Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dari penyanyi, Effa Rizan kini 'YouTuber' masakan

Bintang 1970-an ubati sepi kehilangan suami Dahlan Zainuddin dengan pertingkat kemahiran teknologi untuk kongsi resipi
Jul 24, 2022 | 06:18 AM



KESEPIAN yang dirasakan apabila kehilangan orang tersayang diisi penyanyi era 1970-an, Datin Effa Rizan, secara bermanfaat.



Lebih dua dekad lalu, tatkala anaknya, Mohd Akasha Iman, menyahut panggilan Ilahi, Effa yang ketika itu sudah lebih 20 tahun tidak menyanyi, kembali ke persada seni.



Pada kebanyakan masa, beliau mengikuti suaminya, Datuk Dahlan Zainuddin, membuat persembahan - menyahut cabaran suami untuk kembali menghiburkan peminat dengan suara emasnya.



KEMBARA JADI 'YOUTUBER' MASAKAN



Apabila Dahlan pula meninggal dunia selepas serangan angin ahmar pada 28 Mei 2019, Effa, kini 60-an tahun, melakukan sesuatu yang tidak pernah diduga beliau dapat melakukan pada usia emasnya - iaitu menjana video YouTube dengan kandungan tentang makanan dan masakan.



Selain berkongsi video demonstrasi memasak, beliau juga berkunjung ke restoran kawan-kawannya untuk membuat ulasan makanan spontan menerusi saluran YouTube Effa Rizan, yang kini mempunyai langganan 46,000 pengikut.



Kisah perjalanan Effa, yang dilahirkan di Singapura, sebagai 'YouTuber' dan 'nenek super canggih' kepada 10 cucu di Singapura dan Malaysia itu dikongsi menerusi wawancara bersama Berita Minggu baru-baru ini.



Perkongsian Effa atau nama sebenarnya, Fuziah Buang, juga mencakupi rasa berbesar hati diundang bagi acara minum teh petang anjuran Wadah Seni Entertainment, Retro Fiesta 70-an, di De Hall SG@Tai Seng Center di Irving Road pada 10 September ini.



"Sewaktu kemurungan melanda tatkala kehilangan anak saya, saya selalu melahirkan keinginan ikut suami ke persembahannya.



"Alang-alang dah ikut, beliau cabar saya kembali menyanyi meskipun saya memang dah bulat tekad tak nak nyanyi selepas berumah tangga kerana nak fokus pada rumah tangga dan rasa tak kuat lagi nak bertahan dalam dunia hiburan.



"Antara 2002 hingga 2003, saya kembali menyanyi bagi mengubati kemurungan. Sama juga setelah arwah Dahlan meninggal, anak lelaki saya tengok saya macam berdiam diri.



"Beliaulah yang cuba kembalikan semangat saya dengan mengusulkan agar 'mummy-nya' ni bikin video masak memasak. Saya sebenarnya tak faham nak bikin dan muat naik YouTube.



"Alhamdulillah, apabila belajar daripada anak dan mereka yang lebih tahu, saya dapat tajamkan kemahiran.



"Biasanya tak perlu pasukan bantu. Saya bikin sendiri. Pegang kamera di depan dan berbual sendiri atau pasang sahaja kamera ketika nak memasak dan mulalah saya berkongsi," ujarnya yang dikenali kerana lagu Rasa Hati dan Hasratku.



BANGKITKAN SEMANGAT SEWAKTU PANDEMIK



Menurutnya, semangatnya untuk bikin video YouTube lebih membara sewaktu perintah berkurung beberapa kali berkuatkuasa di Malaysia kerana pandemik Covid-19.



"Saya paling gembira kalau dapat siapkan masakan untuk keluarga dan teman makan. Saya tak makan sangat tapi seronok tengok orang menikmati dan menghargai masakan saya.



"Lebih puas hati dan bersyukur apabila teman-teman cuba resipi saya di YouTube dan mereka kata, 'Kak Effa, menjadilah resipinya...'," katanya dengan nada gembira.



Lebih 200 video sudah dihasilkan Effa dengan perkongsian video menyiapkan mi hongkong, samosa daging, sotong goreng garing, ayam goreng ketumbar dan lemak pisang muda.



Antara videonya yang paling banyak ditonton iaitu lebih 406,000 kali adalah cara menyiapkan agar-agar 'Sibelang' berperisa koko.



TERUJA MENGHIBUR DI SINGAPURA



Dalam pada itu, Effa cukup terharu diundang menyanyi di kampung halamannya setelah sekian lama.



"Ada juga teman-teman di Singapura yang bertanya, mengapa saya tak ke Singapura untuk menyanyi, memandangkan saya pun ada lagu raya yang diputar di radio setiap tahun iaitu Lebaran.



"Saya kata, tiada yang panggil dan mungkin belum ada rezeki. Alhamdulillah, kali ini saya berkesempatan datang. Sambil datang, nak juga ubat rindu makan rojak India, mi soto, tose dan bermacam hidangan lain di Haig Road dan Bedok," jelasnya.



PENYANYI 'BIDAN TERJUN'



Sewaktu diminta menceritakan penglibatannya dalam bidang seni, beliau menyatakan ia berlaku secara tidak dirancang memandangkan kakaknya, Hamidah Buang, terlebih dahulu menyertai bidang seni.



"Penulis lirik, Allahyarham Kamali Hudi, datang berbincang dengan kakak tetapi mempelawa saya menyanyi. Saya masih budak sekolah 15 tahun. Nyanyi pun di bilik air. Malu nak tampil di khalayak ramai.



"Tahu-tahu masuk studio rakaman dan bertemu penggubah lagu, Kassim Masdor dan penulis lirik, Yusnor Ef. Mereka yang beri saya nama glamor Effa Rizan memandangkan sudah ramai artis bernama Fauziah atau Fuziah ketika itu. Ada Fauziah Nawi, Fauziah Zie dan Fuziah Haroun Al Rashid atau Uji Rashid.



"Saya amat hargai bantuan mereka dan juga biduanita Sanisah Huri yang sama label dan baik budi pekertinya dan selalu membantu saya menyesuaikan diri," jelasnya.



VARIA POP 'JODOHKAN' EFFA-DAHLAN



Mungkin sudah diatur sedemikian rupa perjalanan hidupnya sehingga senilah yang menemukannya dengan suaminya, Dahlan, yang mempunyai jarak usia 20 tahun dengannya.



Mereka berumah tangga selama 42 tahun dan dikurniakan empat cahaya mata - Natasha Idha, Mohd Danial, Mohd Akasha Iman dan Nur Athinia Ines.



"Saya dan arwah selalu pergi 'show' bersama-sama sampai sejauh Brunei. Tapi memanglah tak ada perasaan apa-apa.



"Kebetulan, majalah Varia Pop yang 'menjodohkan' kami sempena persembahan di Panggung Negara. Sepatutnya, Dahlan berpasangan dengan Rahimah Rahim bagi rakaman kulit majalah itu. Rahimah tak dapat hadir kerana perlu ke Brunei.



"Saya pula diminta gantikan walaupun berat hati sehinggalah dipujuk. Dah dikatakan jodoh, selepas sesi itu, kami hanya berkenalan lebih dekat selama tiga bulan. Selebihnya, bercinta selepas kahwin.



"Walau usianya lebih tua 20 tahun, kami tak ada masalah nak 'klik' sebab arwahnya memang jiwa muda. Dalam rumah tangga, kami banyak bertolak ansur, bersabar dan berkorban. Saya pula jenis terima seadanya dan tak nak peningkan kepala... sikit lebih kuranglah kalau nak rukun," kongsinya.



PEMINAT BERI DUIT, CINCIN DAN SURAT CINTA



Mengenang kerjaya seninya pula, Effa tertawa seraya berkata:



"Peminatlah buat kita rasa istimewa. Mereka kirim surat direnjis minyak wangi dan berbedak dengan duit $1 atau $5.



"Mereka kirim kad raya. Label rakaman memang galakkan kita balas surat dan kad raya sampai libatkan anggota keluarga menolong sebab berguni surat dan kad yang diterima. Mereka beri cincin.



"Sampai ke hari ini, apa-apa yang kita balas atau tandatangani mereka simpan. Ada yang kata, mereka tampal pemberian kita pada almari atau dinding rumah. Banyak juga surat cinta tetapi saya layan dengan baik dan anggap ia hanya gurauan."



Keterangan lanjut mengenai persembahan Effa di Singapura boleh diperolehi di laman Facebook dan Instagram Wadah Seni Entertainment.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >