Topic followed successfully
Go to BHku'Bukit Bintang' sentuh kisah hidup sebagai pemuzik jalanan di KL
'Bukit Bintang' sentuh kisah hidup sebagai pemuzik jalanan di KL
'Bukit Bintang' sentuh kisah hidup sebagai pemuzik jalanan di KL
'BUSKER' Bob Sentuhan mungkin baru dalam dunia rakaman tetapi merupakan satu nama yang tidak asing di kalangan pemuzik dan peminat muzik jalanan.
Setelah hampir 20 tahun menghiburkan orang ramai di sekitar bandar raya Kuala Lumpur terutamanya Bukit Bintang dan pusat beli-belah SOGO, Bob akhirnya muncul dengan single berjudul 'Bukit Bintang'.
"Bukit Bintang adalah lagu yang sangat istimewa untuk saya kerana Bukit Bintang pernah dan akan terus menjadi pentas untuk saya beraksi.
"Matlamat saya adalah menjadi seorang penghibur yang menghiburkan. Saya bersyukur dipilih oleh komposer Maman Teacher's Pet untuk merakamkan lagu Bukit Bintang. Bergelar artis rakaman tidak akan mengubah matlamat saya sebagai artis jalanan kerana nadi perjuangan seni saya adalah untuk menghiburkan, tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama atau kedudukan," kata Bob pada sidang media memperkenalkan Bukit Bintang minggu lepas di Kuala Lumpur.
Single ini mengisahkan tentang cinta yang berputik dan mekar di Bukit Bintang, sebuah kota yang berwarna-warni yang penuh dengan kisah kehidupan.
Bob Sentuhan yang berasal dari Pulau Pinang memulakan kerjayanya sebagai penghibur jalanan dan telah menjelajah negara serta mendendangkan lagu untuk pengunjung kaki lima.
Bob turut memperjuangkan bakat dan nasib pemuzik jalanan agar dihormati oleh orang ramai. Single sulung Bob turut menampilkan Maman Teacher's Pet yang juga penggubah dan penerbit lagu berkenaan.
Maman yang telah berdiam diri selama dua dekad kembali ke dunia muzik untuk bekerja dengan Bob kerana beliau percaya dengan bakat dan keazaman Bob untuk menjadi penghibur yang berjaya. "Bukit Bintang adalah lagu yang dibuat khas untuk Bob kerana di sinilah dia mula menyanyi dan di sinilah dia mencurahkan semua semangat dan dedikasinya untuk menghiburkan orang ramai dengan nyanyiannya.
"Bob mempunyai bakat yang besar dan saya yakin, dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang baik, dia mampu pergi jauh. Saya juga kagum kerana Bob bukan sahaja popular di Bukit Bintang malah terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia juga," kata Maman.
Video muzik rasmi lagu 'Bukit Bintang' boleh ditonton di YouTube MMX mulai 11 pagi hari ini.

