Walaupun pelakon Daniel Radcliffe ada dalam kesemua francais lapan filem Harry Potter sebagai watak utamanya, beliau tidak fikir usulan untuk muncul dalam siri televisyen, Harry Potter, merupakan saranan yang baik.
“Saya tak fikir saya akan berlakon dalam siri televisyen itu sebagai bintang tamu atau watak utama.
“Saya fikir pihak penerbit mahukan barisan pelakon yang baru. Tak akan ‘menjadi’ kalau pelakon dalam francais filem ini muncul dalam siri televisyen baru itu,” katanya dalam laman web, E! News.
Pelakon berusia 34 tahun itu tidak berkecil hati jika tidak dilamar untuk projek tersebut bahkan lebih gembira menontonnya dengan barisan pelakon baru yang ingin membina nama di Hollywood.
“Saya langsung tak fikir apa-apa. Biarlah ia diteruskan sebagai projek berasingan dan segar daripada menampilkan pelakon asal dalam francais filem terkenal itu,” ujarnya yang sudah meneruskan kerjaya lakonannya dengan bermacam genre filem termasuk kisah riwayat hidup pemuzik pelik, “Weird Al” Yankovic.
Perkongsian mengenai perkembangan terkini projek televisyen Harry Potter itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Warner Bros. Discovery, Encik David Zaslav, pada Februari.
Kali pertama projek itu didedahkan adalah pada April 2023.
“Kami tidak segan untuk melahirkan rasa teruja kami mengenai projek televisyen Harry Potter ini.
“Kali terakhir filem Harry Potter ditayangkan adalah lebih 12 tahun lalu.
“Saya berada di London beberapa minggu lalu bersama bos HBO (Home Box Office) dan Max, Casey Bloys dan seorang eksekutif televisyen Warner Bros., Channing Dungey.
“Kami berbual dengan pengarang Harry Potter, J.K. Rowling dan pasukannya. Kededua pihak bahkan tidak sabar untuk menyalakan semula rasa teruja ramai mengenai Harry Potter,” jelas Encik Zaslav.
Kisah-kisah baru lagi magis mengenai Harry Potter dan rakan-rakannya akan diselongkar dalam projek yang dijangka disiarkan pada 2026.
Wah! Nampaknya tidak sabar nak tunggu projek televisyen ini menjadi nyata.
Bagi Radcliffe pula, tak perlulah dikhuatiri sebab rasanya lama-lama berlakon dalam francais filem yang menaikkan namanya pun akan membuatnya bosan. Justeru, lebih baik cuba watak lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg