KAKI penggiat tari nekad atau 'breakdance', Encik Muhammad Sufian Mohd Amir atau lebih dikenali sebagai 'Flurry', sudah melangkah sejauh Amerika, Jerman, Perancis, Hungary, Switzerland dan Sri Lanka untuk pertandingan 'Bboy' (Breakdance) antarabangsa.
Di dalam peraduan The Way You Move 3v3 Bboy Battle 2019 di Switzerland dan Battle Toys 21st Anniversary 2v2 Bboy Battle 2019 di Jerman, beliau malahan dinobatkan sebagai juara.
Kerana dikenali dalam dunia tari nekad ini, Encik Muhammad Sufian, 27 tahun, bahkan pernah diundang sebagai pengadil peraduan 'breakdance' di rantau ini.
Bagi mahasiswa tahun akhir jurusan reka bentuk komunikasi di Maktab Seni Lasalle ini, tiada yang lebih menggembirakan daripada berkongsi kemahiran dan ilmu seni tari nekad yang diperjuangkan sejak usia 15 tahun.
Tarian memperkasa jiwanya bahkan memberinya semangat dan keberanian untuk mengusulkan agar Pusat Muzik dan Seni Institut Pendidikan Teknikal (ITE) membuka Kelab Bboy sebagai kegiatan kokurikular (CCA) beberapa tahun lalu.
Ketika itu, Encik Muhammad Sufian merupakan pelajar Nitec Lanjutan Dalam Perdagangan Visual di ITE Kolej Central.
Beliau sudah mengumpulkan beberapa teman yang ingin memajukan kumpulan tersebut. Maka terbentuklah kumpulan Central Breakers yang kini berlatih di bawah bimbingan Encik Muhammad Sufian yang juga sebahagian kru 'Bboy' antarabangsa Cypher Kings.
Selain gembira dapat kembali sebagai jurutari utama bagi acara taridra ITE Dance Emblazon 2022 yang dihadiri Presiden Halimah Yacob di auditorium ITE Kolej Central baru-baru ini, beliau juga terlibat dalam memajukan seni 'breakdance' setempat untuk persiapan ia menjadi sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, buat julung-julung kalinya.
Ikuti wawancara Berita Harian bersama Encik Muhammad Sufian yang tidak mengabaikan pendidikannya meskipun sibuk dengan pelbagai kegiatan 'Bboy' di dalam dan luar Singapura.
Soalan (S): Bagaimana 'breakdance' mengubah hidup anda?
Encik Muhammad Sufian (MS): Menari 'breakdance' adalah sebahagian besar hidup saya yang membawa saya menjelajah dunia dan menemui identiti diri saya yang sebenar.
Ia membina keyakinan diri saya dari tempoh saya belajar di ITE hinggalah saya kini bergelar seorang mahasiswa.
Ia mencorak masa depan saya dengan bermacam usaha positif ingin saya giatkan demi manfaat masyarakat 'Bboy' sebagai budaya sampingan hip hop atau 'subculture' di Singapura.
S: Apakah hikmah di sebalik pandemik buat anda?
MS: Tempoh pandemik adalah detik di mana kita berdiam buat seketika atau hentikan segala yang kita sibukkan selama ini. Kita perlu merenung dalam diri kita setelah sekian lama menjalani pergerakan hidup yang pantas.
Ia memang satu genjotan dan sentakan yang tiba-tiba muncul ke arah kebaikan untuk kita fikir tentang diri dan memperbaiki apa yang kita lakukan selama ini.
S: Bagaimana anda lihat kebangkitan seni di ITE dengan acara ITE Dance Emblazon 2022 ini kembali lagi?
MS: Saya berbesar hati dapat terlibat dalam acara ini setelah lama ia terhenti kerana pandemik.
Antara cabaran yang dihadapi adalah membangkitkan semula tenaga kumpulan penari yang masih baru dan belum lagi terbiasa dengan latihan ligat yang perlu dikendalikan.
Sekitar 90 peratus daripada mereka tiada latar belakang menari dan membuat persembahan. Mereka hanya minatkan 'breakdance'.
Mujurlah saya mempunyai beberapa bulan untuk melatih mereka. Mutu persembahan kumpulan tarian bagi Dance Emblazon tahun ini juga kian meningkat berbanding tahun-tahun sudah.
Saya dapat rasakan pelajar dan jurutari juga lebih terbuka dari segi tarian dengan perlambangan.
Ini adalah masa mereka meluahkan rasa tentang keadaan sekeliling mereka pada tempoh pasca pandemik.
S: Boleh ceritakan tentang persiapan memajukan seni 'breakdance' sebagai sukan Olimpik?
MS: Menyertakan 'breakdance' sebagai salah satu acara Sukan Olimpik masih baru buat masyarakat 'Bboy' di Singapura.
Kami masih menyesuaikan diri kami dengan pengenalan 'breakdance' dalam Sukan Olimpik.
Maklumlah, kami bermula dalam skala kecil dan tiba-tiba beralih ke gelanggang besar. Ia agak menakutkan dan memerlukan masa untuk menghadam dan membuat persiapan. Perlu ada anjakan minda dan penyesuaian budaya.
Sebelum ini, ada yang memandang remeh 'breakdance' untuk dijadikan kerjaya profesional. Ada yang khuatir ia mengundang bahaya sebab ia membabitkan aksi nekad ketika menari.
Usaha menempatkan tarian sebagai acara Olimpik dapat menaiktarafkan 'breakdance'. Saya berharap dapat lebih mengukuhkannya sebagai satu institusi yang boleh kita perkenalkan di sekolah-sekolah dari peringkat rendah ke institut pengajian tinggi. Kita harus berkongsi ilmu yang ada.
S: Apakah yang anda harapkan dengan melanjutkan pengajian anda ini? Apa yang dikaji yang ada kena mengena dengan budaya 'breakdance'?
MS: Sebenarnya, bidang reka bentuk ini ada kaitan dengan 'breakdance'. Ia seiringan dalam kalangan masyarakat seni sebagai budaya sampingan. Apa yang saya pelajari tentang reka bentuk komunikasi di Lasalle boleh saya terapkan dalam tarian yang saya cipta agar ia sampai ke hati mereka yang menyaksikan persembahan saya atau anak didik saya.
Projek tahun akhir saya di Lasalle pula fokus pada menangani stigma terhadap budaya 'Bboy' dan meneroka manfaat yang boleh diraih belia menerusinya dan usaha memperkenalkan kepada mereka apa itu budaya 'Bboy' yang membina semangat.
Apakah usaha untuk mengubah takrifan negatif ramai terhadap budaya ini di Singapura dan bagaimana dapat merapatkan jurang pemahaman dalam masyarakat?