Suasana Bukit Bintang di Kuala Lumpur (KL) pada Ahad kelihatan lebih riuh daripada biasa dengan beberapa artis terkenal membuat penampilan di kawasan beli-belah popular itu seperti Aaron Aziz dan Nabila Huda.
Sementara Aaron berjalan diiringi tarian singa, Nabila pula kelihatan lengkap dengan pakaian sari berwarna coklat, dengan rantaian berlian di atas dahinya.
Namun, ini bukan penggambaran filem berunsur Bollywood ataupun Aaron Aziz ingin kembali memainkan watak yang membuatnya tular dahulu, Shahril dalam siri Cinta Bollywood.
Ia sebenarnya adalah acara khas pelancaran cawangan pertama The Original Vadai, yang berasal dari Singapura, di pusat beli-belah Lot 10 Bukit Bintang, KL, Malaysia.
Dalam beberapa video dimuat naik artis berkenaan di TikTok, mereka kelihatan terlibat dalam majlis pembukaan kedai yang menjual gorengan ‘pasar malam’ sajian India itu.
Nabila dalam videonya ditonton lebih 163,7000 kali berkata beliau telah mencapai impiannya sebagai “gadis vadai yang bahagia”.
Beliau kelihatan berjalan di sekitar Bukit Bintang sambil membawa satu mangkuk kecil diperbuat oleh rotan mengandungi beberapa vadai itu sambil diiringi beberapa ‘bodyguard’ berpakaian sut hitam.
Beliau berkata vadai adalah sajian istimewa baginya dan dalam video itu beliau kelihatan mengunyah gorengan semasa berjalan dan membuat perhentian di beberapa lokasi tertentu di Bukit Bintang.
Aaron Aziz pula mengucapkan tahniah kepada jenama itu sambil berseloroh, “jangan risau abang payung”.
The Original Vadai pada 25 Ogos 2023 mengumumkan dalam laman Facebook mereka ia telah membuat langkah “besar” dalam memperluas perniagaan mereka dengan membuka cawangan di daerah beli belah popular KL itu pada 1 Oktober.
Deretan itu, selain terkenal dengan beberapa hotel dan pusat beli-belah terkemuka juga dikenali dengan pelbagai restoran dan cawangan makanan dan minuman.
Ia turut mengumumkan sempena majlis pembukaan cawangan tersebut ia akan mengundang tiga selebriti namun hanya mendedahkan nama Aaron Aziz.
Artis ketiga yang hadir pada acara itu ialah Stephen Zechariah, seorang penyanyi dari Singapura.
“Sesungguhnya ini satu saat yang penuh emosi dan membanggakan bagi kami. Kami tidak pernah sangka kami boleh melangkah sejauh ini namun inilah hasil sokongan anda,” kata The Original Vadai kepada pengikutnya di Facebook.
The Original Vadai yang terkenal hanya sebagai gerai pasar malam sejak tahun 2000-an, kini mempunyai lebih 10 cawangan di Singapura.