Topik diikuti
Pergi ke BHkuDayang sebar pesan sayangi lagu klasik Melayu
Dayang sebar pesan sayangi lagu klasik Melayu
Dayang sebar pesan sayangi lagu klasik Melayu
SUARA merdu bak buluh perindu bintang kelahiran Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, ketika menyanyikan irama R&B, pop, balada dan dansa, memang tidak dapat dinafikan.
Tahun ini, Dayang, 39 tahun, merasakan amanahnya mendekatkan pendengar muda dengan irama klasik yang diberi sentuhan dan kesan lebih 'wow' dek digitalisasi muzik perlu digalas.
Maka, terhasillah album Belagu yang dimuatkan dengan lapan lagu lama yang menjadi kegemarannya dan penerbit Aubrey Suwito.
Single pertama Tudung Periuk sudah berada di wadah penstriman Spotify dan Apple Music.
Tujuh lagu lain, Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa, Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doamu turut dimuatkan dalam album ini yang akan menemui pendengar bulan ini.
Apakah perasaan Dayang dapat mengembalikan lagu-lagu nostalgia ini buat pendengaran peminatnya dari pelbagai lapisan usia?
Ikuti wawancara Zoom bersamanya yang diselaraskan label rakaman Universal Music.
Soalan (S): Apakah perasaan Dayang dapat terlibat dalam projek Belagu?
Dayang (D): Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat menghasilkan album klasik. Saya pernah hasilkan album Kasih yang berbaur klasik sebelum ini pada 2005.
Ia lebih pada satu proses eksperimen dengan lagu lama. Kali ini, ia bukan lagi satu eksperimen tetapi lebih memperkasa mutu bunyi irama klasik dan memastikan kesegarannya tanpa menghilangkan keaslian lagu tersebut.
S: Apakah kisah di sebalik pemilihan lagu 'Tudung Periuk'?
D: Saya diberi kesempatan mendendangkan lagu ini di acara penutup Sukan SEA beberapa tahun lalu. Saya berduet dengan artis veteran, Salamiah Hassan.
Pada waktu itu, saya memang tidak begitu mengenali secara mendalam lagu Tudung Periuk, dendangan P. Ramlee dan Saloma ini.
Ia juga tiada dalam senarai lagu yang saya catat dan ingin rakamkan semula bagi projek album klasik. Biasanya, saya akan senaraikan lagu-lagu lama kegemaran saya dalam buku nota.
Justeru, apabila diberi peluang menyanyikan lagu ini pada acara penutup Sukan SEA itu, saya begitu tertarik dengan susunan semula Aubrey. Ia menjadikan lagu itu begitu 'wow'!
Cuma terbetik dalam hati, apakah keistimewaan lagu ini sehingga ia dipilih untuk didendangkan pada majlis Sukan SEA yang gilang-gemilang.
Antara fakta yang saya raih ialah lagu ini merupakan antara lagu Melayu pertama yang dirakamkan dalam rekod dahulu. Kerana itu, ia dipilih untuk Dayang dan Kak Salamiah nyanyikan.
S: Apakah takrifan Dayang tentang lagu 'Tudung Periuk' ini?
D: Apabila saya hayati lirik lagunya dengan pantun berulang, saya merasakan betapa dalamnya lagu ini. Bagi saya menyanyikannya semula, ia merupakan satu amanah agar saya dapat mengajak generasi baru hayati balik lagu-lagu klasik.
Saya berbangga dapat menyanyikan lagu ini semula. Tak tahu bila ada peluang keemasan sebegini.
S: Apakah keistimewaan yang boleh peminat jangkakan bagi album 'Belagu'?
D: Mereka juga boleh mendapatkan album fizikal Belagu. Sejajar dengan ia merupakan album klasik, ada permintaan peminat yang nak miliki CD fizikal lagu-lagu lama ini. Sesiapa yang berminat boleh mendapat butiran lanjut di Instagram Dayang.
S: Apakah cabaran menyanyikan lagu klasik?
D: Kalau kita dengar lagu lama, kita hayati bahasa dan penyampaiannya. Sangat lembut. Memandangkan saya bukan penyanyi irama tradisional, saya perlu kaji semula teknik mendendangkan lagu lama ini.
Kelembutan dan kehalusan bahasanya harus dijaga. Apa yang saya tahu, dalam lagu-lagu lama, orang dulu kalau nak marah, tak adalah sampai menjerit. Cara mereka berkias, lembut dan halus.
Bagi memastikan saya dapat 'feel' lagu lama, saya minta penyanyi Bob Yusof yang mesra dengan irama tradisional ajar saya lenggok dan etika menyanyikan lagu tradisional ini.
Bahasa dahulu bukannya disampaikan langsung sebegitu. Kita pun perlu faham maksud yang tersirat bagi menyampaikannya secara berkesan.
Dayang merakam lagu-lagu dalam album ini secara 'live' di studio dengan iringan pemuzik. Kebanyakan masa, saya tumpukan perhatian pada emosi lagu ini. Ia cabaran yang dinanti-nanti dan dihargai.
"Kalau kita dengar lagu lama, kita hayati bahasa dan penyampaiannya. Sangat lembut. Memandangkan saya bukan penyanyi irama tradisional, saya perlu kaji semula teknik mendendangkan lagu lama ini. Kelembutan dan kehalusan bahasanya harus dijaga. Apa yang saya tahu, dalam lagu-lagu lama, orang dulu kalau nak marah, tak adalah sampai menjerit. Cara mereka berkias, lembut dan halus." - Dayang Nurfaizah mengenai cabaran menyanyikan lagu klasik
