GARA-GARA terlalu gementar untuk mempersembahkan runut bunyi (OST) filem Spectre, Writing's On The Wall, Hazrul Nizam payah melelapkan mata Khamis lalu.
Penyanyi Singapura itu hanya sempat tidur sejam selepas Subuh sebelum kembali ke Kuala Lumpur, Jumaat lalu, untuk sesi latihan konsert minggu kesembilan Gegar Vaganza 9 (GV9) yang berlangsung kelmarin.
Segala kebimbangannya untuk mendendangkan lagu daripada francais filem risikan James Bond itu akhirnya terlerai apabila Hazrul, 42 tahun, mendapat pujian, sekali gus tempat kedua dalam pusingan suku akhir peraduan realiti Astro itu.
Hazrul mendapat 81 peratus di belakang juara minggu kesembilan, Shila Amzah, 32 tahun, yang diberi markah 85.3 peratus hasil persembahan lagu memperkasa wanita dendangan asal Destiny's Child, Survivor.
"Saya memang tidak sangka dapat ulasan membina daripada juri sebab gementar juga apabila mendapat lagu Writing's On The Wall. Lagu ini memang ada naik turun nadanya. Alhamdulillah, saya dapat buat apa yang saya rancang.
"Apabila juri Datuk Syafinaz Selamat memberikan saya markah 11 melebihi 10 markah penuh, saya gembira sekali dan lega.
"Sebabnya pada Khamis lalu, saya memang tidak dapat tidur memikirkan lagu ini. Saya berlatih untuk tidak 'bunyi' seperti penyanyi asal, Sam Smith. Susunan lagu pada waktu itu pun belum dengar lagi.
"Tak pasti jika ia berlainan sangat. Cuma saya terfikir bagaimana, sebab lagu itu dah betul-betul gah. Atas nasihat Datuk Ramli MS, kita kekalkan susunan lagu itu. Saya rasa amat beruntung sebab ada Datuk Ramli memberi nasihat.
"Dalam sesi pemeriksaan bunyian, barulah saya terasa lega selepas tak tidur sehingga Subuh dan cuma ada masa sejam lepaskan ngantuk sebelum pergi ke Lapangan Terbang Changi. Masalah dengan saya adalah saya selalu berfikir lebih daripada sewajarnya," ujarnya, yang berulang-alik dari Singapura ke Malaysia untuk peraduan ini.
Kebiasaannya, Hazrul akan meluangkan masa dari Jumaat hingga Isnin malam di Kuala Lumpur untuk urusan GV9 manakala baki hari lain dihabiskan di Singapura, tempat beliau mencari rezeki sebagai ejen hartanah.
Kelmarin, sut hitam yang disiapkan pereka fesyen Singapura, Adam Rashid, turut mendapat pujian juri Syafinaz yang sebelum ini mendapati busana Hazrul kurang menyerlah di matanya.
Warganet memuji Hazrul nampak segak persis 'James Bond Malaya' malahan ada yang mengusik beliau dan Syafinaz kelihatan sama tinggi, sama padan kerana mengenakan baju hitam sedondon.
Syafinaz bahkan naik ke pentas dan mengapit lengan Hazrul untuk memberikan ulasannya sehingga ada warganet Twitter yang berseloroh: "Kali ini Tok Naz (Datuk Syafinaz) nampak 'cair' dengan penampilan Hazrul'.
Dalam pada itu, Shila, yang memanfaatkan kemahirannya menari dengan baik, kembali bersemangat berbanding persembahannya yang dirasakan 'mendak' minggu lalu.
"Sebenarnya banyak nak siapkan untuk minggu ini. Selain menari, sesuatu yang saya lihat orang suka, saya perlu pastikan sebutan lirik bahasa Inggeris saya bagi lagu Survivor ini tepat.
"Saya memang sudah lama tidak menyanyikan lagu Inggeris di pentas, apa lagi mendendangkannya dalam peraduan realiti," ujar Shila dalam segmen pasca pertandingan Vazz Vaganza.
Menurutnya lagi, seperti minggu ketiga di mana beliau muncul sebagai juara selepas menyanyikan lagu dangdut, Secangkir Madu Merah, dapat dirasakan penonton rata-rata sukakan dirinya menyanyikan lagu rancak berbanding balada perlahan yang memang diketahui merupakan lagu zon selesanya.
Shila menampakkan potensinya bagi lagu rancak dengan semangat juang membara seperti lagu yang disampaikan sebelum ini iaitu lagu asal Elite, Tamparan Wanita (bersama Mimi Fly) dan lagu Korea dendangan Ailee, I Will Show You.
Dalam pada itu, pada sidang media yang disiarkan secara langsung di YouTube, Ramli sebagai ketua juri menjelaskan lagi kepada wartawan bahawa GV tidak menolak penyanyi veteran yang sudah lama menyepi.
Apabila ditanya apakah GV sudah melupakan misinya sebagai talian hayat buat artis lama dan seakan ingin membunuh artis lama, Ramli berkata:
"Kami sebenarnya berdepan dengan kesukaran mencari peserta usia mapan. Sudah masuk sembilan musim dengan 126 peserta sejauh ini.
"Ada artis matang yang sudah tak nak masuk lagi. Yang umur 40-an tahun mungkin dah lama tak nyanyi dan bimbang akan keluar pada minggu kedua dan ketiga.
"Memanglah kalau boleh saya nak artis macam Ramlah Ram dan Fauziah Latiff masuk. Umur-umur macam tu. Tapi kita dah tawarkan dan hak mereka nak masuk atau tidak. Ada yang rasa bukan masanya."
Syafinaz pula berharap jika ada artis lama yang ingin memasuki GV, mereka harus berlatih mulai sekarang untuk pastikan otot-otot mereka selesa melontar suara.
"Makan masa untuk artis yang sudah lama tidak menyanyi dan berusia sampai ke tahap menyanyi seperti artis baru dan muda yang selalu menyanyi. Tapi bukan tak boleh, kena mula berlatih.
"Dalam GV9 pun ada peserta yang sudah berusia 40-an tahun seperti Hazrul Nizam dan VE. Kita dah tak boleh anggap GV sebagai platform untuk artis sendu sebab ada yang masih aktif menyanyi seperti Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Tomok, yang terlibat dalam peraduan ini," kata Syafinaz.
Nota: Ulasan GV9 boleh didengar di podcast Berita Harian, #NoTapis: Gegaran GV! di Spotify.
Siaran GV9 disiarkan setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg