Topic followed successfully
Go to BHkuDi sebalik lagu 'hahaha' 'rapper' kain pelikat lalui jerih payah
Di sebalik lagu 'hahaha' 'rapper' kain pelikat lalui jerih payah
Bakat SG AbangSapau kongsi kisah kenakalan remaja, kehilangan ayah, motivasi kerja amal ibu
Di sebalik lagu 'hahaha' 'rapper' kain pelikat lalui jerih payah
SEBAHAGIAN contoh muzik lagu ikonik Anuar dan Ellina, Kain Pelikat, menjadi pembuka tirai lagu terkini penyanyi rap, AbangSapau, hahaha.
Ia adalah lagu pembakar semangat yang merakam perjalanan penuh jerih payah yang tidak dirancang dalam bidang seni.
Kain pelikat malah merupakan satu identiti AbangSapau, 22 tahun, yang sentiasa tampil di persembahan dengan bersarung.
Namun, di sebalik segala keceriaan yang dihadapi pemuda ramah dan bersahaja ini, ada juga kisah duka dan luka yang beliau kongsi dalam wawancara Zoom yang diselaras label rakaman dan edaran Universal Music, baru-baru ini.
Ini termasuk pemergian arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2 Mei 2020 ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 berlangsung.
Kehilangan itu begitu terasa apabila AbangSapau, yang nama sebenarnya Muhammad Shazuan Shiraj Abdullah, mengunjungi pusara bapanya, mualaf berbangsa Punjabi pada 2 Mei lalu.
Ikuti wawancara bersamanya yang merupakan artis Def Jam dan masih menuntut di Politeknik Nanyang dalam kursus Diploma Sains Sosial (Kerja Sosial).
Soalan (S): Apa yang terlintas di fikiran ketika menghasilkan lagu 'hahaha'?
AbangSapau: Ia adalah refleksi diri saya ketika mula-mula menceburi bidang muzik. Saya tidak merancangnya sebagai kerjaya. Saya hanya ingin luah emosi menerusi lagu.
Saya adalah anak yang sensitif, banyak terkesan dan memberontak sesudah ibu bapa saya berpisah ketika usia saya 13 tahun.
Tentunya sepanjang perjalanan saya, nawaitu berseni itu berubah dari masa ke masa. Kini, saya melakukannya sebagai satu 'kerja sosial'. Muzik saya adalah daripada anggota masyarakat buat masyarakat sekelilingnya.
S: Anda menyisipkan lirik Melayu dalam lagu yang juga mempunyai lirik Inggeris. Ada juga kesan-kesan contoh lagu nostalgik seperti 'Kain Pelikat' dan irama dalam filem P. Ramlee. Apakah cabaran melakukan semua ini?
AbangSapau: Kadangkala, tenaga yang saya perlukan dalam sesebuah lagu hanya mampu saya sampaikan dalam bahasa Melayu. Mesejnya lebih jelas dan berkesan berbanding jika saya gunakan bahasa Inggeris.
Cabaran terbesar adalah dalam memastikan lagu saya ini mampu dikaitkan dengan cita rasa pendengar.
Kerana itu, saya pastikan banyak unsur menyeronokkan ada dalam lagu saya seperti sampel atau cebisan lagu Kain Pelikat atau irama filem klasik P. Ramlee.
Ia satu eksperimen yang menyeronokkan. Cuma 'rapper' Melayu boleh buat begini. Orang Barat ada cara mereka sendiri. Bagi saya, asal ibu saya menyukainya, ia cukup memberi semangat buat saya.
Ada juga kawan bukan Melayu yang tertarik dengan unsur-unsur kemelayuan dalam lagu saya. Saya berikan terjemahan lagu ini dalam 'Google.Doc'. Bolehlah mereka belajar bahasa Melayu sedikit demi sedikit.
S: Ceritakan sejarah di mana anda berasakan kain pelikat itu satu identiti yang 'melekat' dengan diri anda.
AbangSapau: Ya, ia bukan satu kostum musiman. Saya menggunakan kain pelikat kerana selesa bergerak ke mana-mana sejak kecil dengan sarung ini.
Saya pernah ke sekolah dan berjalan di kawasan kejiranan dengan menggunakan kain pelikat! Saya dileteri ibu.
Arwah datuk saya memang gemar menggunakan kain pelikat. Apabila beliau meninggal, saya mewarisi semua kain pelikatnya.
Saya cuba pakai macam 'rapper' lain tapi rasa ada yang tak kena. Kain pelikat juga best!
S: Anda pernah dirotan di pentas sekolah kerana melakukan perkara nakal dan melanggar undang-undang. Bilakah anda berasakan semua kenakalan ini harus dihentikan dan anda bangkit melakukan perkara positif?
AbangSapau: Selepas dirotan di khalayak ramai, saya serik nak buat benda-benda buang masa ini.
Di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), saya belajar tentang nikmat melakukan kerja sosial dan berpidato.
Di Politeknik Nanyang (NYP), saya mula mengasah kemahiran muzik dan memperkasa diri dengannya.
Satu perkara baik membawa pada perkara baik lain. Yang penting niat dalam hati untuk berubah dan Allah mudahkannya.
S: Bagaimana pemergian bapa anda memberi kesan besar terhadap diri anda?
AbangSapau: Kami memang tidak rapat tetapi saya selalu dambakan detik saya dapat berbual panjang dengannya.
Tahu-tahu, ayah tidak sedarkan diri di hospital. Saya memang sangat terkesan dengan ketiadaannya... tak pasti sama ada saya sudah dapat mengikis kesedihan sepenuhnya atau tidak.
Pada 2 Mei lalu, saya menziarahi kuburnya. Pemergian ayah membuatkan saya ingin menghargai orang tersayang selagi mereka masih ada.
Saya menyedari perasaan marah saya ketika beliau meninggalkan ibu dan adik-beradik saya semasa saya berusia 13 tahun sebenarnya adalah sekelumit kesedihan yang saya pendam. Kini, rasa sedih itu menjadi sayang.
S: Bagaimana ibu menjadi tunggak kekuatan anda?
AbangSapau: Saya harus berterima kasih kepadanya kerana beliau pencetus inspirasi saya menjalankan kerja kebajikan.
Ibu menawarkan khidmat sosialnya ketika kami hidup susah tanpa rumah selepas perceraian ibu dan ayah.
Kata ibu, apabila beliau terlibat dalam kerja kebajikan, dirinya menyedari ada lebih ramai orang yang lebih susah daripada kami.
Kesyukuran itu penting kerana ia membawa berkat. Saya sambut ulang tahun ke-22 saya dengan membeli sepasang sandal Crocs putih dan makan nasi ayam. Perkara semudah itu amat saya syukuri.
Suatu hari nanti, kalau saya punya anak-anak sendiri, saya ingin mereka bangga dengan pencapaian ayah mereka. Saya ingin beri mereka kehidupan yang ceria dan selamat.
S: Apakah pesan anda kepada anak muda lain yang ingin berkecimpung dalam bidang muzik?
AbangSapau: Yakin pada diri dan jangan sangsikan kebolehan anda. Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain yang lebih muda atau nampak lebih beruntung dan berjaya.
Usaha perbaiki diri anda. Jangan mudah putus asa. Saya pernah mengalami kesakitan cakera tulang membonjol dan menghimpit saraf saya. Saya perlu lalui pembedahan tulang belakang. Alhamdulillah, ia tidak menghambat semangat saya.
S: Adakah perkara baru yang anda manfaatkan kini bagi majukan kerjaya seni anda?
AbangSapau: Saya mahirkan diri dalam aplikasi TikTok sebagai memasarkan jenama saya sejak sebulan lalu. Saya dapati ia menyeronokkan dan menguji kreativiti saya. Saya juga mampu memancing pengikut baru yang sukakan video selamba saya tentang kain pelikat dan perkara yang saya jarang perbualkan.
"Saya menggunakan kain pelikat kerana selesa bergerak ke mana-mana sejak kecil dengan sarung ini. Saya pernah ke sekolah dan berjalan di kawasan kejiranan dengan menggunakan kain pelikat! Saya dileteri ibu. Arwah datuk saya memang gemar menggunakan kain pelikat. Apabila beliau meninggal, saya mewarisi semua kain pelikatnya. Saya cuba pakai macam 'rapper' lain tapi rasa ada yang tak kena. Kain pelikat juga best! - Penyanyi rap, AbangSapau, yang nama sebenarnya Muhammad Shazuan Shiraj Abdullah.

