Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari pelajar lepak, 'rapper' kini ada wawasan seni

Qis Maraj anggap diploma teknologi muzik dan audio bakar semangat, bakal muncul dengan lagu baru
Nov 21, 2022 | 5:30 AM
- Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
- Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

BANYAK perkara baik berlaku dalam kehidupan rapper muda Singapura Nurbalqis Mohamed Muzamil, yang menggunakan nama pentas Qis Maraj, sukar dijelaskan dengan kata-kata kerana ia datang tanpa diduga.

Suatu ketika, Qis, 22 tahun, adalah pelajar sekolah menengah di ambang peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'N' yang dibelenggu kerisauan kerana sering mendapat markah rendah, bahkan tidak diberi penilaian gred, atau 'ungraded', bagi kebanyakan subjeknya.

Perkara ini dikongsi Qis secara terbuka di laman TikTok ketika tamat pengajian diploma, sebagai pembakar semangat buat peminat dan pengikutnya yang sering gagal dalam peperiksaan.

Teras pesanannya ialah tiada yang mustahil untuk menggenggam segulung diploma, walaupun pada awalnya pencapaian akademik sangat mengecewakan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) bagi sesi podcast #NoTapis di studio podcast BH baru-baru ini, Qis menjelaskan:

"Tiada apa yang perlu saya segankan. Semua ini perkara silam dan saya sudah meninggalkan fasa kegagalan itu.

"Saya harap perkongsian saya akan menjadi pembakar semangat buat pelajar lain agar tidak terus-terusan dibelenggu kegagalan dalam peperiksaan.

"Dari menengah satu hingga tiga, saya selalu dapat markah sangat rendah, khususnya bagi subjek Matematik. Seperti dalam TikTok, anda boleh lihat saya dapat 10 mata sahaja!

"Saya tak belajar, selalu sibuk main 'game' Habbo Hotel dan Mobile Legends. Saya banyak keluar merayap dengan kawan. Saya tak fokus tetapi panik pula ketika ingin masuk menengah empat dan perlu ambil peperiksaan GCE peringkat 'N'.

"Sebabnya, saya naklah lanjutkan pendidikan saya seperti pelajar lain ke institusi posmenengah. Barulah saya tersentak ketika itu dan saya ingin belajar. Saya mula serius.

"Alhamdulillah, markah yang saya dapat selepas itu memberi saya peluang ambil kursus kejuruteraan mekanikal di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur."

Awalnya Qis tidak pernah memikirkan untuk membina kerjaya seni walaupun beliau suka menyanyi, bahkan mempunyai beberapa saudara-mara di Indonesia yang memiliki studio muzik dan berkecimpung dalam muzik band.

"Saya anggap tempoh masuk peraduan nyanyi sewaktu kecil hanyalah untuk main-main sahaja.

"Tapi tergerak hati nak ceburi kerjaya muzik secara serius dan memilih kursus Diploma Teknologi Muzik dan Audio daripada Politeknik Singapura (SP).

"Kursus ini memang sesuai dengan cita rasa saya. Saya belajar mengadun muzik sendiri daripada bergantung pada kemahiran orang lain. Biasanya saya memerapkan diri saya dalam bilik dan pada waktu malam akan siapkan lagu dengan peralatan yang saya beli dengan bantuan saudara-mara di Indonesia.

"Jangan sampai mak saya bangun pada waktu malam kalau saya bikin muzik," katanya lagi.

Bagaimanapun, ibunya, yang membantu bapanya mengendalikan perniagaan makanan India di Bedok, adalah teman menyanyinya.

"Kebiasaannya ibu akan sama-sama nyanyi dengan saya. Lagu kegemaran kami ialah Price Tag oleh Jessie J serta lagu Rihanna seperti Diamonds dan Unfaithful," ujarnya.

Menurut Qis lagi, seseorang yang dapat gred rendah atau tidak dinilai masih mampu membuat perubahan dengan kecekalan dan kesediaan memacu minat belajar.

"Hanya diri kita sendiri yang boleh tiup semangat baru untuk maju dalam pelajaran dan kehidupan. Orang lain hanya boleh menasihati atau bantu beri perangsang. Selebihnya, kita yang harus usahakan sesuatu demi masa depan," katanya, yang memasuki dunia lakonan apabila dijejak pihak penerbitan untuk membawa watak Abil dalam drama Anak Metropolitan 4.0.

"Semuanya berlaku tiba-tiba. Saya tak jangka, hantar lagu kepada pihak radio tanpa sebarang jangkaan, lagu saya diterima untuk diputarkan.

"Kemudian, saya muncul dalam program Manja untuk menyanyi bersama Mawar Berduri, pihak penerbitan pula nak tawarkan saya peranan dalam Anak Metropolitan 4.0. Ingatkan pelakon pembantu sahaja... sekali tu peranan utama," katanya.

Qis, yang mengendalikan kelas sepatu roda secara sambilan, meraih perangsang untuk berjaya daripada membaca kisah lulusan ITE yang pernah gagal dalam pelajaran tetapi kini usahawan berjaya.

Sejauh ini, Qis telah menghasilkan beberapa lagu, termasuk Frenemy, Blah, No Bad Vibes dan KakakAdik (bersama Mawar Berduri).

Satu lagu 'catchy' Apa Lagi sudah pun beliau uar-uarkan di TikTok dan turut dinyanyikan di sesi podcast tempoh hari.

"Saya sebenarnya berharap dapat keluarkan album EP. Apa Lagi adalah lagu terkini yang bakal saya sajikan. Ia kisah seseorang yang tertanya-tanya apa lagi yang perlu dilakukan hati yang sudah lelah untuk menyelamatkan hubungan cinta.

"Apabila dah penat, maknanya masa untuk tinggalkan sahaja kekasih yang tidak peka, prihatin atau ambil berat sehingga memerah tenaga anda," katanya lagi.

"Hanya diri kita sendiri yang boleh tiup semangat baru untuk maju dalam pelajaran dan kehidupan. Orang lain hanya boleh menasihati atau bantu beri perangsang. Selebihnya, kita yang harus usahakan sesuatu demi masa depan."

- Qis Maraj.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg