Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

De Fam undur diri daripada peraduan realiti kerana kesihatan Azira

Jun 18, 2024 | 6:59 PM
De Fam, yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Manggis, Azira Shafinaz dan Sophia Liana, mengambil keputusan berat, meninggalkan pentas, ‘The Hardest Singing Show’, kerana faktor kesihatan Azira yang mengganggu tumpuan.
De Fam, yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Manggis, Azira Shafinaz dan Sophia Liana, mengambil keputusan berat, meninggalkan pentas, ‘The Hardest Singing Show’, kerana faktor kesihatan Azira yang mengganggu tumpuan. - Foto INSTAGRAM DE FAM

Kemunculan kumpulan De Fam dalam rancangan realiti Astro, The Hardest Singing Show, memang dinanti-nanti penonton setiap minggu kerana mereka pandai menari dan lunak menyanyi.

Bagaimanapun, setelah lama menanti pada 16 Jun, peminat terpaksa akur dengan keputusan De Fam, yang terdiri daripada Sophia Liana, Azira Shafinaz dan Cik Manggis, untuk mengundurkan diri meskipun belum tersingkir daripada peraduan itu.

Sebabnya, Azira, 32 tahun, mengalami masalah kesihatan yang membuatkannya tidak berdaya meneruskan perjalanan dalam peraduan itu yang memerlukan kelasakan peserta saban minggu.

Sophia, 33 tahun, dan Cik Manggis, 34 tahun, pula sebulat suara enggan meneruskan penyertaan mereka tanpa Azira kerana lebih selesa bergerak bertiga dan bukan berdua.

Mereka mengumumkan penarikan diri pada penghujung minggu keenam peraduan yang turut disertai Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, Ayda Jebat, Zizi Kirana dan Stacy Anam.

“Kami sebenarnya teruja dapat membuat sesuatu yang kreatif bersama dan duduk berbincang bersama.

“Idea yang kami tampilkan pula yang tidak pernah kami buat pada acara lain. Rasanya, inilah momen terbaik De Fam sepanjang kami di dalam peraduan ini.

“Kami terpaksa buat pilihan mengundurkan diri atas faktor kesihatan, bukan atas kemahuan peribadi kami,” ujar Azira meskipun tidak mengulas tentang penyakit yang melanda.

Namun, berdasarkan persembahan minggu-minggu sudah, dapat kelihatan wajahnya yang nampak tidak sihat sesudah persembahan.

Ada juga ketika Azira tidak menyertai Cik Manggis dan Sophia pada segmen keputusan diumumkan.

Mudah-mudahan, Azira beransur sembuh dan kita tetap dapat melihat aksi tiga wanita hebat ini dalam acara lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg