Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Demi Cinta' pada bahasa ibunda Shai-Rhaun kerjasama

Apr 12, 2021 | 05:30 AM



KERJASAMA yang terjalin antara dua bakat setempat Shai Othman dan Rhaun, bagi lagu duet Demi Cinta membawa mereka lebih mencintai kepuitisan bahasa Melayu.



Sebagaimana yang dinyatakan Shai, 25 tahun, atau nama sebenarnya Nur Shahirah Othman:



"Maklumlah, kami berdua lebih terdedah pada penulisan lirik Inggeris dan persada muzik Inggeris.



"Dengan kerjasama kami bagi Demi Cinta yang bermula dengan penglibatan dalam bengkel penulisan lirik dan gubahan lagu Merdu kendalian Universiti Nasional Singapura (NUS), banyak yang dipelajari.



"Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda kami. Antara misi saya dalam kerjaya seni adalah kembali kepada asal usul budaya saya. Saya enggan lupa diri. Saya ingin menyampaikan sesuatu dengan bahasa ibunda saya sebab ia datang daripada hati dan nikmatnya lebih terasa.



Shai yang baru-baru ini muncul sebagai naib juara peraduan adu bakat Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0, juga merupakan juara iSing Singapore yang mewakili negara ke pentas iSing World di Perancis, tiga tahun lalu.



Demi Cinta hasil ciptaan Rhaun, yang nama sebenarnya Harun Amirrul Rasyid, mengisahkan kisah cinta yang mencari arah tuju.



Ilham buat lulusan Diploma Reka Bentuk Ruang dan Dalaman dari Politeknik Nanyang (NYP) itu muncul ketika makan tengah hari.



Kedua-dua Shai dan Rhaun menghargai pengalaman menyertai bengkel Merdu yang mengenalkan mereka kepada penulis lirik tersohor Singapura, Hartinah Ahmad, dan anak seni yang sudah ke seberang Tambak, Adeep Nahar.



"Ibu Tinah dan Abang Adeep banyak mengajar tentang penulisan lirik. Kami pelajari bahawa dalam menghasilkan lirik yang baik, kita perlu cari perkataan yang boleh kita anggap milik atau ciptaan kita sendiri.



"Kita perlu banyak baca puisi atau karya kreatif yang baik bagi menambah kosa kata kita. Gunakan metafora dalam lagu," jelas Rhaun.



Shai, lulusan Diploma Muzik dari Maktab Seni Lasalle pula menambah:



"Dalam penulisan lirik pula, saya pelajari bahawa jangan jadikan kata-kata negatif yang boleh berubah menjadi doa dalam penulisan lagu.



"Kita sedia maklum ada frasa seperti 'oh (Tuhan), kau cabutlah nyawaku' dalam lirik Engkau Laksana Bulan. Ia boleh dielakkan kerana tidak mahu memberi takrifan yang lain buat pendengar."



Dalam menghasilkan Demi Cinta, Shai dan Rhaun juga saling mempelajari daripada satu sama lain.



"Saya belajar daripada Rhaun mengenai kehalusan bahasa dan penggunaan perkataan yang boleh memperkaya kosa kata generasi sebaya.



"Tengok liriknya, saya tertanya-tanya, 'bagaimana Rhaun merangkaikannya?'.



"Rhaun juga ajar saya tentang teknik nyanyian yang datang daripada ketulusan hati dan pemahaman setiap butir perkataan," kongsi Shai.



Rhaun pula menambah:



"Shai ajar saya agar yakin dengan kerja seni saya dan tidak gentar mengetengahkannya.



"Lebih daripada itu, beliau selalu memberi saya saranan tentang fesyen dan dandanan di pentas. Walaupun saya lelaki yang memang tak pandai bergaya, Shai kata, semua aspek seperti fesyen dan gaya ini perlu di pentas."



Demi Cinta memiliki sentuhan balada Indonesia yang lunak didengar telinga kerana cinta Shai pada lagu-lagu cinta Krisdayanti, bintang yang disifatkan memiliki aura dan dalam zon tersendiri.



Rhaun pula sukakan lagu duet Rossa dan Ungu, Terlanjur Cinta.



"Kerjasama saya dan Shai menggambarkan tenaga yang mengalir antara kami dalam memberi yang terbaik buat lagu duet ini.



"Harapan saya ingin mendalami muzik, sesuatu yang ingin saya buru sebagai ilmu pengajian tetapi tidak berpeluang berbuat demikian kerana kos tinggi.



"Jadi, saya ambil kursus rekaan ruang dan dalaman dengan muzik tetap saya jadikan nyala rasa saya buat masa depan.



"Tapi saya tak menyesal kerana di NYP, saya diberi peluang menjadi pengarah muzik bagi beberapa penerbitan," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >