Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BELASUNGKAWA

Dedikasi, sifat hormat Hamid Gurkha terus dikenang

Jun 18, 2022 | 05:30 AM



DI sebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya, pelawak Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman, adalah anak seni yang serius berkarya, disiplin dan komited pada tugasnya.



Allahyarham Hamid, 90 tahun, yang meninggal dunia kerana penyakit batuk kering dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 2.19 petang Selasa, diingati ramai rakan seninya sebagai yang menghormati orang lain termasuk seniman lebih muda.



Bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Jati, Kampung Jawa, Klang pada 9.50 malam hari yang sama.



Pemergiannya menyusuli berpulangnya beberapa pelawak Malaysia seangkatan seperti Datuk Jamali Shadat (3 Februari 2021) dan Amran Tompel (26 Mac 2022).



Teman-teman lain yang pernah berkongsi pentas jenaka bersamanya dan menghiburkan penonton pada tahun 1970-an dan 1980-an ditakdirkan menyahut panggilan Ilahi lebih dahulu.



Mereka termasuk R. Jaafar (14 Mei 1995), Yahya Sulong (6 Februari 2013), A.K Jailani (31 Oktober 1986), Yusni Jaafar (1 April 2008) dan Param (14 Ogos 2009).



PAK HAMID 'SI BAJU HIJAU'



Tidak ramai yang tahu, Hamid yang lahir pada 22 Ogos 1933 sewaktu Malaysia masih lagi dijajah pihak British merupakan tentera British selama tujuh tahun, antara 1950 dengan 1957.



Dalam satu rencana Utusan Malaysia, beliau menyingkap peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 di mana balai polis Bukit Kepong diserang 180 pengganas komunis.



Hati Hamid ingin menghulur bantuan tetapi segala perhubungan terputus dek campur tangan komunis.



Peristiwa tersebut sentiasa bermain di fikirannya dan kadangkala membuatnya terkilan melihat pemimpin komunis Melayu, Mat Indera, diangkat sebagai pejuang, sedangkan ada yang menganggapnya sebagai petualang.



Melalui penglibatan Hamid dalam tentera British inilah, beliau dikatakan mendapat gelaran Gurkha di belakang namanya yang kemudian melekat sebagai nama pentas dalam bidang seni.



JOHAN BINTANG RADIO RTM



Bakat terpendam Hamid dalam bidang seni menyerlah ketika memasuki Pertandingan Bintang Radio RTM pada 1965.



Beliau dinobatkan sebagai johan peraduan dengan Kementerian Kebudayaan dan Kesenian menawarkannya membuat persembahan pentas. Sejak itu beliau bergerak di bawah kementerian tersebut.



Tidak lama kemudian, Datuk Jamali mengajaknya menyertai beliau sebagai pelawak pentas.



Allahyarham ligat bermain filem, daripada Panglima Badol (sebagai Sengkuang) kepada Gila-Gila, Sikit Punya Gila, Aku Yang Berhormat, Talak, Jejaka Perasan, Guru Badul, Main-Main Hantu dan Konstabel Mamat.



Filem terakhirnya adalah Superbike The Movie dua tahun lalu.



KECEWA SI ANAK SENI



Laman Sinar Harian pernah melaporkan kekecewaan Hamid apabila tidak dinilai dan dihargai sesetengah syarikat rakaman yang menawarkan harga tidak berpatutan baginya merakam sketsa lawak jenaka dan lagu komedi.



Ini merupakan antara sumber buatnya dan Jamali mencari rezeki pada tahun 1970-an menerusi album terbitan Life Records.



Hamid patah hati kerana merasakan kebolehan dan pengalamannya tidak dihargai.



Bagaimanapun, rezeki berpihak pada Hamid apabila suaranya kemudian digunakan sebagai nada deringan telefon bimbit pada 2003. Ia cukup laris terjual ketika itu.



PETUA SIHAT



Beberapa rencana turut berkongsi petua sihat Hamid yang tidak pernah lepas membacakan bacaan '3 Qul' selepas solat, berselawat ke atas Nabi saw sebanyak tujuh kali.



"Saya turut amalkan bacaan selawat Nabi setiap kali mandi di waktu pagi. Ketika jirus air ke badan, saya sertakan dengan doa agar Allah hindarkan saya daripada sebarang penyakit," jelasnya.



Selain makan beras merah, beliau tidak mengambil makanan laut dan jarang makan ayam dan daging atau minuman bergas dan berais.



"Lebih baik berpantang dalam pemakanan kerana ingin mengelak daripada terkena penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung," katanya.



SENIMAN PENUH DEDIKASI



Disiplin dan komitmen tinggi Allahyarham dalam bidang lakonan wajar dicontohi generasi pelakon masa kini, kata pelakon, penerbit dan pengarah, Fauziah Datuk Ahmad Daud.



Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ogy, bekerjasama dengan Hamid dalam drama 13 episod, Maya, sekitar 1990-an.



"Arwah melakonkan watak tukang kebun dalam drama bergenre 'thriller' ini.



"Itu adalah kali pertama saya melihat sisi berbeza dalam diri arwah. Kita selalu melihat arwah sebagai pelakon komedi, tetapi amat berbeza apabila bekerja.



"Arwah begitu teliti dengan apa yang mahu dilakukan. Ada satu adegan saya harus menyoal siasat arwah. Dia meminta melakukan latihan kerana adegan ini agak sukar kerana arwah perlu jatuh disebabkan serangan jantung.



"Ketika itu, hujan renyai dan saya minta buat latihan dalam rumah, tetapi arwah menolak selepas melihat kru sedang menyusun lampu. Jadi, kami berlatih dalam hujan renyai," kata Ogy kepada laman Berita Harian Malaysia Online.



Budaya kerjanya mengingatkan Ogy pada arwah ibunya, Datin Saadiah Baharom dan gurunya, Tan Sri Jins Shamsuddin.



"Arwah Pak Hamid tetap bergurau di lokasi penggambaran, tetapi orang berilmu tidak akan bercakap perkara remeh-temeh.



"Orangnya juga ceria dan sentiasa tersenyum. Walaupun lebih berusia, arwah tetap menghormati orang lebih muda. Tidak semua penggiat seni bersikap sedemikian, malah, arwah sangat merendah hati," katanya.



Allahyarham meninggalkan seorang balu, Timah Abdul Hamid, 80 tahun yang dinikahi pada April 1957.



Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.



Moga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati. Al-Fatihah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >