Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Black Widow' kurang 'tamparan wanita'?

Ulasan campur-baur media antarabangsa buat peminat filem Marvel di S'pura harap filem 'superhero' ini tidak menghampakan
Jul 8, 2021 | 5:30 AM
USAHA LUPUT MEMORI SILAM: 'Black Widow' yang dijayakan Scarlett Johansson (kiri) selaku Natasha Romanoff/Black Widow dan Florence Purgh sebagai Yelena membuka lingkaran kisah perjuangan wanita dengan sejarah silam mendukacitakan. - Foto MARVEL STUDIOS
USAHA LUPUT MEMORI SILAM: 'Black Widow' yang dijayakan Scarlett Johansson (kiri) selaku Natasha Romanoff/Black Widow dan Florence Purgh sebagai Yelena membuka lingkaran kisah perjuangan wanita dengan sejarah silam mendukacitakan. - Foto MARVEL STUDIOS -

ADIWIRA wanita dalam filem aksi yang membentang kisah perjuangan seorang individu dalam menyelamatkan dunia harus diberi peranan mencabar agar menyerlah sepertimana adiwira lelaki.

Jika tidak, mereka akan kelihatan mendak, lemah atau membosankan meskipun bergelar 'superhero'.

Inilah pandangan beberapa pencinta filem yang tidak sabar menyaksikan filem terbaru Marvel, Black Widow, yang dibintangi jelitawan Hollywood, Scarlett Johansson, di pawagam Singapura, minggu ini.

Mereka mengulas tentang filem arahan Cate Shortland itu di tengah-tengah ulasan filem tersebut yang bercampur-baur di media antarabangsa.

Sedang Houston Chronicle memuji filem tersebut yang dirasakan meraih kekuatan daripada pengarahnya Shortland, Forbes pula mendapati filem itu terlalu meleret, terlampau membosankan dan boleh dijangka sepertimana dalam filem Marvel lain.

Pelakon Stephen Dorff pula dengan lantang memberitahu laman The Independent betapa malunya dirinya bagi pihak Johansson, kerana menjayakan filem sampah seperti Black Widow.

"Tahukah anda tonton Black Widow ibarat bermain permainan video yang teruk dan mengecewakan? Johansson mungkin dibayar jutaan dolar bagi filem ini tapi keadaannya mendak," jelas Dorff.

Pengarah prolifik, Martin Scorsese, pula melihat filem Marvel ibarat kerja seni taman bertema dan bukan buat pawagam bertaraf tinggi.

"Sejujurnya, saya kasihan tengok pelakon hebat menjayakan filem Marvel. Mereka beri yang terbaik di bawah keadaan yang tidak mampu dielakkan tetapi hasilnya ibarat bikin pameran taman bertema buat berseronok-seronok sahaja.

"Ini bukan paparan karya seni dunia layar perak dengan emosi manusia dapat diluahkan dan pengalaman psikologi dapat dikongsi dengan manusia lain," jelasnya kepada majalah filem Empire.

Johansson, 36 tahun, adalah Natasha Romanoff, atau Black Widow, yang berdepan dengan kehidupan silamnya yang suram.

Konspirasi yang membahayakan nyawanya pula dikesan, berkait rapat dengan keadaan masa lampaunya.

Dengan semangat wajanya, Natasha berjuang agar tidak dijatuhkan oleh sesiapa. Namun, dia harus menangani sejarah silamnya sebagai perisik serta mengatasi hubungan cinta yang remuk-redam terlebih dahulu.

Encik Sha'ari Hamdan, 34 tahun, seorang pereka grafik, yang meminati komik Marvel, berkata:

"Saya sebenarnya tunggu filem Black Widow ditayangkan sejak sekian lama.

"Selain meminati lakonan Johansson dalam filem lain seperti The Horse Whisperer dan Lost In Translation, saya sukakan filem tentang pemerkasaan wanita walaupun saya seorang lelaki.

"Ia memberi semangat baru buat kaum Hawa dalam era di mana penindasan wanita tidak lagi harus disorok daripada pengetahuan ramai.

"Bagi saya, sebagaimana kita lihat Robert Downey Jr berjaya menjadi idola buat budak lelaki yang kepingin jadi Iron Man atau Chris Hemsworth mampu bawa impak sebagai Thor, Johansson juga boleh jadi wirawati buat budak perempuan di luar sana.

"Lihat Gal Gadot... watak Wonder Woman yang dibawanya menjadi sumber inspirasi buat remaja wanita."

Cik Sharifah Hasnita Masrudin, 46 tahun, seorang pengurus projek, yang membaca ulasan filem dalam talian, akur lebih banyak ulasan negatif Black Widow berbanding positif.

"Ada rencana yang menyalahkan pemilihan pengarah Australia, Cate Shortland, yang dikatakan lebih biasa bikin filem bajet yang tidak cukup pun untuk bayar kos kudapan buat kru Marvel, apa lagi bagi membiaya kos kesan khas filem ini.

"Namun, saya baca sejarah filem lain Shortland yang banyak menyentuh tentang perjuangan wanita muda. Ada filem menarik arahannya bertajuk Lore tentang anak yatim Jerman yang memimpin adik-beradiknya mengharungi tempoh sukar setelah peperangan tamat.

"Kemudian, ada juga filem The Berlin Syndrome yang membuka selingkar kisah wanita Australia yang berhijrah ke Jerman tetapi menjadi tebusan seorang guru Inggeris yang disangkanya baik dan berbudi.

"Justeru, saya ingin tahu bagaimana agaknya apabila Shortland mengarah filem aksi seperti Black Widow ini. Mungkin pengarah wanita lebih dapat menghayati perjalanan seorang wanita lain dan menyerlahkan lagi watak tersebut," kongsinya.

Cik Natasha Fitri Harun Abdat, 21 tahun, seorang mahasiswa sastera dan sains kemasyarakatan pula enggan pengalaman menonton Black Widow seperti Captain Marvel, lakonan Brie Larson, dua tahun lalu.

"Terus terang saya rasa resah sepanjang filem itu. Saya menantikan aksi luar biasa daripada Captain Marvel.

"Sebaliknya, filem itu meleret dengan dialog membosankan. Tiada humor langsung pun, tak macam filem Iron Man atau Spider-Man yang ada segalanya secukup rasa, baik aksi, kisah cinta, jenaka mahupun isu sosial.

"Harapan saya Black Widow tidak menghampakan walaupun saya lihat banyak ulasan yang memberi gambaran filem ini buang masa.

"Lebih banyak paparan wanita berjiwa waja patut diketengahkan dalam filem Hollywood. Kalau animasi seperti Moana, Brave, Mulan dan Pocahontas dapat memecahkan benteng stereotaip tentang wanita sebagai makhluk yang lemah, mengapa filem aksi adiwira Marvel atau DC Comics tidak mampu menerapkan unsur-unsur sebegini dengan lebih meyakinkan?" katanya.

Black Widow mula disiarkan di pawagam serata Singapura sejak semalam. Ia juga boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi penstriman Disney+ mulai esok dengan bayaran $38.98. Tayangan percuma di aplikasi tersebut ialah pada 6 Oktober.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg