Topik diikuti
Pergi ke BHkuBola sepak, niaga salad 'digantung' selepas patah kaki akibat nahas motor
Bola sepak, niaga salad 'digantung' selepas patah kaki akibat nahas motor
Penjaga gawang pasukan bola sepak nasional wanita perlu rehat sekurang-kurangnya enam bulan agar dapat pulih sepenuhnya
Bola sepak, niaga salad 'digantung' selepas patah kaki akibat nahas motor
DI padang bola, Cik Nur Fadhilah Hassan tangkas sebagai penjaga gawang bagi pasukan bola sepak nasional wanita.
Di luar padang pula, wanita berusia 29 tahun itu gigih berniaga salad, didorong semangat keusahawanannya.
Namun, kededua kegiatan itu terpaksa ditangguhkan selepas tulang pahanya patah setelah beliau terlibat dalam satu kemalangan teruk sedang beliau dalam perjalanan ke rumah pelanggan.
Bulan lalu, motosikal yang ditunggang Cik Nur Fadhilah telah dilanggar sebuah kereta di sekitar Loyang Lane.
Akibatnya, tulang paha kirinya patah dan beliau terpaksa melalui pembedahan memasukkan besi ke paha serta 24 jahitan di kededua kaki dan punggung, manakala motosikal yang ditunggang hancur remuk.
Kini, anak kedua dalam tiga beradik itu terpaksa merehatkan semua kegiatan di dalam dan luar padang selama sekurang-kurangnya enam bulan agar dapat pulih sepenuhnya.
Sejak dua tahun lalu, beliau meninggalkan pekerjaan sepenuh masa sebagai pelatih kesihatan demi meneroka dunia keusahawanan dan mendaftarkan syarikatnya Fourza Lettuce Deliver LLP.
"Ia ibarat satu peringatan atau 'wake-up call' untuk saya membuat perubahan," kata Cik Nur Fadhilah ketika mengimbas semula kemalangan itu semasa ditemui di rumahnya di Bukit Batok.
"Ketika ia berlaku, saya benar-benar fikir yang saya akan mati sebab kepala saya terhantuk ke tanah dahulu dan berasa kesakitan amat sangat dan kemudian kaki kiri saya pula terlalu sakit. Dalam hati, macam-macam doa yang saya baca.
"Namun, alhamdulillah, Allah memberi saya peluang untuk terus hidup di dunia ini dan insiden ini memang banyak menyedarkan saya.
"Selepas kemalangan ini, saya sudah serik mahu menunggang motosikal. Walaupun saya memang gemar bermotosikal, saya rasakan kemalangan ini mungkin satu isyarat supaya saya berubah dan saya tidak mahu lagi mengambil risiko yang boleh mengancam nyawa saya," ujar beliau yang merancang belajar memandu selepas ini.
Menurut Cik Nur Fadhilah, kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu adalah paling teruk walaupun sudah aktif bermain bola se pak selama 15 tahun.
"Meskipun saya telah bersukan sejak berusia 15 tahun, saya tidak pernah patah kaki atau cedera teruk. Inilah kali pertama bagi saya," kata beliau yang juga pemain dalam kelab bola sepak Warriors FC.
Apabila ditanya sama ada beliau bimbang kecederaan itu akan menjejas penglibatannya dalam bola sepak, Cik Nur Fadhilah bertekad agar dapat mencapai tahap kecergasan baik.
"Saya sedar ada kemungkinan keadaan saya tidak akan seperti dulu.
"Tetapi saya tidak akan putus asa dan bertekad berusaha untuk pulihkan diri. Semangat saya kuat dan saya akan bekerja keras menjalani rawatan dan terapi bagi pastikan saya dapat terus bersukan," tegas beliau.
Satu lagi faktor yang membakar semangatnya ialah matlamat memajukan perniagaan salad yang buat masa ini dijalankan dari rumah bersama rakan niaga yang juga pemain nasional, Cik Kamaliah Hashim.
Perniagaan yang berputik daripada kesukaran mendapatkan salad halal itu semakin mendapat sambutan dan kededua teman itu tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada dalam pasaran.
"Penjualan kami meningkat 30 peratus tahun lalu berbanding 2016 dan banyak lagi ruang berkembang.
"Permintaan kian meningkat dan kami akan berusaha untuk menawarkan lebih banyak kepelbagaian dalam produk salad kami. Perniagaan tidak mudah tetapi kami yakin ada peluangnya," jelas Cik Nur Fadhilah yang secara sendiri menghantar tempahan kepada pelanggan.
"Saya sedar ada kemungkinan keadaan saya tidak akan seperti dulu. Tetapi saya tidak akan putus asa dan bertekad berusaha untuk pulihkan diri. Semangat saya kuat dan saya akan bekerja keras menjalani rawatan dan terapi bagi pastikan saya dapat terus bersukan." - Cik Nur Fadhilah Hassan, penjaga gawang pasukan bola sepak nasional wanita, yang juga menjalankan perniagaan Fourza Lettuce Deliver LLP.
