Topic followed successfully
Go to BHkuCef selebriti Haikel perluas niaga di KL sambil ceriakan anak yatim
Cef selebriti Haikel perluas niaga di KL sambil ceriakan anak yatim
Usahawan pastri S’pura gabung dengan rakan seberang untuk projek sukarela buat golongan susah
Cef selebriti Haikel perluas niaga di KL sambil ceriakan anak yatim
Setiap rezeki yang diraih cef selebriti dan pempengaruh sosial, Cef Haikel Ismail, terasa lebih nikmatnya apabila dikongsi bersama golongan memerlukan.
Cef Haikel, 31 tahun, yang mengendalikan perniagaan berpangkalan dari rumah (HBB), Unico Delicacies By Chef Haikel, cukup bersyukur bahawa beliau ditemukan dengan rakan-rakan termasuk di seberang Tambak yang menitikberatkan kerja kebajikan.
Pada 17 Disember 2024, kakinya buat julung-julung kalinya melangkah ke Rumah Kebajikan dan Anak Yatim, Darul Najjah (An Najjah), di Kuala Lumpur, bagi membantu kenalan yang merupakan suami isteri, Tengku Mior Muhammad Fahmi Abdullah dan Cik Nur Haza Shahira Ahmad Ikram, menceriakan anak-anak tandus kasih ibu bapa di situ.
Tengku Mior, 25 tahun, seorang eksekutif jualan dan Cik Nur Haza, juga 25 tahun, seorang peruncit, adalah sahabat yang dikenali sejak 2019 ketika menebarkan perniagaan kerepek kentang pelbagai perisa ke Malaysia, hasil kerjasama dengan penyanyi, Aiman Tino.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cef Haikel yang kini sibuk mengambil tempahan bagi biskut dan kek Raya, berkata:
“Awalnya, saya, Mior dan Haza, hanya ingin makan bersama adik-adik di rumah anak yatim itu.
“Bagaimanapun, Haikel terfikir bagus juga kalau kita beli dan sedekahkan barangan dapur buat mereka sambil bersembang dan beri mereka duit belanja hujung tahun untuk persekolahan mereka.
“Kami sempat juga belikan mereka manisan donat dan juga beberapa barangan keperluan sekolah yang dipesan dan dikirimkan ke rumah anak yatim itu.
“Saya tak dapat nak luahkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya saya dapat memberikan kebahagiaan buat adik-adik ini, walaupun sumbangan tak sebanyak mana.”
Menurutnya, inilah kali pertama beliau mengusahakan projek kebajikan dengan rakan-rakannya sambil bercuti dan meninjau peluang niaga di Kuala Lumpur pada penghujung 2024.
Sebelum ini, Cef Haikel berkongsi rezeki kecil-kecilan sebagai lanjutan pada kerja kebajikan yang dilakukan di Singapura melalui hasil air tangannya.
“Sewaktu bersembang dengan adik-adik ini, mereka bercerita tentang keadaan mereka yang yatim piatu sebab tiada ibu bapa lagi.
“Mereka sempat doakan Haikel dan rakan-rakan Haikel. Mereka rasa rindu pada ibu bapa dan kerinduan ini dapat Haikel rasakan sebab saya kehilangan ibu kerana komplikasi penyakit ginjal pada 2022.
“Ibu pergi pada hari lahirnya dan ketika itu, dikesan tidak bernyawa lagi, semasa menjalani rawatan dialisis di hospital,” kongsi Cef Haikel dengan nada sebak.
Baginya, situasi anak-anak yatim ini lebih menyedihkan sebab mereka masih kecil lagi dan kehilangan kasih sayang ibu bapa.
“Saya juga menyalur derma dan kebajikan atas ingatan pada arwah ibu yang selalu berpesan kepada saya agar melakukan kebaikan,” tambahnya.
Buatnya, menghabiskan 2024 dengan kerja amal sangat bermakna di samping berkongsi pahala dengan dua rakannya itu.
“Mior dan Haza banyak membantu dan menyalur semangat sukarela dalam diri Haikel. Teman-teman di Singapura pun sempat menyumbang wang bagi membolehkan kami membeli lebih banyak barangan untuk anak-anak yatim ini,” ujarnya.
Lulusan Diploma Pastri dan Membakar Kuih daripada Pusat Pendidikan Hotel dan Pelancongan Singapura (Shatec) yang pernah diminta menyiapkan pencuci mulut dan hidangan buat bintang ternama seperti Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang singgah ke Singapura bagi konsert masing-masing ini akan sentiasa mengingati jerih payahnya membina nama dalam bidang kulinari.
“Nyala rasa dalam bidang kulinari turut mengajar saya erti kesabaran dan kekal merendah hati walau kandungan media sosial mula mendapat tempat di hati netizen.
“Pada 2024, saya bersyukur ditawarkan peluang tampil dalam rancangan televisyen, Makan Skuad, yang sudah disiarkan dan Zaman Sekolah yang akan disiarkan tidak lama lagi.
“Saya menjalani rakaman rancangan paling lama dalam Zaman Sekolah. Saya perlu ingat skrip. Saya banyak belajar daripada rakan-rakan yang lebih berpengalaman muncul dalam program televisyen ini.
“Saya perlu berkongsi nostalgia bersekolah dahulu bersama beberapa cef selebriti lain.
“Dalam pada itu, bagi Makan Skuad pula, saya berpeluang masak bersama pengacara cilik dan remaja. Mereka sungguh aktif sepanjang rakaman program.
“Tapi, nasib baik ada mereka sebab mereka bantu saya hafal skrip manakala saya pula perlu ingat resipi. Macam-macam nak diingatkan agar tidak tersilap dan melambatkan lagi kerja merakam program ini,” jelasnya lagi.
Cef Haikel menjelaskan bidang kulinari diceburinya bukan bagi mengecapi populariti sebab beliau lebih peka mutu biskut, pastri dan kek hasil air tangannya.
“Kalau pelanggan gembira dengan rasa pastri yang saya siapkan dan mengusulkan teman-teman lain untuk melanggani khidmat saya, ia lebih membuat hati saya gembira dan bersyukur.
“Biasanya, ada pengikut Instagram yang akan tangkap layar program yang saya jayakan dan ‘tag’ saya selepas menonton saya di televisyen.
“Apabila dikenali, rezeki juga seiringan bertambah dan kita harus lebih bersemangat menaiktarafkan mutu produk kita dan peka dengan maklum balas pelanggan,” tambahnya.

