Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari 'membawang' di ruang digital, Hafidz 'gila-gila' di TV

Feb 28, 2022 | 5:30 AM
SAHUT CABARAN BARU: Hafidz Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai 'Bonda Bedah' dalam sketsa media sosial, ingin timba seberapa banyak ilmu seni dengan menjadi pengacara bersama rancangan hiburan 'Berani Nyanyi?', penggerak podcast kisah seram mahupun pempengaruh TikTok. - Foto DUA M
SAHUT CABARAN BARU: Hafidz Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai 'Bonda Bedah' dalam sketsa media sosial, ingin timba seberapa banyak ilmu seni dengan menjadi pengacara bersama rancangan hiburan 'Berani Nyanyi?', penggerak podcast kisah seram mahupun pempengaruh TikTok. - Foto DUA M -

Setiap bakat Singapura impikan peningkatan pada kerjaya seni mereka khususnya dalam tempoh mencabar di mana dunia hiburan turut menerima tamparan hebat dek pandemik Covid-19. Ikuti peningkatan perjalanan seni dua bakat setempat yang gigih memperkasa dan memperluas kemahiran masing-masing dalam era digital. BERITA HARIAN melaporkan.

APABILA penjana kandungan media sosial dan podcast, Hafidz Rahman mula menghasilkan video komedi di Facebook dan YouTube bersama rakannya Zuhairi Idris lapan tahun lalu, mereka dianggap antara pengasas dunia hiburan digital Melayu.

Dengan watak dua makcik 'membawang', Bonda Bedah (Hafidz) dan Mak Temah (Zuhairi) di saluran Lepak One Korner, pelbagai parodi kejadian seharian dan isu semasa mencuit hati lebih 86.7 juta pengikut setia.

Sejak tempoh pandemik, kededua pemuda kreatif ini mencurah idea di podcast cerita seram dengan judul Berhantu pula.

Mereka juga memberanikan diri mempelajari dan mewarnai dunia aplikasi perkongsian video ringkas TikTok yang tular.

Hafidz, 34 tahun, seorang pendidik seni pula melihat peluasan kerjayanya apabila dilamar sebagai pengacara rancangan infopendidikan bulan puasa, Warna Ramadan, tahun lalu dan rancangan hiburan Berani Nyanyi? setiap Selasa.

Apakah yang beliau pelajari daripada perjalanan seninya beralih dari media sosial ke televisyen?

Ikuti wawancara Zoom Berita Harian bersamanya yang mempunyai 115,000 pengikut Instagram dan 98,200 pengikut TikTok.

Soalan (S): Apakah yang Hafidz lalui apabila beralih dari media sosial ke televisyen? Adakah perkara yang anda gentarkan?

Hafidz: Saya tidak kekok di depan kamera, sama macam di media sosial. Cuma di media sosial, saya lebih bebas buat perkara merapik. Di televisyen, walaupun dalam rancangan gila-gila, strukturnya tetap ada. Saya perlu ikut pada ketetapan penerbit dan peka dengan tuntutan televisyen.

Yang amat mencabar adalah dari segi hafalan skrip. Penampilan lebih formal perlu diketengahkan dalam Warna Ramadan. Topik lebih serius pada bulan puasa.

Ini berbanding Berani Nyanyi? di mana saya diberi lowongan menjadi diri sendiri yang gila-gila, seiringan Najip Ali dan Era Farida (Cik Sal Boleh) yang juga sama frekuensi.

S: Ceritakan pengalaman mengacara bagi 'Berani Nyanyi?'.

Hafidz: Apabila diberitahu saya akan mengacara bersama Najip dan Era Farida, saya terus cakap 'okey'.

Saya ingin belajar daripada mereka yang saya anggap 'gandingan gempak'! Najip ajak saya makan tengah hari. Kata-katanya mengubah hidup saya.

Beliau ingin tahu apa yang saya takutkan sebagai pengacara? Saya kata, saya takut tak boleh hadam erti kata 'gila-gila' dalam televisyen dan media sosial sebab ia berbeza.

Najip beri saya keyakinan agar tidak takut dan jadi diri sendiri. Menurutnya, rancangan sebelum ini, Kopi O Teh Tarik pun pernah kena kecam.

Humor dalam televisyen memang perlu disampaikan dengan maksud tersirat. Saya belajar relaks dan tidak stres.

S: Apakah pengamatan tentang evolusi kerjaya seni anda?

Hafidz: Saya adalah pengkritik diri saya sendiri yang paling lantang mengecam. Orang kata saya dapat memberi dan menerima dengan rakan pengacara melalui aliran tenaga yang sehala. Tapi saya pula rasa masih banyak untuk dipelajari.

Bagi saya, pengacara yang baik dan berkesan perlu yakin, tangkap perhatian penonton, petah dan selamba serta pandai gunakan humor untuk bersikap beralas dalam mengetengahkan isu berat.

Berkesan atau tidak peralihan saya dari media sosial ke televisyen, ini untuk penonton jawab. Tak semestinya kita popular di media sosial, kita akan berjaya di televisyen.

S: Apakah kepuasan membangun kandungan buat Lepak One Korner?

Hafidz: Ia memang datang dari kerja keras dan keikhlasan menghibur orang tetapi apa yang membuat saya terharu tatkala mendapat pesanan semudah: "Terima kasih. Ini adalah kali pertama saya tertawa sejak bapa saya meninggal."

Saya sentiasa terfikir apa lagi selepas ini? Apabila mulakan podcast cerita seram pun, ia secara kebetulan kerana tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19.

Sebenarnya, tak nak bikin podcast cerita seram sebab saya ni penakut! Tapi kami tahu ramai yang ingin dengar cerita hantu.

Tahun demi tahun, orang ramai dahagakan pembaharuan. Walaupun tak berapa suka dengan TikTok, demi menarik perhatian generasi muda, saya perlu belajar gunakan wadah besar ini.

Malahan, kalau ada aplikasi atau teknologi baru, saya akan belajar demi mencipta diri semula untuk kekal relevan.

S: Siapa sumber inspirasi anda?

Hafidz: Dari segi penjanaan kandungan digital, memang tiada rujukan sebab sewaktu kami bermula, dunia digital masih baru. Kami bersandarkan falsafah, 'Kandungan itu raja'.

Tapi dari segi lawak live, Allahyarham Alias Kadir sebab jenakanya nampak mudah tetapi apa yang berlegar di mindanya luar biasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg