Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

GAYA HIDUP

'Bisikan' bangunan, mercu tanda SG di alam maya

Arkitek, pelukis Jeffrey Wandly adakan pameran solo dalam talian ajak pelawat jelajah 30 bangunan dan mercu tanda bersejarah yang dilukisnya
Nov 21, 2020 | 05:30 AM



JULUKAN building whisperer, atau 'pembisik bangunan', terus melekat pada arkitek, pemilik balai seni Maya Gallery dan pelukis Jeffrey Wandly.



Beliau mampu memberi cebisan bayangan emosi atau kisah bersejarah di sebalik sesebuah bangunan berdasarkan pengalaman berdekad selaku jurubina.



Kini di kala kebanyakan balai seni terkena tempias pendemik Covid-19 hingga terpaksa membatalkan atau menunda pameran yang dijadualkan tahun ini, karya Encik Jeffrey, 55 tahun, tampil di alam maya dengan satu kelainan.



Beliau mengusahakan pameran solo maya pertamanya - Building WhispererAlam Maya - dari 29 Oktober hingga 30 November menerusi laman balai seninya.



Isterinya, Cik Masturah Sha'ari, 50 tahun, kurator pameran yang memanfaatkan Geran Persembahan Digital, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu.



Geran tersebut disediakan bagi membantu sektor seni tempatan mengharungi tempoh pandemik ini dengan membangunkan kerja seni menerusi wadah digital.



Pameran itu juga disokong Kempen #SGCultureAnywhere dan dijayakan oleh sebuah pasukan yang terdiri daripada pentadbir, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, serta Encik Neo Sei Hwa dan Cik Megan Riri Moktar, yang mengurus perihal seni bina dan perancangan ruang.



Pemuzik Syafiqah 'Adha Sallehin memberi sentuhan gubahan muziknya pada pameran maya itu. Beliau, yang bermain akordion, turut melibatkan rakan pemuzik Teo Wen Bin (selo), Indra Chen (guzheng), Niranjan Pandian (venu) dan Lalit Kumar (tabla).



Encik Fadlin M. Saffri mengendalikan aspek teknikal manakala Encik Arsya Ridwan menyelaras kerja lelaman dan teknologi maklumat.



Melalui pameran maya ini, anda dapat membayangkan diri anda berada di muka pintu sebuah rumah kedai dan disambut dengan keterangan teks mengenai pameran itu, yang diiringi paparan pohon kemboja.



Diiringi irama muzik yang membawa minda anda menerawang jauh ke era silam Singapura, mata anda dibawa 'menjelajah' 30 bangunan dan mercu tanda bersejarah yang dilukis Encik Jeffrey.



Ia ibarat satu darmawisata mengenali khazanah Kampong Gelam, Sungai Singapura, Chinatown, Little India dan Geylang.



Seni visual, seni bina, muzik dan warisan menjadi satu dengan rumah kedai dua tingkat itu diinspirasikan daripada ruang Maya Gallery pertama di 666 North Bridge Road.



Balai seni itu kini beroperasi di Oxley BizHub 2, 62 Ubi Road 1.



Ketika dihubungi, Encik Jeffrey berkata: "Sebelum Covid-19 melanda, sesi pembukaan pameran dan ceramah yang kami anjurkan sering menjadi ruang kami menjalin silaturahim bersama penggiat seni lain.



"Namun kini, mereka yang ingin meninjau karya lukisan perlu membuat janji temu terlebih dahulu kerana ruang galeri terhad pada beberapa pengunjung sahaja dek wabak ini.



"Kami melihat jumlah yang mengunjungi galeri atau membuat pertanyaan tentang jualan karya seni juga berkurangan.



"Lantaran itu, saya berbincang dengan isteri saya bagi memikirkan cara meneruskan kegiatan galeri kami. Kebetulan pula, kami dalam proses merombak laman Maya Gallery sejak tahun lalu bagi memuatkan video dan katalog pameran terdahulu, di samping mengusahakan kedai dalam talian kami sendiri."



Matlamat pameran itu, jelas Encik Jeffrey, ialah mewujudkan identiti Singapura dengan memberi pengunjung pengalaman luar deria ibarat meninjau ruang fizikal sebuah pameran seni.



Cik Masturah berkata mereka tidak menyedari betapa pentingnya usaha pendigitalan karya seni hinggalah pandemik Covid-19 melanda.



"Kini, anda boleh duduk sahaja di rumah dan mengunjungi secara maya pameran terdahulu kami dan membeli lukisan serta buku daripada laman kami. Semua tempahan dikirimkan ke rumah anda.



"Menerusi Facebook dan Instagram, kami juga berkongsi gambar dan kisah koleksi kerja seni kami dalam suasana selesa sesebuah rumah, di samping memaparkan rumah pengumpul karya seni kami sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberi membeli kerja seni pelukis kami.



"Apa yang kami usahakan sejajar dengan trend masa kini di mana muzium dan balai seni antarabangsa menyajikan pameran maya menggunakan teknologi simulasi, 360 dan tiga dimensi (3D) matterport (bagi menghasilkan jelajah maya mengelilingi ruang)," katanya.



Mengenai cabaran yang dihadapi, Encik Jeffrey berkata pasukannya perlu memikirkan cara mewujudkan pameran fizikal dalam ruang maya.



"Paparan maya sudah lama wujud tetapi bagi sebahagian daripada kita, teknologi ini masih baru, mahal dan bendalir. Kami mengambil masa tiga bulan menyiapkan semuanya. Kami malah masih memperbaiki dan mengemas kini pameran maya ini buat manfaat ramai.



"Inilah satu perjalanan zaman silam dan masa kini Singapura daripada kaca mata saya. 'Bisikan' dan 'suara' bangunan yang masih berdiri sebagai sebahagian cebisan sejarah ibarat kapsul masa.



"Sejarah Singapura kaya dan penuh dengan emosi sedih, gembira dan tanda jaya. Saya harap karya seni saya akan jadi mangkin yang membuat pengunjung ke pameran maya saya ini ingin tahu lebih banyak lagi tentang 'emosi' di sebalik bangunan yang melindungi kita dari hujan dan panas," katanya.



Pameran ini boleh ditinjau di www.mayagallery.com.sg.




"Sebelum Covid-19 melanda, sesi pembukaan pameran dan ceramah yang kami anjurkan sering menjadi ruang kami menjalin silaturahim bersama penggiat seni lain. Namun kini, mereka yang ingin meninjau karya lukisan perlu membuat janji temu terlebih dahulu kerana ruang galeri terhad pada beberapa pengunjung sahaja dek wabak ini. Kami melihat jumlah yang mengunjungi galeri atau membuat pertanyaan tentang jualan karya seni juga berkurangan. Lantaran itu, saya berbincang dengan isteri saya bagi memikirkan cara meneruskan kegiatan galeri kami."
- Encik Jeffrey Wandly, arkitek, pemilik balai seni Maya Gallery dan pelukis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >