Penyanyi bersuara emas, Celine Dion, yang dilanda Sindrom Individu Kejang sebelum ini, diramalkan kembali ke pentas sempena upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik pada 26 Julai.
Persembahan itu kelak dijangka bersejarah memandangkan Dion, 56 tahun, telah menghentikan konsert jelajahnya dan tidak bertemu peminat setelah dikenal pasti menghidap penyakit yang menyerang otot dan melemahkan daya fizikal dan keupayaannya menyanyi pada Disember 2022.
Menurut laporan majalah Variety, Dion tiba di Paris pada 22 Julai dan menetap di Hotel Royal Monceau berdekatan kawasan Champs-Elysees, tempat Lady Gaga, seorang lagi bintang yang dijangka mewarnai perasmian Sukan Olimpik tinggal.
Butiran terperinci mengenai persembahan Dion, bagaimanapun, dirahsiakan buat masa ini.
Jurucakapnya juga tidak memberitahu media mengenai apakah yang boleh dijangkakan kelak.
Sebelum ini, Dion pernah memberitahu majalah Vogue France sekitar April:
“Saya memilih untuk mempersiapkan segala jiwa raga dan tubuh saya dari hujung rambut sampai hujung kaki untuk satu acara, dibantu pasukan perubatan saya.
“Saya mahu jadi yang terbaik yang saya mampu. Impian saya adalah untuk melihat Menara Eiffel sekali lagi!”
Pelantun lagu, My Heart Will Go On, itu juga menambah beliau sedang bekerja keras setiap hari untuk memperkasa tubuhnya.
“Selama empat tahun, saya beritahu kepada diri saya, ‘Saya takkan kembali menyanyi. Kadang macam sudah bersedia kembali membuat persembahan, kadang macam belum bersedia’.
“Tapi saya tak boleh diamkan diri saya. Ya, dalam masa empat bulan lagi. Saya tidak tahu. Hanya tubuh saya yang dapat memberi isyarat sama ada saya sudah bersedia ataupun tidak,” jelasnya seakan memberi teka-teki yang masih menjadi tanda tanya.
Nampaknya, ramai yang kata Dion memang akan membuat persembahan di Menara Eiffel yang merupakan mercu tanda Paris.
Ramai yang membayangkan suasana perarakan meriah di luar stadium, yang pertama pernah diadakan dalam sejarah Olimpik.
Lokasi ikonik Paris yang menyatukan 3,500 pelakon, penari dan pemuzik akan dipersembahkan ke mata dunia.
Dion bukanlah seseorang yang asing pada persembahan Olimpik.
Beliau membuka tirai Sukan Olimpik di Atlanta pada 1996 dengan menyanyikan lagu, The Power of the Dream.
Acara itu ditonton sekitar 3.5 bilion penonton serata dunia.
Baru-baru ini, Dion turut meminjamkan suaranya bagi satu video Olimpik olahragawan Canada bersama pelakon Michael J. Fox.
Tajuk video itu ialah L’invincible courage.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg