Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa.
Namun, kerana komen yang ditulis di dalam talian, Cef Wan pula kini dalam siasatan polis.
Laman web, mStar Online, melaporkan Cef Wan, yang nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail, 66 tahun, telah meninggalkan komen yang disifatkan berbaur perkauman semasa mengulas gambar pelakon Bollywood terkenal, Aishwarya Rai.
Semasa laman Instagram ‘Namaste Bollywood’ meminta komen warganet mengenai gaun Aishwarya pada Pesta Filem Cannes baru-baru ini, Cef Wan turut mengulas dan berseloroh bahawa busana itu seperti membawa ‘kavadi’ ke upacara Thaipusam di Batu Caves.
Akibat komen itu, polis mengesahkan cef terkenal itu sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Polis, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, mengesahkan laporan telah dibuat mengenai kes itu.
Menyusuli kejadian tersebut, Cef Wan menulis di Instagramnya pada 28 Mei bahawa beliau tidak berniat mempersendakan Aishwarya yang merupakan menantu bintang tersohor India, Amitabh Bachchan.
“Saya juga mesti meminta maaf kepada Aishwarya Rai jika dia berasa sakit hati. Tetapi saya fikir dia tidak mengenali saya dan dia tidak peduli,” kata Cef Wan mengenai hal itu.
Menurutnya, bukan niatnya mempersenda agama Hindu atau memburukkannya.
“Sebagai cef yang sering muncul di televisyen, saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan permohonan maaf kepada semua penganut agama Hindu kerana telah membuat kenyataan sedemikian. Saya minta maaf,” katanya.
Menurutnya, beliau serta-merta terfikirkan tentang bahan yang digunakan pereka fesyen gaun Aishwarya yang kelihatannya persis bulu burung merak yang cantik dan menyaluti ‘kavadi’ pada acara Thaipusam.
“Saya menganggap burung merak cantik. Saya tidak berniat langsung menghina agama lain.
“Saya hanya berjenaka dan bercakap jujur. Namun, komen saya disalah tafsir sampai polis pun terpaksa siasat kerana ada yang buat laporan,” ujarnya.
Beliau menambah warga Malaysia kini lebih sensitif dalam banyak perkara. Dirinya juga tidak takut sebab yakin komen itu jujur tanpa ada sebarang niat buruk.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg