Di puncak jaya, bintang remaja enggan lupa diri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di puncak jaya, bintang remaja enggan lupa diri

'Merasa Indah' julang nama Tiara Andini dalam muzik Indonesia
Mar 12, 2022 | 5:30 AM

Di puncak jaya, bintang remaja enggan lupa diri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
SYUKURI REZEKI: Setiap peluang keemasan mempertingkat diri dalam bidang nyanyian direbut Tiara Andini yang gembira pada usia 20 tahun, dapat bina kerjaya muzik yang memperkasa dirinya dan peminatnya. - Foto INSTAGRAM TIARA ANDINI
SYUKURI REZEKI: Setiap peluang keemasan mempertingkat diri dalam bidang nyanyian direbut Tiara Andini yang gembira pada usia 20 tahun, dapat bina kerjaya muzik yang memperkasa dirinya dan peminatnya. - Foto INSTAGRAM TIARA ANDINI -

DUA tahun berkecimpung secara profesional dalam bidang seni menyusuli kejayaan merangkul gelaran naib juara Indonesian Idol banyak memberi Tiara Andini pengalaman baru yang membuka matanya.

Meskipun perjalanannya baru bermula, Tiara, 20 tahun, sudah menerima banyak pengiktirafan, antaranya sebagai Artis Baru Terbaik, Anugerah Muzik Indonesia (AMI) dan Artis Asia Baru Terbaik (Indonesia) pada Anugerah Muzik Asia Mnet.

Wajahnya juga sudah terpampang pada papan iklan Times Square di New York.

Menyanyi sudah mendarah daging dalam diri bintang kelahiran Jember, Jawa Timur ini sebab bapanya, Nugroho Ediyono Deddy merupakan penyusun lagu manakala ibunya Sari Yoshida Setyoastri adalah penyanyi.

Tiara juga terlatih dalam seni vokal malahan mampu menyanyikan lagu Mandarin dan irama keroncong yang menurutnya sesuai untuk didendangkan buat generasi datuk neneknya.

Ikuti wawancara Zoom Berita Harian bersamanya yang kini disebut-sebut sebagai generasi pelapis penyanyi Indonesia yang berpotensi besar.

Salah sebuah lagunya Merasa Indah bahkan bertahan di tangga pertama Spotify Indonesia hampir sebulan lamanya. Ia sudah distrim lebih 20.3 juta kali di Spotify.

Ikuti wawancara Zoom Berita Harian bersama Tiara, anak sulung tiga beradik yang kesemuanya menceburi bidang seni.

Wawancara ini diselaras label rakaman Universal Music Singapore dan Universal Music Indonesia.

Soalan (S): Apa yang membuat anda memilih bidang nyanyian dan perasaan Tiara apabila diberi pelbagai anugerah pada titik awal kerjaya seni?

Tiara: Dari kecil, saya diajar mama dan papa menyanyi. Kerana terbiasa mendengar dan terdedah pada lagu, saya terdorong membina kerjaya nyanyian. Saya ikuti latihan vokal dan menyertai bermacam peraduan.

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima berkat sokongan orang tua, sahabat dan peminat saya.

S: Ceritakan tentang album pertama Tiara, Tiara Andini.

Tiara: Album ini membolehkan saya bekerjasama dengan ramai orang hebat seperti Papa Yovi, Arsy Widianto dan Vidi Aldiano.

Saya sangat bersyukur kerana album ini penuh warna, sesuai dengan diri saya yang masih berusia 20 tahun dan mahu meneroka banyak perkara.

Justeru, ada lagu rancak, ada yang mengembalikan kenangan ala irama 1980-an dan ada yang perlahan serta lembut bunyinya. Semua lapan lagu dalam album ini saya suka. Ibarat ada lapan cahaya mata... semuanya saya sayang.

Saya menyanyikan semula lagu Buktikan, dendangan asal Dewi Sandra dan Ryan Pasto, bersama Abang Vidi.

Saya banyak belajar daripada Abang Vidi yang sudah belasan tahun berkecimpung dalam bidang seni. Orangnya baik dan selalu merendah hati. Beliau tidak sulit berkongsi ilmu.

Buktikan memang payah untuk dinyanyikan. Ada unsur lagu ini yang belum pernah saya cuba dari segi teknik vokal. Nyanyian R&B, lenggok 'riff and run' (siri nota muzik yang dinyanyikan cepat dengan penggunaan satu kekata sahaja) serta teknik nyanyian 'siulan'. Ia memberi pendengar gambaran tentang sisi vokal saya yang berbeza.

S: Apakah cabaran ketika menyertai 'Indonesian Idol'?

Tiara: Kerana usia saya baru 18 tahun ketika itu, saya rasa payah berjauhan daripada papa dan mama serta adik-adik saya.

Selama lima bulan, hidup tanpa 'gadget' dan telefon bimbit, ia mungkin sulit buat anak muda seperti saya. Tapi demi fokus, saya gagahkan semangat.

S: Apakah pesanan papa dan mama yang Tiara pegang hingga hari ini?

Tiara: Jangan lupa dan usah tinggalkan ibadah sebagai umat Islam. Sebab, barakahnya perjalanan kita dalam apa jua bidang bergantung pada restu dan ingatan kita pada Allah. Kita takkan sampai ke sini atau tangga jaya tanpa-Nya.

Harus rendah hati dan tidak boleh sombong dengan sesiapa pun. Ingat teman kita yang berada bersama kita sebelum dikenali.

S: Namakan tiga perkara yang harus diamati tentang cinta hasil lagu 'Merasa Indah'.

Tiara: Lagu ini menyentuh tentang diri gadis yang cepat jatuh hati sehingga terasa indah.

Pesanan buat pendengar, jangan mudah berharap kepada lelaki kerana kadangkala memang ada yang melayan baik semua wanita.

Akhir sekali, dalam cinta, kita harus mengikhlaskan kerana itu lambang cinta paling tinggi.

S: Apa yang boleh dipelajari daripada band K-pop?

Tiara: Kerja keras untuk menjadi artis rakaman. Apa yang saya tahu mereka memasuki sebuah akademi selama empat hingga tujuh tahun untuk diajar teknik vokal, menari dan bekerjasama sebagai kumpulan.

Kepopularan mereka ibarat buah yang dinikmati hasil kegigihan.

"Dari kecil, saya diajar mama dan papa menyanyi. Kerana terbiasa mendengar dan terdedah pada lagu, saya terdorong membina kerjaya nyanyian. Saya ikuti latihan vokal dan menyertai bermacam peraduan. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima berkat sokongan orang tua, sahabat dan peminat saya." - Tiara Andini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg