Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dewi Sandra teruja alih suara animasi 'Nussa'

Oct 20, 2021 | 5:30 AM
SANGGUP JADI APA SAHAJA: Kerana minatkan animasi 'Nussa' yang melucukan tetapi sarat nilai Islam, Dewi Sandra sanggup pinjamkan suara bagi watak kucing, bunyi pintu atau air mendidih. Beliau kemudian diberi watak 'Tante Dewi' yang kecoh. - Foto INSTAGRAM DEWI SANDRA
SANGGUP JADI APA SAHAJA: Kerana minatkan animasi 'Nussa' yang melucukan tetapi sarat nilai Islam, Dewi Sandra sanggup pinjamkan suara bagi watak kucing, bunyi pintu atau air mendidih. Beliau kemudian diberi watak 'Tante Dewi' yang kecoh. - Foto INSTAGRAM DEWI SANDRA -

SUARA merdu bintang Indonesia, Dewi Sandra Killick, menyanyikan lagu 'hit' Buktikan sudah sering kedengaran.

Wajah kacukan Inggeris-Indonesia Dewi, 41 tahun, yang dilahirkan di Rio de Janeiro, Brazil pula sudah kelihatan dalam filem Ayat Ayat Cinta 2.

Namun, pengalaman baru terlibat sebagai peminjam suara dalam filem animasi kanak-kanak berjudul Nussa, memberinya nikmat sehingga beliau mengaku begitu 'ketagih' kerja mengalih suara yang mula digemari.

Filem yang dipadankan daripada siri YouTube terkenal dengan tajuk serupa Nussa itu kini ditayangkan di pawagam serata Indonesia.

Tayangannya mendapat sambutan cukup menggalakkan dengan hampir setiap hari tiket laris dijual.

Ia mempunyai tema keagamaan dengan nilai-nilai Islam diketengahkan menerusi watak budak lelaki bernama Nussa yang menggunakan kaki palsu dan adiknya, Rara.

Dalam satu wawancara bersama laman Suara.com, Dewi yang mengisi suara watak Tante Dewi, berkata:

"Kebetulan, suami saya, Agus Rahman, begitu sukakan animasi Nussa dan dua watak utamanya, Nussa dan Rara.

"Beliau memberi saya keizinan mengambil tugas ini kerana waktu rakaman tidak panjang. Bahagian Tante Dewi juga tidak banyak."

Sambil bergurau, Dewi mengharapkan akan ada lanjutan bagi animasi ini agar membolehkan Tante Dewi beraksi lagi.

"Pastinya sang suami semakin cinta sama Tante Dewi! Katanya asal sahaja tidak diabaikan tanggungjawab sebagai isteri.

"Alhamdulillah, suami saya kenali diri saya ketika saya masih aktif dalam dunia hiburan. Dia faham seni mendarah daging dalam diri saya.

"Yang penting, saya mampu membahagikan masa dengan baik dan benar," katanya lagi.

Sekali gus, penglibatan dalam filem animasi Nussa ini menandakan kembalinya Dewi dalam dunia seni.

Kali terakhir, beliau disaksikan menjayakan watak utama dalam filem adalah pada 2017 menerusi Ayat Ayat Cinta 2.

Dalam dunia sinetron pula, Dewi yang pernah berlakon dalam drama Lupus kali terakhir membawa watak Hana dalam sinetron Catatan Hati Seorang Istri 2 pada 2016.

Penglibatannya sebagai penyanyi buat kali terakhir kedengaran dalam album runut bunyi filem yang dibintangi, Air Mata Surga pada 2015.

Ditanya mengenai daya tarikan animasi ini buatnya, Dewi menjelaskan:

"Saya adalah peminat besar animasi ini. Nussa dan Rara adalah watak yang sangat lucu. Apa lagi, suara mereka juga kedengaran sangat menghiburkan.

"Setiap kali menonton animasi ini, saya kepingin pinjamkan suara saya dalam apa jua watak. Jadi suara kucing pun tak mengapa. Jadi bunyi pintu ditolak pun, saya sanggup!

"Bikin suara air yang mendidih pun saya mahu!"

Dalam filem ini, watak Tante Dewi itu adalah adik kepada Umma, ibu Nussa dan Rara.

"Tante Dewi belum berumah tangga tetapi benar-benar curahkan kasih sayangnya kepada Nussa dan Rara.

"Wataknya menghiburkan dan gila-gila. Pastinya ada anggota keluarga anda yang heboh, banyak bertanya dan selamba seperti Tante Dewi. Dialah pemberi semangat buat Nussa dan Rara," jelas Dewi lagi.

Pengalaman pertama meminjamkan suaranya pada animasi membuatnya menggabungkan kemahiran berlakon dengan ekspresi suara yang biasanya digunakan setiap kali menyanyi penuh penghayatan.

"Seronok sahaja alih suara sebab berbanding menyanyi dan berlakon, tak perlu sibukkan soal dandanan wajah. Tiada yang nampak muka saya. Asal suara 'cantik' cukuplah," katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg