Topik diikuti
Pergi ke BHkuBugis Street berubah wajah dengan tawaran unik, kreatif
Daripada fesyen hingga ke reruai foto, pembaharuan bakal tarik semula golongan muda untuk beli-belah
Bugis Street berubah wajah dengan tawaran unik, kreatif
Pada suatu ketika dahulu, Bugis Street dipenuhi para pelanggan muda yang meluangkan masa berjam-jam meneliti deretan kedai di tingkat dua kawasan kompleks beli-belah itu untuk mencari pakaian jalanan dan aksesori berpatutan.
Namun, perubahan trend yang pantas dan sewa kedai yang terus meningkat menyebabkan kawasan yang dahulunya meriah ini seolah-olah menjadi ‘ghost town’ atau tempat yang terbiar menjelang April, akibat kekurangan pelanggan dan penyewa.
Malah, The Straits Times (ST) sebelum ini melaporkan hanya kira-kira 20 daripada 100 kedai di sana yang masih beroperasi, dengan kebanyakannya terletak jauh daripada tangga bergerak dan tangga utama.
Melihat keadaan demikian, kompleks beli-belah ikonik ini sememangnya memerlukan sentuhan baharu, dan kini ia sedang melalui proses pembaharuan.
Pembaharuan ini hadir menerusi kemunculan deretan kedai kreatif baharu yang menawarkan pelbagai khidmat dan barangan, daripada fesyen dan aksesori terpakai, sehingga ke reruai foto yang unik serta bengkel kreatif.
Ia mengetengahkan konsep berteraskan pengalaman yang mengutamakan kreativiti dan aktiviti kemasyarakatan, sekali gus menarik semula pelanggan Generasi Z yang pernah menjadikan Bugis Street sebagai tempat lepak kegemaran mereka.
Hari ini, anda akan menemui ruang seperti Somewhere @ Bugis Street, yang menawarkan barangan fesyen terpakai, jenama indie, bengkel kreatif, serta pasar hujung minggu yang menghimpunkan sekitar 40 penjual bersama susunan jenama bebas tempatan yang terpilih.
Berikut adalah antara pengalaman dan kedai yang boleh anda jangkakan.
SOMEWHERE @ BUGIS STREET
Jika anda seorang yang menghargai barangan kreatif, anda pasti akan menemui sesuatu yang menarik di Somewhere @ Bugis Street.
Ruang ini antaranya menghimpunkan barangan terpakai yang dipilih khas, produk jenama indie dan tempatan, bengkel kreatif, serta pelbagai kemudahan seperti ruang rehat eksklusif, bilik podcast dan bilik interaktif.
Pada hujung minggu, para pengunjung boleh membeli-belah di ‘marketplace’ mereka yang menghimpunkan sekitar 40 reruai.
Ia menawarkan pelbagai barangan fesyen dan aksesori terpakai, perhiasan buatan tangan, barangan collectibles yang jarang didapati, kamera terpakai, piring hitam, dan banyak lagi.
RUBY MERLOT
Anda mungkin pernah melihat jurnal kulit ikonik mereka yang tular di TikTok.
Kini, anda boleh mendapatkannya di kedai fizikal pertama Ruby Merlot di Singapura yang terletak di Bugis Street.
Diasaskan di Singapura dan beroperasi dari Seoul, Ruby Merlot mereka bentuk pelbagai barangan pelengkap penampilan seperti beg, dompet dan kulit jurnal, yang kelihatan sofistikated dengan sentuhan gaya vintaj yang unik.
Apabila berkunjung ke sana, anda juga boleh menikmati pelbagai pengalaman menarik seperti penyesuaian jurnal mengikut cita rasa peribadi, sesi menghias jurnal pada hujung minggu, serta acara masyarakat.
Ia merupakan sebuah ruang untuk bertemu dengan individu sejiwa, yang boleh anda berkongsi idea dan berkarya bersama-sama.
CREAMIE SIPPIES
Creamie Sippies bermula sebagai sebuah jenama tempatan biasa yang membancuh minuman secara langsung di TikTok.
Kini, mereka menawarkan pelbagai pilihan kopi istimewa seperti matcha dan minuman kelapa, serta menjadi kafe pertama di Singapura yang menggunakan alat pengisar matcha.
Jenama ini turut memperkenalkan tawaran terkininya, Banana Pudding Bar, di Bugis Street.
Di sini, para pengunjung boleh menyediakan puding pisang sendiri mengikut cita rasa dengan pelbagai hiasan, sos dan bahan istimewa mengikut musim.
Pelanggan juga boleh menikmati minuman khas Creamie Sippies.
Antara hidangan utama lain dalam menu mereka termasuk Coconut Taro Latte ($9.90), Banana Bread Latte ($8.90), dan Mango Matcha Latte ($8.90).
Menurut laman webnya, kafe ini tidak mempunyai sijil halal tetapi disifatkan sebagai ‘mesra Muslim’.
Oleh itu, pengunjung digalakkan untuk membuat semakan lanjut sebelum membuat pesanan.
WHITE PIXIES
Jika anda sedang mencari idea untuk janji temu seterusnya, kunjungi White Pixies.
Di sini, para pelanggan boleh meneroka seni haruman dan lilin menerusi tujuh bengkel unik, termasuk pembuatan lilin khas mengikut cita rasa sendiri, rekaan gantungan (charms) balsam minyak wangi, dan pembuatan lilin menggunakan pasir khas.
Lilin-lilin mereka juga dihasilkan tanpa parafin, sebaliknya hanya menggunakan lilin soya tulen, lilin lebah semula jadi, sumbu kapas dan minyak wangi bermutu tinggi.
STANDARD PHOTO STUDIO
Anda pernah melihat reruai foto bertemakan dim sum yang comel muncul di paparan ‘For You Page’ (FYP) atau halaman anda baru-baru ini?
Itu merupakan keunikan Standard Photo Studio, yang menawarkan konsep swafoto mesra dan ceria menerusi empat bilik bertema khas, termasuk bilik tema pusat penjaja yang mengambil inspirasi daripada budaya Singapura.
Di sini, anda boleh mengambil gambar yang dicetak pada strip foto dan kemudian menghias rantai kunci foto sendiri menggunakan pelbagai pilihan manik tanpa had di stesen pembuatan sendiri (DIY).
Selain pelbagai kedai dan pengalaman menarik ini, Bugis Street yang diberi nafas baharu bakal mencabar minda anda menerusi pembukaan pusat ‘escape room’ – aktiviti teka-teki fizikal di mana pengunjung perlu menyelesaikan petunjuk untuk membebaskan diri daripada bilik bertema.
Antara yang bakal dibuka termasuk Myth Jinn Escape Room, yang merupakan konsep eksklusif pertama di Singapura, serta Xcape Singapore di lokasi yang lebih luas dan diperbaharui.
