Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Demam K-Drama bangkit semangat Rossa tembusi pasaran Korea

'Hati Yang Kau Sakiti' dirakam dalam versi Korea
Aug 24, 2020 | 05:30 AM



DI kala wabak koronavirus melanda dunia dan mendesak ramai duduk sahaja di rumah, itulah tempoh di mana penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Rossa, juga diserang demam.



Namun, bukan demam yang membahayakan nyawa dan mengancam keselamatan.



Sebaliknya, itulah tempoh di mana Rossa, 41 tahun, yang nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, dipanah demam cinta terhadap drama Korea dan sekali gus bahasa Korea.



Panahan asmara itu seterusnya membawa pada dirinya merakam lagu terkenalnya yang diterbitkan pada 2009, Hati Yang Kau Sakiti, dalam bahasa Korea.



Lagu yang bertajuk Sangcheo Badeun Maeum ciptaan asal Enda Ungu itu kini boleh didengar di gedung digital Spotify dan laman YouTube.



Proses jatuh cinta yang indah dan manis terhadap bahasa Korea dan drama Korea itu beliau rakamkan dalam sidang akhbar maya melalui aplikasi Zoom yang disertai sekitar 80 wartawan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Korea Selatan, baru-baru ini.



Sidang media yang turut disertai Berita Harian itu diadakan label rakaman Inspire Music di Hotel Aloft Jakarta TB Simatupang dengan kerjasama saluran V Live Indonesia dan aplikasi penstriman LangitMusik.



Rossa ditemani wartawan mapan, Cik Teini Rusmitantri selaku pengacara dan 'vlogger' Cik Noona Rosa yang bertindak sebagai penterjemah bahasa Korea.



Membuka lembaran kisah bagaimana projek lagu Sangcheo Badeun Maeum itu direalisasikan, Rossa berkata:



"Hati Yang Kau Sakiti tercipta pada 2009 dengan impaknya begitu besar sekali sehingga menjadi lagu 'hit' yang dicintai di Indonesia, Singapura dan Malaysia.



"Setiap kali saya menjayakan acara di luar negara, saya pastinya akan diminta menyanyikan lagu ini.



"Namun, ia menjadi lebih popular tahun ini kerana ia dijadukan lagu tema sinetron FTV di Indosiar, Suara Hati Istri.



"Justeru, dari petang sampai malam, lagu ini diputar setiap hari sampaikan ada yang memberitahu saya Hati Yang Kau Sakiti ibarat lagu kebangsaan Indonesia!



"Ia malahan dihafal anak berusia dua tahun hinggalah yang lanjut usia. Kalau ditinjau media sosial juga, lagu ini digunakan dalam Instagram, Twitter dan Tik Tok secara kreatif. Ia sempat dijadikan 'meme' atau imej mahupun video berbaur lucu yang tular. Pastinya saya sangat senang melihat perkembangan dan penerimaan lagu ini."



Apa yang lebih membuatkan pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta ini lebih terharu adalah apabila warganet mengaitkan lagu ini dengan drama Korea yang terkenal, The World of The Married.



"Kebetulan, pada waktu itu, saya bekerja dari rumah dan banyak meluangkan masa menonton drama Korea. Ramai warganet di Indonesia bahkan menyatakan lagu saya, Hati Yang Kau Sakiti itu, sangat sesuai dijadikan lagu tema The World of The Married.



"Sebabnya, drama Korea itu mengisahkan tentang isteri yang disakiti suaminya. Kerana saya juga terpaut dengan drama ini, saya menunggu sampai dua episod terakhirnya dilabuhkan, iaitu episod 15 dan 16."



Kerana begitu terpaut pada fenomena drama Korea dan bahasa Korea, Rossa langsung menghubungi sahabatnya yang menetap di Korea Selatan. Beliau minta diajar bahasa Korea.



Kenalan temannya itu yang merupakan anak watan Korea kemudian diminta menulis lirik Sangcheo Badeun Maeum, versi Korea Hati Yang Kau Sakiti.



Beliau sama sekali tidak menyangka projek kilat yang dibantu rakannya, pemuzik Ivan Alidiyan, menjadi tular di media sosial.



"Saya minta Ivan susun semula lagu saya itu secara biasa-biasa sahaja dengan menggunakan piano. Saya pastikan sebutan saya boleh difahami orang Korea.



"Rakaman video dibuat di hadapan televisyen di rumah saya. Saya minta bantuan rakan kreatif saya, Dandy Lasahido, bagi mengadun lagu ini. Saya gunakan simpanan video yang belum terpakai...maka terhasillah versi Korea Hati Yang Kau Sakiti," sambungnya lagi.



Sejak dimuatnaikkan ke YouTube pada 14 Ogos lalu, klip video rasmi versi Korea ini sudah ditonton sebanyak 286,877 kali. Demo awal lagu ini yang dimuatnaikkan pada Mei lalu pula sudah ditonton sebanyak 2.2 juta kali.



Ramai sensasi YouTube Korea juga sempat membuat 'cover' lagu ini di laman masing-masing.



Rossa juga mendapat pujian dan galakan daripada Enda Ungu selaku pencipta asal lagu ini.



"Enda beritahu kepada saya, teruskan sahaja niat baik untuk bawa lagu ini tembusi pasaran Korea," cerita Rossa.



Dengan perkembangan menggalakkan ini, ibu seorang anak remaja itu ingin melihat lebih banyak karya Indonesia termasuk lagu-lagu 'hit' beliau yang lain menembusi pasaran Korea.



Bahasa berbeza, jelasnya, tidak seharusnya dijadikan penghalang tetapi sikap saling ingin belajar daripada budaya muzik satu sama lain lebih utama. Ini juga satu cara menyatukan peminat muzik dunia.



Beliau juga berharap dapat menghasilkan lagu Korea (bukan terjemahan pada lagu asalnya) pada masa akan datang sebagai bereksperimen dengan industri muzik baru selepas lebih dua dekad mewarnai persada hiburan Indonesia. Impiannya juga ingin menyanyikan versi Mandarin pada lagu 'hitnya' suatu hari nanti.



"Saya kepingin sekali memperhalusi bahasa Korea saya pada masa akan datang, mungkin dengan menetap di Korea selama enam bulan.



"Tahun lalu, saya berbesar hati dapat menyertai keluarga syarikat hiburan terbesar Korea, SN Entertainment.



"Kalau diberi kesempatan merakam lagu 'hit' lain ke dalam bahasa Korea, saya belum dapat tentukan lagu apa kelak menjadi pilihan. Namun, saya gembira apabila kumpulan 'boyband' Korea, Super Junior, mendendangkan lagu Tegar bersama saya di Jakarta, tahun lalu.



"Ini penghargaan buat peminat K-Pop di Indonesia. Penggiat muzik di Asia seharusnya saling menyokong satu sama lain agar kehebatan muzik Asia diiktiraf bahkan menjadi lebih besar lagi," jelas Rossa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >