PENYANYI dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari, dikatakan telah mengubati jiwanya yang lara sesudah pemergian suaminya Ashraf Sinclair pada 18 Februari 2020.
Dalam laporan laman, Beritasatu.com, Bunga dilaporkan sudah membuka hatinya pada bekas teman sekolahnya, Tiko Aryawardhana, seorang pegawai bank, yang hadir pada majlis ulang tahun Bunga yang ke-40 pada 22 Mac lalu.
Tiko dikatakan duda anak tiga yang juga sudah memenangi hati satu-satunya anak Bunga, Noah Aidan Sinclair, dan orang tua Bunga.
Beliau juga menemani Bunga pada majlis ulang tahun pernikahan orang tuanya baru-baru ini. Ibu Bunga bahkan memuatnaikkan di media sosialnya beberapa gambar yang menampakkan Tiko sering hadir di majlis atau acara melibatkan keluarga Bunga.
Menerusi laman Linkedin Tiko, dilihat bahawa beliau adalah pegawai pemasaran dan penjualan produk di bahagian pengurusan kekayaan di sebuah bank terkemuka selama tiga tahun lapan bulan.
Tiko adalah lulusan Universitas Trisakti dan mengambil jurusan ekonomi. Beliau berpisah daripada isterinya pada 2021.
Dalam satu video ulang tahun Bunga, Tiko dilihat bergandingan tangan dengan kekasihnya itu yang meniup kek ulang tahun.
Kehidupan peribadi Bunga mendapat perhatian meluas media tempatan selepas beliau kehilangan suaminya, Allahyarham Ashraf, yang juga seorang artis popular dari Malaysia pada 18 Februari 2020.
Ashraf menghembuskan nafas terakhir pada usia 41 tahun akibat serangan jantung.
Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 di Jakarta dan dikurniakan seorang cahaya mata, Noah, yang kini berumur 13 tahun.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Bunga mahupun Tiko mengenai hubungan mereka.
Sebelum ini, timbul desas-desus Bunga menjalin hubungan intim dengan penyanyi kumpulan Noah, Ariel. Bagaimanapun, Bunga menafikannya sambil menambah Ariel hanyalah sahabat karibnya.
Bunga juga bergelut dengan isu warganet yang mengecam bentuk tubuhnya yang dikatakan sudah 'naik badan' dan perutnya yang buncit.
"Saya tidak salahkan warganet tetapi saya tidak suka kalau mereka sebar gosip liar dan mengatur hidup saya," katanya dalam satu laporan,1 Astro Awani.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg