonan dikirimkan pihak penerbitan.