Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Cucu penggubah lagu ‘Di Tanjong Katong’ teruskan warisan dendang rakyat

Komposer lagu Melayu klasik, Ahmad Patek, dikenang dalam persembahan lagu S’pura di Kelab Masyarakat Katong
Jul 15, 2023 | 05:30 AM



Setiap kali mendengar alunan lagu rakyat, Di Tanjong Katong berkumandang di kaca televisyen atau di corong radio, perasaan Encik Amrhan Mohamed Said girang dan amat berbesar hati.


Manakan tidak? Lagu ikonik yang dikenali ramai itu telah dicipta oleh datuk beliau, Ahmad Patek atau nama sebenarnya Muhammad Ahmad, pada tahun 1930-an lagi. Encik Amrhan, 66 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), datuknya dilahirkan di Singapura di Jalan Engku Aman pada 1908 dan meninggal dunia pada 1943, semuda usia 35 tahun.


Ahmad Patek mempunyai lima anak, dan ibu Encik Amrhan, Cik Jamilah Muhammad, merupakan anak sulung kepada penggubah dan pencipta lagu tersohor itu. Bapa Encik Amrhan, Encik Mohamed Said Abdul Rahman pula merupakan ketua band dan bermain alat muzik tenor.

Di atas ingatan pada warisan datuknya itu dan populariti lagu Di Tanjong Katong di Nusantara, pada 23 Julai ini, Encik Amrhan dan adik-beradik serta sepupunya bakal mengadakan persembahan di Kelab Masyarakat Katong. Tiada bayaran dikenakan bagi menonton persembahan sempena acara Art Unites yang berlangsung antara 10 pagi dengan 6 petang.


Lagu yang bakal disajikan adalah tiga lagu kesingapuraan seperti Rasa Sayang, Geylang Si Paku Geylang selain Di Tanjong Katong.


Dalam pertemuan bersama BH, dapat diselongkar bahawa walaupun usia Ahmad Patek agak singkat, namun beliau telah mencipta banyak lagi lagu malar segar lain. Antaranya Embun Menitik, yang telah dinyanyikan semula oleh Puan Sri Saloma dan dipaparkan dalam filem Seniman Bujang Lapok, terbitan Malay Film Productions (MFP) pada 1961.


Menurut Encik Amrhan lagi, satu lagi lagu popular Ahmad Patek ‘Swing Dondang Sayang’, nyanyian Miss Julia telah menggunakan rekod batu, dan mendapat sambutan hangat. Namun rekod batu ini telah pupus dan tiada salinan dapat dilakukan. Ahmad Patek juga mempunyai adik lelaki, Osman Ahmad, juga seorang komposer terkenal di MFP, yang letaknya di Jalan Ampas.


Kisah Ahmad Patek serta seniman dan seniwati lama berkisar di tahun 1900 hingga 1965 turut dibukukan oleh seorang lagi cucu beliau, Encik Azlan Mohamed Said, adik kepada Encik Amrhan. Buku Musika Arena Muzik Silam Di Malaya telah diterbitkan pada 2013 dan telah habis terjual di dalam dan luar negara.


“Memang, setiap kali mendengar lagu Di Tanjong Katong ciptaan datuk saya ini, hati saya berasa megah dan berbunga di hati. Tak sangka lagu yang mengandungi pantun empat rangkap dan berusia lebih 90 tahun ini masih lagi relevan dan diterima ramai hingga ke hari ini. Lagu Ahmad Patek ini menggambarkan kehidupan Singapura pada era tersebut, serta melodi yang mudah diingati oleh semua lapisan masyarakat.


“Saya juga difahamkan, di sebalik lagu ini juga terkandung mesej yang membangun dan mengisahkan tentang erti persahabatan, budi bahasa, kasih sayang dan keadaan yang indah permai di kawasan Tanjong Katong suatu ketika dahulu. Mungkin kerana nilai-nilai murni inilah, lagu Di Tanjong Katong menjadi lagu rakyat atau folk song dan salah satu lagu ‘wajib’ ketika di sekolah dahulu,” kata anak kelima daripada 13 adik beradik ini dengan ramah.


Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Begitulah juga dengan kerabat Ahmad Patek ini dengan kebanyakan cucunya boleh menyanyi dan bermain pelbagai alat muzik seperti saksofon, piano, selo, klarinet, dram, seruling dan gitar.

Keluarga seni ini juga sering bertemu di salah satu rumah anggota keluarga mereka dan mengadakan sesi jamming beramai-ramai. Malah ibu saudara mereka, Allahyarhamha biduanita Kartina Dahari juga merupakan ratu keroncong dan penyanyi veteran yang mempunyai suara lunak dan masih diingati ramai hingga kini.


“Kami sering mengadakan sesi jamming, berlatih dan menyanyi di rumah adik saya, untuk mengeratkan tali persaudaraan sambil berhibur hati. Selain itu, aktiviti keagamaan juga turut diadakan seperti majlis tahlil atau solat terawih beramai-ramai. Seorang lagi abang saya, Ayob Mohamed Said tidak dapat bersama kami untuk acara kali ini kerana beliau berada di Makkah di atas urusan pekerjaan.


“Secara peribadi saya berasakan, muzik dapat menyatukan pelbagai warga dan kaum, dan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim di antara keluarga. Asal saja, ia tidak memudaratkan dan melampui batas,” jelas pesara dan datuk kepada dua orang cucu ini lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >