Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Carta Dasyat Giler' bakar semangat bakat SG

Penganjur acara, pengurus bakat hargai kerja keras penggiat seni melalui peraduan dalam talian
Aug 27, 2020 | 5:30 AM
SUKAKAN SAINGAN SIHAT: Juffri Alui yang mempertaruhkan lagu terkininya, 'Untuk Kali Terakhir', dalam 'Carta Dasyat Giler' berharap bakat Singapura dapat bekerjasama dalam terus menjana karya kreatif yang dapat dijadikan satu perkongsian. - Foto ihsan JUFFRI ALUI
SUKAKAN SAINGAN SIHAT: Juffri Alui yang mempertaruhkan lagu terkininya, 'Untuk Kali Terakhir', dalam 'Carta Dasyat Giler' berharap bakat Singapura dapat bekerjasama dalam terus menjana karya kreatif yang dapat dijadikan satu perkongsian. - Foto ihsan JUFFRI ALUI -

KEGIGIHAN bakat tempatan terus menjana ilham bagi lagu baru di sebalik kesulitan pandemik Covid-19 membuatkan penganjur acara Sham Wahab dan pemuzik Olly Ismail tersentuh sehingga merasakan perlu mengiktiraf sumbangan mereka melalui satu program khusus.

Kalau di seberang Tambak, ramai penyanyi menetapkan matlamat menempatkan lagu mereka bagi pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL), Sham dan Olly pula merasakan ini boleh dilakukan secara kecil-kecilan sebagai pembakar semangat artis setempat.

Maka timbullah idea mengadakan rancangan dalam talian, Carta Dasyat Giler, mulai 9 malam pada 4 September ini di laman Facebook Dasyat Giler.

Penonton rancangan ini kemudian boleh mengundi lagu pilihan mereka yang dirasakan wajar berada dalam tangga teratas carta.

Pada akhirnya kemudian, acara Anugerah Dasyat Giler akan diadakan bagi mengiktiraf karya dan persembahan terbaik.

Ia adalah sebagai peluasan pada rancangan Dasyat Giler Virtual Show yang sudah berkumandang setiap Rabu di media sosial dan memasuki episod kelapannya semalam.

Sham yang memiliki syarikat pengurusan acara dan pembekal sistem bunyian, CMX International, dan Olly yang menguruskan syarikat pengurusan bakat, Voz Management, sebelum ini pernah bekerjasama bagi Konsert Dasyat Giler di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI), lima tahun lalu.

Melalui program maya mereka juga, peraduan karaoke Suara Dasyat Giler dapat dikendalikan.

Ketika dihubungi, Sham menjelaskan:

"Kalau nak difikirkan, sebenarnya ada hikmah yang boleh diraih daripada Covid-19 ini. Kami terfikir membangkitkan semangat pencinta seni dengan rancangan norma baru berkonsepkan hiburan maya.

"Alhamdulillah, program kami mencecah tontonan 500,000 kali. Ramai bakat tempatan pula mula menunjukkan minat menyertai program kami yang berkonsepkan kekeluargaan dan memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat."

Beliau akur cabaran terasa dalam mengatur jadual rakaman yang kadangkala bercanggah antara pihaknya dan pemuzik itu sendiri.

Peraturan jarak selamat dan juga perhimpunan lima orang dalam satu masa juga perlu diperhatikan.

"Kami masih baru dengan 10,000 pengikut di laman Facebook kami dan bergerak sejak lebih sebulan lalu. Mudah-mudahan, tontonan rancangan kami akan mencecah sejuta nanti dengan adanya Carta Dasyat Giler ini," katanya.

Olly pula berharap Carta Dasyat Giler ini akan memberi semangat buat artis tempatan terus berkarya dan menghasilkan lagu bermutu. Sungguhpun begitu, ia tidak tertakluk pada lagu terbaru sahaja. Ada juga bakat yang menyertakan lagu yang dihasilkan pada 2016 untuk dipertandingkan.

"Memandangkan tidak semua bakat setempat mempunyai klip video (MTV) mereka sendiri, kami akan pertandingkan semua lagu dalam bentuk persembahan langsung yang diiringi band atau dibuat secara akustik.

"Setiap minggu kami akan sajikan lagu dan buat 'countdown' bagi menyenaraikan lagu yang menduduki carta dari tempat ke-10 ke tempat pertama. Orang ramai kemudian boleh mengundi lagu pilihan menerusi laman Facebook kami sebelum kami usahakan Anugerah Dasyat Giler," jelas Olly lagi.

Antara bakat tempatan yang menyertai rancangan ini adalah Juffri Alui yang tampil dengan lagu terbarunya Untuk Kali Terakhir ciptaan Syawal Ziyad.

Kata pemuda 28 tahun itu:

"Saya memang hargai usaha Sham dan Olly sebab teruja nak memasuki program yang menekankan konsep persaingan sihat dalam kalangan bakat tempatan.

"Baik bagi bakat tempatan saling menggalakkan satu sama lain. Perlu juga ada rancangan khusus dalam talian bagi menyajikan kerja seni anak watan Singapura. Persada seni Melayu di Singapura ini amat kecil. Demi cinta pada muzik, kita harus terus berkarya dan menyokong satu sama lain, apa lagi dalam kesulitan pandemik koronavirus ini."

'Single' Untuk Kali Terakhir adalah lagu terkini Juffri yang mengisahkan percintaan yang tidak kekal abadi sesama manusia.

"Macam mana kita sayangkan orang tu, kalau tiada jodoh, mereka akan pergi juga. Ini adalah kisah menghargai detik-detik terakhir memegang tangan si kekasih buat kali terakhir," kongsinya.

Fatin SerulingLady, 22 tahun, yang mempertaruhkan lagu Cinta Larangan ciptaan bersama dirinya, Amyr Abadawn dan Olly, pula menjelaskan Carta Dasyat Giler adalah wadah baginya membangkitkan semangat dan mekarkan cinta terhadap seni.

"Saya pun ingin mempromosikan lagu saya ini. Ia adalah kisah yang dilalui ramai pasangan muda apabila hubungan cinta mereka tidak direstui orang tua.

"Justeru, demi menjaga hati dan perasaan ibu bapa, mereka terpaksa korbankan cinta mereka bagi kebahagiaan orang tua mereka. Apa gunanya bercinta tanpa restu orang tua?" jelasnya yang mempunyai kemahiran meniup seruling dan mempunyai 12,000 pengikut Facebook.

Vokalis kumpulan 4OUR, Noor Azli Talip, 45 tahun, pula berharap Carta Dasyat Giler akan membuka mata ramai terhadap potensi penyanyi solo dan band di Singapura.

"Saya dan Kael dari kumpulan Aerial juga mengendalikan rancangan sembang muzik kami di Facebook Sembang Rock N' Roll bagi memperkenalkan bakat tanah air kita di samping mempromosikan lagu mereka. Kita perlu saling menyokong dalam menyemarakkan persada seni.

"Kumpulan saya 4OUR pula menyertakan 'single' Shyrish bagi rancangan ini. Ia diilhamkan daripada pengalaman saya dan isteri menjaga anak istimewa kami. Ia juga adalah dedikasi buat semua anak istimewa serata dunia dan merupakan satu kupasan isu sosial.

"Besar hati kami apabila Shyrish diputarkan di corong radio RTM Malaysia dan radio BesferaFM di Indonesia. Kami akan gigih menghasilkan lagu-lagu baru berteraskan pesanan sosial," jelas Noor Azli.

SEKILAS CARTA

Rancangan 'Carta Dasyat Giler' akan bermula 9 malam pada 4 September ini. Bakat tempatan dan lagu mereka yang dicalonkan bagi undian penonton dalam talian Facebook 'Dasyat Giler' adalah:

1. Tiesha - Dalam Diam 2. Wan Mohd Fuad - Syarifah Syaqiyya 3. Poetic Maleeka - Hipnotiz 4. Hir - Perpisahan Cinta 5. Dinodi -Ku Putuskan Kasih Kita 6. Nur Athirah - Kata Rindu 7. Sejora - Aku Mengingatimu 8. Amy Hakimii - Inspirasi Rinduku 9. Fatin SerulingLady - Cinta Larangan 10. Aerial - Mayangsari 11. Dayak - Aku Hanya Mampu 12. Erynn Eriynee - Mungkiri 13. Juffri Alui - Untuk Kali Terakhir 14. 4OUR - Shyrish 15. Aryff Shah - Cintaku Yang Sepi 16. YK Young Khalifa - Balut 17. SanoTri - Digari Rindu 18. Fido & Edyll - Sampai Bilakah 19. Mansor Warren - Cinta Setengah Mati 20. Fiezah menampilkan Skye - Cepat Abang Sayang 21. Rahmat Damansari - Mama 22. Erma Maulood - Sebuah Cinta Agung 23. Izhar Hidayat - Wanita 24. Juwiezy - Segalanya Kerana 25. Mai Dhaniyah - Formulaku 26. WanSod - Tiada Sempurna 27. Denova - Kecuali Kita 28. S2J - Senangkan Hati 29. Stino - Sepuluh Tuhan 30. Hamzah Adon - Nak Jugak ​31. All About Bob - Hilang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg