Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Cinta ‘Luarbiasa’ ibu, isteri Sezairi sumber ilham seni

Juara ‘Singapore Idol 3’ sebak kenang pemergian ibu di ambang penerbitan lagu terbaru
Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Beberapa minggu sebelum juara Singapore Idol (Musim 3), Sezairi Sezali, melancarkan lagu Luarbiasa yang sudah disimpan tujuh tahun dalam ‘pustaka’ karya ciptaannya, beliau kehilangan insan yang amat bermakna dalam mencorak destinasi dan menggalakkannya untuk bergelar anak seni.


Ibu Sezairi, Cik Rubiah Chayan, meninggal dunia lewat Jun lalu, setelah lama tabah diuji dengan masalah jantung sejak Sezairi masih kecil lagi.

Sezairi, 35 tahun, yang dihubungi Berita Minggu sebak mengenang ibu yang hanya sempat berkomunikasi dengannya menerusi pesanan WhatsApp ketika Cik Rubiah dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) pada masa Sezairi berada di Bali bagi projek seninya.


“Ibu saya biasa mengirim WhatsApp tentang makanan yang sedang dinikmati atau kunjungannya ke hospital. Saya sedih sebab sepulangnya saya dari Bali, ibu dalam keadaan tidak sedar. Justeru, saya tidak dapat berbual dengannya pada saat-saat akhir. Keadaannya kian membimbangkan susuli pembedahan keduanya, di mana berat badannya turun dan beliau juga hilang selera makanan. Dia perlu makan tujuh hingga lapan jenis ubat sehari.

“Saya reda dengan pemergiannya meskipun masih terngiang-ngiang suaranya. Dari dahulu lagi kerana menyedari ibu sakit dan sering keluar masuk hospital, saya dibelenggu rasa resah melihat situasinya. Akan timbul kata-kata dalam hati yang risau sebab bila-bila masa sahaja ibu boleh pergi apabila sampai masanya.

“Apabila beliau benar-benar menyahut panggilan Ilahi, saya tak terkata apa-apa pun. Bingung dan sedih pun ada. Saya akan ingat semangatnya yang kuat untuk berdikari. Sebelum dia jatuh sakit dan dirawat ke ICU, ibu penuh semangat nak pergi Pasar Geylang dan naik bas sendiri dari Bukit Panjang. Saya akan selalu ingat ibu sebagai orang yang suka menyanyi ketika buat kerja rumah. Bagi membangkitkan keceriaannya, dia akan nyanyi lagu Datuk Sheila Majid, Sinaran, di dapur,” cerita Sezairi.


Kata-kata perangsang yang diberi ibunya itu akan terus menjadi pembakar semangat buat Sezairi membina kerjaya seninya walaupun sukar mana pun dek perubahan landskap muzik masa kini, khususnya sesudah pandemik Covid-19 melanda.

Lagu Luarbiasa yang bakal dimuatkan dalam album terbarunya kelak adalah lagu yang sudah lama tersimpan dan terakam demonya di Bandung tatkala beliau mula bekerja dengan penerbit Indonesia.


Ia merupakan lagu yang dicipta khusus buat majlis perkahwinannya dan ditujukan buat isterinya, Syaza Qistina Tan. Sezairi inginkan karya yang istimewa dan tidak mahu dendangkan lagu ‘cover’ buat isterinya itu lantas menciptakan sesuatu yang menggambarkan perasaannya yang luar biasa menjalin cinta dengan Syaza.

“Apabila kita jatuh cinta, pastinya kita tak nak perasaan itu biasa-biasa sahaja. Kita inginkan kelainan dan saya tidak mahu nyanyikan lagu orang lain buat Syaza. Saya mahu dia kenang sampai bila-bila, bahkan dia juga yang mengusulkan agar lagu ini dikeluarkan dari pustaka karya saya dan dirakam untuk pendengaran umum.

“Saya mendapatkan bantuan penerbit Indonesia, Petra Sihombing, untuk mengubah suai lagu ini agar kedengaran cantik dan halus seni katanya persis susunan kata dalam banyak lagu Indonesia lain. Bagi saya, Petra adalah orang yang suka mendengar. Dia lebih banyak mendengar daripada berbual sedangkan saya pula suka banyak bercakap.

“Empatinya sangat saya kagumi. Dia jadikan lagu Luarbiasa ini betul-betul jujur dan dia buat saya selesa kerana dia ‘menggali’ apa yang saya rasa selama ini,” kata Sezairi lagi.


Menghasilkan lagu ini dengan sisipan kata Indonesia juga membantu Sezairi mengembalikan nostalgia asal-usulnya sebagai anak orang Kalimantan (bapa) dan Jawa (ibu). Ibunya adalah generasi pertama yang bertutur bahasa Melayu di Singapura, sedangkan ibu bapa dan datuk nenek ibunya selesa berbual dalam bahasa Jawa dan Indonesia.

“Dalam persiapan saya menghasilkan Luarbiasa, saya juga mula cari tentang susur galur keluarga dan kota-kota di Kalimantan untuk tahu lebih tentang asal-usul keluarga saya dan bahasa yang digunakan. Saya rasa itulah yang menggambarkan rasa cinta yang benar-benar wujud dalam diri saya... proses buat lagu dan bikin album yang memberi takrifan penuh siapa Sezairi adalah sesuatu yang akan saya kenang sampai bila-bila.


“Saya juga terdorong nak bikin banyak album agar suatu hari nanti, saya boleh kenang semula kerjaya saya dengan rasa gembira banyak yang dapat saya sumbangkan tentang pengamatan seni saya pada persada seni Singapura dan serantau,” ujarnya.

Bersama Petra, beliau seronok cipta lagu di bawah pokok dan apabila penat, boleh juga menaiki kereta ke kawasan pergunungan di Bali.

“Album saya selanjutnya ini mengandungi lagu-lagu yang saya ibaratkan seperti ambil padi dari sawah... ia tidak semudah masak nasi dalam periuk nasi. Saya amat titikberatkan proses penghasilan album ini sampaikan berbincang tentang jenis gitar apa nak digunakan. Saya pakai gitar tong bagi lagu pembukaan album saya kerana begitulah permulaan saya dahulu.

“Budak Melayu pakai gitar tong nilon yang dibeli dengan harga $40 di kedai buku Popular. Memang ia liku-liku hidup yang saya hargai sampai hari ini,” ujarnya lagi.

Sezairi juga bertuah dapat membuat persembahan pada Pesta Java Jazz yang menjadi idaman setiap artis baik di Indonesia atau serantau.

“Saya mulanya risau sebab siapalah yang kenal Sezairi dalam kalangan penonton pesta gah ini. Tapi apabila saya berada di pentas pesta ini, dengan ribuan orang, saya terkesima. Mereka berikan saya sambutan menggalakkan. Saya berharap kita di Nusantara ini akan lebih menghargai muzik Asia Tenggara.

“Bagi saya, muzik itu penawar dan penyelamat saya daripada terjebak dalam perkara atau emosi yang negatif. Saya ingat betapa ibu dedahkan saya pada muzik berlainan seperti yang dinyanyikan Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah.

“Kebiasaannya teman-teman lain dengar lagu rok kapak dan band seperti Exists dan Slam. Saya lebih terdedah pada muzik yang saya selalu dengar ibu saya mainkan atau dendangkan di rumah. Bapa pula sebagai jurujual alat hi-fi juga tidak boleh nafikan impak mempunyai alat hi-fi di rumah yang menjadi tempat saya rehat dan nikmati muzik.

“Kalau tak nak ibu bapa dengar lagu apa yang saya putarkan, pasang sahaja fon kepala dan duduk diam-diam sambil menikmatinya. Apa yang boleh saya katakan, pengorbanan ibu bapa saya untuk meletakkan saya pada tahap sekarang ini takkan saya lupa. Mereka banyak mendorong saya dalam perjalanan hidup sebagai anak seni,” kata Sezairi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >