Sekali lagi sejarah tercipta apabila penyampai radio kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia, Aina Sabrina, menerima dua pengiktirafan serentak daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Pada majlis yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar, pada Rabu, penyampai radio Fly FM itu diiktiraf sebagai DJ Radio AI pertama di Malaysia.
Aina yang diperkenalkan sebagai duta jenama minuman susu kultur dari Jepun, Calpis pada majlis itu turut diiktiraf sebagai AI pertama dilantik sebagai duta jenama.
Majlis penyerahan dua sijil pengiktirafan itu disempurnakan Ketua Pegawai Operasi MBOR, Encik Christopher Wong dalam satu majlis yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar.
Sijil pengiktirafan DJ Radio AI pertama di Malaysia diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Encik Nazri Noran, manakala sijil AI pertama menjadi duta jenama diserahkan kepada Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Cik Amy Gan.
Mengulas pengiktirafan yang diberikan kepada DJ Aina, Nazri menyifatkannya sebagai satu kejayaan buat warga MPA atas daya usaha menyediakan teknologi terkini dan terunggul buat pendengar mereka.
“Ini adalah perkara pertama dalam dunia radio yang kami buat, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat Asia Tenggara.
“Alhamdulillah, kami membawa pasukan untuk meneliti teknologi AI ini dan melihat sejauh mana ia boleh pergi dalam masa yang singkat.
“Kerjasama bersama Calpis membuahkan hasil yang agak luar biasa kerana kita berjaya gabungkan korporat iaitu duta jenama dan DJ radio yang menggunakan teknologi AI,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, Calpis turut bekerjasama dengan DJ Aina menjayakan kempen ‘Calpis with Aina’ melalui konti dan media sosial penyampai berkenaan.
Pada Jun, Fly FM mengumumkan DJ Aina Sabrina dicipta jurutera stesen radio itu dengan menggunakan teknologi AI. DJ Aina dilaporkan dilengkapi pangkalan data muzik yang luas dan mempunyai keupayaan mencipta serta menggabungkan muzik secara langsung sesuai dengan mood pendengar.
Aina juga berkebolehan dalam memberi cadangan muzik kepada pendengar sesuai dengan apa yang mereka minati.
Sementara itu, kehadiran DJ Aina dilihat seperti satu ‘ancaman’ berdasarkan teori kononnya teknologi itu bakal menggantikan tugas manusia, sekali gus mencetuskan kebimbangan lebih ramai akan kehilangan pekerjaan
Tampil menafikannya, Encik Nazri menegaskan teknologi AI memberikan banyak manfaat, termasuk meringankan beban tugasan seseorang individu.
“Saya tidak melihat teknologi AI sebagai sesuatu yang negatif. Ini kerana jika kita tahu apa yang AI boleh buat, ia sebenarnya lebih kepada mempertingkatkan.
“Kalau bercakap soal penyampai radio, kita tahu mereka kena bekerja antara Isnin dengan Jumaat.
“Itulah tanggungjawab sebagai penyampai radio, tetapi kadang-kadang penat juga. Ini kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai situasi.
“Bila penyampai radio sakit atau cuti, AI boleh membantu menjadi klon kepada penyampai berkenaan.
“AI membolehkan seseorang bertugas di sesuatu lokasi tanpa perlu berada di situ. Secara tidak langsung, ia tidak akan mengganggu tugas seharian.
“Lagi pun teknologi ini masih memerlukan sentuhan manusia untuk menggerakkannya. Ia juga belum beroperasi secara automasi. Kalau boleh pun, ia takkan ada jiwa seorang manusia,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg