Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Buka cerita Orang Laut, Orang Pulau

Aktivis seni Asnida Daud gabung idea dengan pejuang warisan Firdaus Sani untuk kongsi nilai, bahasa dan ilmu maritim penduduk peribumi S'pura
May 10, 2023 | 05:30 AM



KALI pertama pendidik dan penggiat seni Asnida Daud bertemu dengan pengasas laman Orang Laut SG, Firdaus Sani, beliau kagum dengan semangat juang dan cinta pemuda ini pada bahasa dan budaya.



Firdaus pula dapat rasakan sinergi antaranya dengan Asnida untuk mendedahkan kepada ramai tentang budaya, warisan, bahasa dan makanan Orang Laut dan penduduk Pulau Selatan di Singapura.



Maka, beberapa tahun selepas itu, terhasillah kolaborasi satu persembahan seni yang unik Air Da Tohor (Air Pasang Surut) yang dikomisyen pusat seni Esplanade untuk acara Pesta Raya pada 8 malam, 19 Mei dan 3 petang, 20 Mei di Studio Resital.



Air Da Tohor ini adalah ungkapan yang digunakan oleh Orang Laut atau Orang Pulau bagi menyeru perhatian apabila air surut ketika memancing.



Sama seperti situasi pasang surut air, ia mencerminkan situasi lautan bertemu dengan daratan. Apabila air surut, lebih banyak kehidupan laut yang dapat dilihat.



Persembahan ini terbahagi kepada empat segmen yang akan merungkai isu-isu nyata seperti tradisi lisan, ketukangan, masakan dan alam persekitaran.



Mantera Laut adalah segmen yang menyentuh tentang budaya yang dicorak daripada persekitaran pantai dan kepercayaannya, di mana masyarakat Orang Laut atau Orang pulau tidak asing lagi pada animisme.



Rangka Bubu, Rangka Budaya pula memaparkan kelaziman penduduk pantai yang menggunakan ketukangan maritim yang unik bagi menghasilkan perangkap ikan berwayar.



Segmen ini mengupas anekdot di sebalik tradisi unik menjerat bubu.



Kami tak akan mati pula mengupas pergantungan Orang Pulau atau Orang Laut pada persekitaran mereka untuk mendapatkan sumber makanan.



Segmen ini fokus kepada persepsi unik terhadap satu spesies makanan laut, iaitu ikan buntal.



Walaupun ia terkenal sebagai ikan yang beracun, ia tetap menjadi makanan istimewa di kalangan masyarakat orang pantai.



Akhir sekali, segmen Pelindung meneroka cerita dan identiti Orang Laut atau Orang Pulau yang ditulis orang lain.



Diilhamkan oleh ritual laut dan mantera untuk perlindungan, segmen ini berharap dapat mewujudkan ciri-ciri, tenaga dan kesungguhan masyarakat Orang Pulau atau Orang Laut yang merupakan penjaga dan pelindung alam.



Ketika dihubungi Berita Harian, Asnida, 49 tahun, berkata:



"Saya tertarik pada nyala rasa Firdaus dan kerja memperjuang warisan yang sangat jujur yang dilakukannya.



"Saya lihat betapa budak muda ini sudah tahu jati dirinya dan siapa dirinya. Ia memberi cetusan inspirasi bagi saya untuk mengembalikan sesuatu yang saya lakukan pada 2012 untuk menyatupadukan Orang Pulau Selatan.



"Saya boleh dikatakan menempel dengan kebijaksanaan Firdaus dan kekuatan misinya ke arah usaha advokasi. Ini adalah misi kita bersama dalam meneroka aspek kehidupan dan warisan nenek moyang kita.



"Air Da Tohor adalah satu usaha permulaan dengan beberapa perancangan projek lanjutan lain."



Firdaus, 34 tahun, pula berkata ada banyak persamaan yang beliau dapati antaranya dengan Asnida. Selain keturunan Orang Melayu Pulau, mereka pernah tinggal di kejiranan Telok Blangah yang mempunyai ramai penduduk asal pulau.



"Melihat kesenian yang ada pada Kak Asnida, ia mendorong saya untuk gigih menulis puisi. Saya melihat bagaimana muzik dan persembahan dapat menjadi wadah untuk perkongsian.



"Saya teringat tentang perkongsian datuk saya tentang mantera kekuatan, mantera perubatan diri dan mantera buat orang sayangkan kita.



"Tanpa meneroka tentang unsur kerohanian mantera, saya lebih senang mengkaji kandungan asli mantera ini. Keindahan bahasanya dan juga penggunaan perkataannya.



"Kita belajar tentang ekologi. Saya tidak pernah dengar tentang ikan kitang-kitang. Saya kembali mengamati asal-usul saya dan kesenian yang hilang," ujarnya.



Menurut Firdaus lagi, minatnya untuk meneroka warisan datuk moyangnya dan sejarah Orang Laut ini bermula sejak bertugas di pertubuhan perlindungan alam semesta, WWF Singapore.



Ketika itu, beliau berada di Pulau Semakau dan tergerak hati untuk mengumpulkan cerita-cerita Orang Laut dan Orang Pulau.



Beliau berharap menerusi persembahan kolaborasi dengan Asnida, dapat dikongsi nilai hidup, cara memasak, bahasa pertuturan dan cara menangkap ikan Orang Laut dan Orang Pulau.



Malahan, sewaktu pandemik, terbuka peluang untuk ibunya menyiapkan lauk-pauk Orang Laut yang disiapkannya seperti asam pedas dengan ikan hasil tangkapan sendiri untuk dijual kepada orang ramai dalam talian.



"Ibu saya awalnya sangsi siapa nak makan masakannya. Tapi saya berinya jaminan akan ada yang suka hidangan sebegini. Mana nak cari lagi masakan orang dahulukala dengan ulaman sekali?" katanya lagi.



Asnida pula berkata beliau berharap dengan persembahan mereka kelak dibantu dengan sisipan nasihat aktivis teater, Alin Mosbit, penonton akan dapat menyerap inti pati kehidupan Orang Pulau/Orang Laut kelak.



"Firdaus tidak pernah membuat persembahan seni sebegini. Nampak agak janggal, tetapi kejujuran orang biasa inilah yang kita ingin lihat.



"Mantera dalam bahasa Sanskrit bererti permohonan dan doa. Ia memaparkan ciri-ciri menarik dan kosa kata ekologi yang menarik. Apa lagi yang dapat kita gali daripada mantera... yang tersirat dan tersembunyi dan juga dari unsur bahasanya.



"Saya akan cuba sedaya upaya untuk bertutur bahasa orang Pulau Selatan yang menekankan suku kata unik. Saya tertanya-tanya, mengapa dalam marah dan mencaci cerca pun, mereka seakan-akan berlagu?" kata Asnida lagi.



Tiket $24 bagi 'Air Da Tohor' boleh ditempah di kaunter, laman dan talian Sistic atau laman Esplanade.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >