Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Deanna Yusoff dalami dunia penjagaan kulit

Pelakon filem ‘Selubung’ lancar buku panduan jaga kulit, kekal jelita pada usia 57 tahun 
Sep 22, 2024 | 5:30 AM
Pelakon Malaysia, Deanna Yusoff, semasa menghadiri acara Kuala Lumpur Fashion Week 2024 baru-baru ini.
Pelakon Malaysia, Deanna Yusoff, semasa menghadiri acara Kuala Lumpur Fashion Week 2024 baru-baru ini. - Foto INSTAGRAM DEANNA YUSOFF

Nama pelakon Malaysia, Deanna Yusoff, tidak asing dalam industri seni Melayu.

Selain pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-10 pada 1992 bagi filem Selubung, beliau juga telah membintangi filem Ringgit Kasorrga (1995) dan Chermin (2007).

Beliau juga pernah terlibat dalam beberapa penerbitan Singapura termasuk Army Daze (1996) drama Cemas dan filem 1965 (2015) di mana beliau berganding dengan penyanyi Sezairi Sezali. 

Namun sejak 2017, Deanna tidak lagi aktif dalam industri seni. Beliau menemui ‘cinta’ barunya iaitu mendalami ilmu penjagaan kulit yang menggunakan bahan semula jadi. 

Berkongsi dengan Berita Minggu (BM) dalam satu temu bual eksklusif melalui panggilan Zoom, Deanna berkata beliau diperkenalkan kepada dunia produk penjagaan kulit semula jadi selepas dilamar oleh Kedutaan Switzerland di Malaysia untuk menjadi duta dan rakan perniagaan bagi sebuah jenama penjagaan kulit beberapa tahun lalu. 

Terdahulu, Deanna, 57 tahun, pernah menjadi duta bagi beberapa produk kecantikan termasuk SKII dan Oil of Ulan (kini Olay). 

Namun kerjasama itu tidak kekal kerana mereka tidak sehaluan dan jenama itu tidak lagi wujud di pasaran. 

“Semasa bercerita dengan kawan saya tentang kekecewaan saya kerana projek tersebut tidak menjadi kenyataan, beliau memberi saya idea untuk mempelajari tentang bidang penjagaan kulit sebagai satu hobi,” kongsinya yang mempunyai darah campuran Melayu dan Swiss. 

Deanna bermula dengan menonton video di YouTube tentang cara menghasilkan produk penjagaan kulit di rumah. 

Beliau turut mendapat inspirasi membuat balsam bibir dan minyak patinya sendiri daripada buku-buku oleh syarikat penjagaan kulit Neal’s Yard Remedies semasa sedang melancong di London, United Kingdom (UK).

Hobinya itu bertukar kepada sesuatu yang serius apabila Deanna membuat keputusan untuk mengambil Diploma dalam Formulasi Penjagaan Kulit Organik oleh Formula Botanica, sebuah sekolah sains kosmetik organik yang berpangkalan di United Kingdom (UK). 

“Minat saya dalam bidang itu sangat mendalam sehingga saya mendaftar untuk semua kursus lain yang ditawarkan sekolah itu.

“Selain mempelajari tentang formulasi kosmetik, saya juga meraih ilmu tentang penjenamaan dan kemahiran usahawan dalam dunia penjagaan kulit,” kongsi Deanna yang menghabiskan masa semasa pemutus litar Covid-19 dengan mengusahakan diploma secara dalam talian dan tamat pengajian pada 2022. 

Selepas tamat pengajian, beliau tidak mahu terburu-buru melancarkan rangkaian produk penjagaan kulitnya sendiri kerana berasa ia agak susah untuk jenama kecil bersaing dengan jenama penjagaan kulit terkenal yang ada di pasaran.

“Saya melihat bagaimana beberapa rakan sama kursus dengan saya yang berada di Eropah terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak dapat bertahan disebabkan pasaran yang sangat mencabar kerana lebih banyak syarikat mahu memasuki industri penjagaan kulit semula jadi,” cerita Deanna. 

Sebaliknya, Deanna melancarkan sebuah komuniti dalam talian melalui laman www.deannayusoff.com dan berkongsi petua dan panduan cara menjaga kulit dengan baik melalui cara semula jadi. 

Beliau juga melancarkan buku petua elektronik pada 1 Julai lalu bertajuk Deanna’s Secret to Serenity dengan berkongsi cara menjaga kulit secara hoslitik – secara luaran dan dalaman supaya mendapat kulit yang lebih sihat. Buku tersebut boleh didapati dengan melanggan dan menyertai komunitinya. 

Deanna juga aktif memuat naik video pendek di akaun Instagramnya yang mempunyai 48,100 pengikut berkongsi petua seperti melalukan yoga muka dan makanan semula jadi yang kaya dengan vitamin dan antioksidan.

“Buat masa ini saya sudah ada lebih 100 langganan. Bergerak ke hadapan, saya berharap dapat mengadakan seminar dalam talian dan kursus untuk berkongsi tentang masalah penjagaan kulit dan isu kesihatan.

“Saya juga berharap dapat melancarkan produk dalam masa akan datang tetapi ia masih dalam proses formulasi kerana saya ingin gunakan bahan semula jadi yang terbaik,” tambahnya. 

Ditanya apakah rahsianya yang masih kelihatan anggun pada usia 57 tahun, Deanna gelak dan berkata beliau teringat pada arwah neneknya. 

“Dahulu, arwah nenek saya selalu tegur dan marah kalau saya sering berjemur di bawah matahari. Sekarang selepas menimba ilmu tentang penjagaan kulit baru saya faham bahawa terdedah pada sinaran matahari terlalu banyak juga tidak baik untuk kulit,” katanya.

Beliau juga berkongsi apabila memasuki 50-an tahun, cara badan individu bertindak balas juga berbeza.

Lantas Deanna menukar cara beliau bersenam dan cuba untuk menjaga pemakanannya dengan mengawal gula yang diambil. 

“Sewaktu Ramadan, saya melatih diri saya untuk tidak memakan kuih-muih dan makanan dengan gula tambahan. Sebaliknya, saya mendapat gula yang diperlukan daripada kurma dan makanan lain yang ada gula asli. Memang susah pada mulanya, tetapi ia satu latihan bagi saya,” tambahnya.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg