Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Buat kelakar, tapi jaga batas

Jul 24, 2022 | 06:30 AM

Pelawak setempat: Komedi tuntut sikap tanggungjawab Pelawak di Singapura, termasuk yang berpengalaman dalam bidang komediri, atau 'stand up comedy', memberi pandangan tentang seni komedi, batas dan cabarannya dalam dunia yang lebih berpolarisasi hari ini. Pelawak Hossan Leong dan Kumar, serta penjana kandungan media sosial, Hafidz Rahman, mengongsi pandangan. BERITA MINGGU melaporkan.

SENI komedi memberi wadah kepada pelawak untuk membincangkan pelbagai isu sosial, termasuk topik yang mungkin dianggap sensitif, tetapi perlu ada tanggungjawab demi memastikan lawak atau jenaka itu tidak melampaui batasan.

Pelawak di Singapura berkata tindakan atau ucapan yang mempersenda dan merendah-rendahkan agama atau kumpulan tertentu serta dilakukan dengan niat jahat tidak boleh dianggap sebagai komedi.

Pelakon dan pelawak veteran Singapura, Hossan Leong, menjelaskan apa yang beliau tidak anggap sebagai komedi.

"Jika jenaka dan komedi anda bertujuan menghina, memfitnah, mencederakan dan memburuk-burukkan, bagi saya itu bukan komedi," ujar Hossan, yang berpengalaman dalam bidang komediri, atau stand up comedy.

Seorang lagi pelawak berpengalaman membuat persembahan komediri termasuk di Malaysia, Kumar, berkata tindakan yang merendah-rendahkan agama tidak boleh dilakukan atas nama komedi.

"Sudah bertahun-tahun orang ramai menghormati komediri.

"Tetapi anda tidak boleh berlindung di sebalik komediri, atau menganggap anda boleh cakap apa sahaja kerana ia komedi. Sebenarnya, banyak yang kami tapis sendiri," ujar Kumar, yang nama penuhnya Kumarason Chinnadurai.

Penjana kandungan media sosial dan podcast, Hafidz Rahman, yang terkenal dengan video komedi, berpendapat topik sosial yang berkaitan ketidaksamaan ataupun stereotaip kaum merupakan sesuatu yang boleh dibincangkan dalam komedi tetapi ada batasannya.

"Dalam komedi, konteks adalah segalanya. Batasannya dilanggar jika niatnya mahu merendah-rendahkan, mengapi-apikan rasa tidak puas hati perkauman, dan jika sesuatu kaum atau agama itu dilayani dengan niat jahat," ujar Hafidz.

Kumar pula akur sedang beliau membincangkan tentang isu kaum dalam bahan komedinya, beliau tidak menyasarkan satu kaum sahaja.

"Saya mengusik semua kaum, bukan satu kaum tertentu sahaja," ujar Kumar.

Sedang pelawak setempat akur terdapat batasan yang perlu dijaga dalam komedi, mereka juga akur berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar dalam dunia hari ini.

Hafidz berkata: "Malangnya kita hidup dalam zaman orang ramai kini amat sensitif, jadi keadaannya perlu ditangani dengan teliti."

Hossan pula berkata bahan komedi yang boleh diterima masyarakat akan sentiasa berubah.

"Garis batasannya selalu berubah. Satu hari, ia kaum atau agama atau LGBTQIA+ atau wanita atau orang tua.

"Dunia kini semakin berpolarisasi. Saya rasa sebagai penghibur, jika saya tidak mempunyai apa-apa yang baik atau kelakar untuk dikatakan, saya akan tutup mulut," ujar Hossan.

Beliau mengaku sudah jenuh dengan jenaka yang berkaitan dengan isu kaum, ataupun stereotaip.

"Saya sendiri melakukannya apabila saya bermula 20 tahun lalu. Tetapi saya menjadi lebih matang dan sedar bahawa penggunaan kaum sebagai bahan komedi sebenarnya hanya lawak yang malas.

"Agama pula tabu. Jika seseorang ada rasa kurang senang dengan agama, tanganilah sendiri tetapi usah tanganinya di atas pentas," ujarnya.

Peguam Encik Abdul Rohim Sorip berkata di Singapura, tindakan yang sengaja menghina atau menyinggung agama boleh didakwa sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang keharmonian agama.

Menurutnya, tindakan tersebut boleh menyalahi undang-undang jika terdapat niat jenayah.

"Bagi mana-mana kesalahan dilakukan, harus ada niat jenayah," kata Encik Rohim, pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP.

Kesalahan yang sengaja menghina atau menyinggung agama boleh didakwa di bawah Kod Keseksaan atau Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA).


"Sudah bertahun-tahun orang ramai menghormati komediri. Tetapi anda tidak boleh berlindung di sebalik komediri, atau menganggap anda boleh cakap apa sahaja kerana ia komedi. Sebenarnya banyak yang kami tapis sendiri."
- Kumar.


"Jika jenaka dan komedi anda bertujuan menghina, memfitnah, mencederakan dan memburuk-burukkan - bagi saya itu bukan komedi...
Dunia kini semakin berpolarisasi. Saya rasa sebagai penghibur, jika saya tidak mempunyai apa-apa yang baik atau kelakar untuk dikatakan, saya akan tutup mulut."

- Hossan Leong.


"Dalam komedi, konteks itu segalanya. Batasannya dilanggar jika niatnya mahu merendah-rendahkan, mengapi-apikan rasa tidak puas hati perkauman, dan jika sesuatu kaum atau agama itu dilayani dengan niat jahat."
- Hafidz Rahman.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3