USIA pemuda warga Canada ini baru mencecah 23 tahun, namun banyak yang sudah dinikmatinya sebagai anak seni yang berjaya tetapi masih berpijak di bumi nyata.
Ali Gatie, penyanyi dan penggubah lagu keturunan Arab, yang ibu bapanya dilahirkan di Iraq, merupakan nama yang mula bermain di bibir ramai pengamat muzik carta antarabangsa.
Lagu cintanya It's You berjaya memasuki carta muzik, baik Billboard Hot 100 di Amerika, Top 40 di Canada, Australia, Ireland dan Sweden mahupun Top 10 di New Zealand dan Jerman.
Lebih istimewa lagi, Ali menjadikan kepopularannya juga sebagai satu cara berkomunikasi secara sihat dengan peminat tentang budaya Arab dan agama Islam jika wujud sebarang salah tanggapan.
Ikuti wawancara Zoom bersama Ali baru-baru ini yang diselaraskan label Warner Music.
Beliau, yang diuruskan SAL&CO sejak Mei 2020, mula aktif dalam muzik pada usia 18 tahun, bahkan menghentikan pengajian universitinya dalam bidang perniagaan demi memburu cita-cita dalam bidang muzik.
SOALAN (S): Apakah cita-cita anda sebenarnya ingin berkecimpung dalam bidang muzik?
ALI: Sejak kecil, saya memang suka menyanyi, tetapi tidak memikirkannya sebagai kerjaya.
Namun, hanya pada usia 18 tahun, saya merasakan saya harus menjana muzik yang indah sebagai santapan halwa telinga ramai.
S: Apakah pengajaran terbesar yang anda perolehi daripada kerjaya muzik ini?
ALI: Saya belajar mengimbangi masa antara tugasan saya dan proses menyuntik kreativiti. Kadangkala, saya rasakan tekanan mencipta lagu lebih baik hari demi hari buat peminat saya.
Namun, It's You kekal sebagai lagu terbaik yang pernah saya hasilkan sejauh ini.
Lebih penting bagi saya untuk kekal sebagai diri saya sendiri. Saya tidak impikan untuk jadi artis terbesar dalam industri muzik Canada atau antarabangsa. Cukup sekadar saya menjadi artis yang jujur dan ceria menghasilkan muzik dari hati.
S: Ceritakan tentang album EP kedua anda, 'The Idea Of Her'.
ALI: Ia adalah lanjutan daripada album pertama, tetapi disampaikan dengan cara berbeza.
Ia bukan hanya menceritakan satu kisah cinta, tetapi merangkum beberapa kisah cinta sekali gus. Ada kisah cinta sedih, ada kisah cinta gembira.
Saya akui tidak mudah menghasilkan muzik dalam tempoh pandemik Covid-19. Album ini sepatutnya dikeluarkan tahun lalu. Saya memang sibuk dengan konsert jelajah, tetapi album ini pula tersendat sebab Covid-19.
Mujurlah tahun ini, ia dapat diterbitkan sebagai penawar buat peminat saya yang sudah lama menanti kerja seni baru.
S: Apakah perkara baru yang anda pelajari dan hadam semasa pandemik ini?
ALI: Sewaktu pandemik, saya menyedari kita harus lebih bersyukur dengan apa yang kita miliki atau nikmati.
Kita tidak tahu bila-bila masa sahaja apa yang ada dalam genggaman akan hilang begitu sahaja.
Kadangkala dalam saya sibuk menjelajah dunia, saya terlalu penat dan tertekan sampaikan mengambil ringan beberapa aspek penting dalam hidup saya.
Berterima kasih selagi anda masih ada keluarga di sisi anda. Kita mudah sahaja kata masalah kita berat, tetapi ada orang lain yang lebih kurang bernasib baik daripada kita dan kehilangan orang tersayang.
Hargai setiap detik bersama orang tersayang. Itulah hikmah di sebalik pandemik ini.
S: 'Can't Let You Go' dalam album baru anda adalah lagu tentang cinta dan kehilangan. Boleh ceritakan lebih lanjut?
ALI: Ia adalah lagu yang benar-benar menyampaikan sesuatu kepada setiap pendengar.
Memang ia lagu 'romantik gila', tetapi ia mengisahkan tentang apabila seseorang itu jatuh cinta, payah untuk dia lepaskan orang yang dirasakan tepat buat hidupnya. Dia tak nak rasa kehilangan, tetapi jika ia berlaku juga, ia memang memeritkan.
Saya rasa semua orang boleh mengaitkan diri mereka dengan lagu ini. Ini juga lagu yang akan dapat membantu anda mara tanpa memikirkan kisah silam yang mendukacitakan.
S: Bagaimana muzik menjadi penyatu umat dunia?
ALI: Kita bayangkan dunia yang tenat kerana pandemik. Kita semua terpisah dan tidak dapat mengembara.
Namun, daripada paparan layar telefon bimbit, kita dapat sebarkan cinta dan ingatan menerusi muzik.
Muzik itu ibarat jambatan. Saya di Canada, tetapi saya masih boleh sampaikan lagu cinta saya ke Mesir, Dubai dan Malaysia. Ia dunia tanpa sempadan.
S: Bagaimana anda melihat diri anda sebagai wakil masyarakat Islam dalam pasaran muzik antarabangsa?
ALI: Saya mewakili masyarakat dan budaya Arab dan bangga dengannya. Saya mungkin satu-satunya penyanyi Arab yang nyanyi lagu cinta Inggeris dalam pasaran komersial.
Kerana itu, saya sediakan terjemahan lirik rasmi lagu saya dalam bahasa Arab bukan sahaja bagi memancing peminat di negara Timur Tengah yang dengarkan lagu pop, tetapi sebagai memberi masyarakat bukan Arab atau bukan Islam gambaran tentang cebisan budaya saya iaitu bahasa Arab yang kaya.
Saya dibesarkan di Canada di mana tidak semua penduduknya beragama Islam. Apabila saya berpuasa, saya juga berkongsi tentang kesucian Ramadan dengan peminat bukan Islam saya.
Mereka menghormati dan mereka memahami nilai-nilai murni dalam ibadah puasa, misalnya. Ramadan adalah bulan kita rapatkan ukhuwah keluarga, kita memberi kepada yang memerlukan dan berhimpun beramai-ramai.
S: Apakah tiga perkara yang mampu memberi anda sekilas senyuman?
ALI: Muzik, mandi dan makanan lazat khususnya pada bulan Ramadan.
Saya memang payah hidup tanpa muzik. Saya anggap mandi sebagai satu perlambangan hari baru bakal bermula dengan pemikiran segar-bugar.
S: Siapakah sumber inspirasi anda?
ALI: Adele, Ed Sheeran dan Coldplay sebab muzik mereka malar segar... tak 'kan pupus ditelan zaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg